Wednesday, October 12, 2011

Batik Desa Murni di Kota Bharu


BIBI RAMJANI membuka cawangan Galeri Desa Murni di Kota Bharu melalui pelaburan hampir RM1 juta.


KEHALUSAN dan kesenian batik di Kelantan sememangnya diakui ramai. Malah, sejarah perusahaan batik di negeri itu sudah menjangkau usia berabad lamanya.

Batik menjadi item wajib dalam kalangan pengunjung luar. Kunjungan mereka ke Kota Bharu seakan tidak lengkap jika tidak menjejak ke Pasar Siti Khadijah atau Bazar Buluh Kubu bagi membeli batik sebagai ole-ole.

Kecantikan butik Kelantan dinilai daripada kehalusan lukisan tangan sepenuhnya menjadikan setiap helaian batik unik dan tersendiri.

Namun bagi usahawan wanita, Bibi Ramjani Illias Khan, 39, persepsi tersebut tidak menjadi penghalang buatnya untuk memasarkan batik keluaran negeri jiran, Terengganu, secara eksklusif di Galeri Desa Murni Cawangan Kota Bharu miliknya.

Galerinya yang terletak di Jalan Sultan Ibrahim menghala ke Bulatan Tuan Padang itu menawarkan fabrik batik, tudung dan pakaian berasaskan fabrik sutera digital keluaran kilang berteknologi tinggi Desa Murni Batik di Pulau Rusa, Terengganu.

Desa Murni Batik merupakan salah sebuah syarikat pengeluar batik bumiputera terkemuka dalam negara sejak dekad 1970-an, yang mula meneroka teknologi percetakan digital pada tahun 2007.

Bibi Ramjani berkata, tidak timbul isu beliau tidak menyokong buatan batik buatan tempatan kerana apa yang dilakukannya hanyalah sebagai memberi lebih banyak pilihan kepada orang ramai yang inginkan kelainan.

Anak jati Kelantan dari Kok Lanas itu yang sudah lebih 20 tahun berkecimpung dalam dunia batik berkata, pengusaha batik di dua negeri, Kelantan dan Terengganu, seharusnya sama-sama berganding bahu mengembangkan industri batik.

“Kita saling menyokong antara satu sama lain. Batik yang kita keluarkan sekarang sedang menuju pasaran global jadi adalah penting untuk kita meningkatkan usaha sama ada dari sudut penghasilan mahu pun pemasaran.

“Apa yang saya lakukan adalah berusaha memperkenalkan hasil rekaan 30 pereka tempatan yang berpusat di Pulau Rusa yang kami terjemahkan semula melalui sistem percetakan digital dari Itali.

“Batik Desa Murni bukan sahaja menyediakan pilihan rekaan yang pelbagai bahkan, menghasilkan kain pasang batik yang senada dengan rekaan dan warna tudung,” katanya ketika ditemui semasa majlis pembukaan rasmi galerinya oleh artis popular Erra Fazira baru-baru ini.

Laburkan RM1 juta

Pada hari pembukaan itu, lebih 500 pelanggan menyerbu galerinya untuk mendapatkan produk pada harga promosi selain peluang beramah mesra dengan Erra.

Bibi Ramjani, ibu kepada tiga anak lelaki dan seorang perempuan itu mendapat sokongan suaminya, seorang usahawan pembinaan, Fauzi Ismail, 44, untuk menjalinkan kerjasama dengan Desa Murni Batik yang diterajui oleh pasangan suami isteri, Suhaimi Embong dan Fatimah Fathiyah Ismail.

“Bagi pembukaan cawangan ini, saya membelanjakan lebih RM1 juta untuk kos operasi dan sebagainya demi memberi peluang kepada pelanggan memilih produk dengan selesa,” katanya.

Antara produk yang ditawarkan di Galeri Desa Murni adalah Sutera 1Malaysia, Sutera Eksklusif Terengganu, Durante Italian Design, Iman Ekslusif, Durra Batik Eksklusif dan Alvise Italian Design yang kesemuanya mempunyai reka corak tersendiri.

Tambah Bibi Ramjani, batik Desa Murni bukan sahaja menggunakan teknologi Itali dalam pembuatan malah, material kain bermutu yang juga diimport dari negara tersebut.

Katanya, tudung yang dijual boleh dibeli pada harga RM99 sehingga RM149, manakala kain pula di antara RM200 sehingga RM380.

“Kami juga menjual kemeja batik lelaki yang boleh didapati pada harga yang berpatutan bergantung kepada fabrik sutera yang digunakan,” katanya.

Galeri Desa Murni Kota Bharu dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi sehingga 9 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: