
JOHOR BAHRU - Maritim Malaysia Wilayah Selatan (APMM) menemui semula baj membawa minyak kelapa sawit yang dirompak semasa dalam perjalanan dari Sandakan ke Johor Bahru di kedudukan 13.2 batu nautika Timur Laut Tanjung Punggai, Kota Tinggi kelmarin.
Baj Scow Ever Growth membawa minyak kelapa sawit sebanyak 2,700 tan bernilai RM8.1 juta itu ditemui bersama dua krew dalam keadaan terapung di perairan berhampiran Tanjung Punggai pada pukul 2.45 petang.
Ketua Penguat Kuasa APMM, Laksamana Pertama Maritim Zukifili Abu Bakar berkata, sebelum itu sebuah bot tunda Ever Commender dan Baj Scow Ever Growth bersama sembilan krew dirompak di perairan Pulau Pengibu, Indonesia pada pukul 3 pagi, Selasa lalu.
Sembilan krew terbabit melibatkan tiga rakyat tempatan dan enam warga Indonesia dan mereka berusia di antara 24 hingga 37 tahun.
Menurut beliau, maklumat rompakan itu diketahui pada pukul 6.01 petang Rabu lalu melalui Pasukan Gerakan Marin (PGM) Tampoi setelah pengurus syarikat berkenaan di Sandakan membuat laporan polis.
"Maklumat itu menyebut enam perompak warga asing bertindak memisahkan baj dari bot tunda bagi memudahkan mereka membawa lari baj berisi minyak kelapa sawit yang bernilai RM8.1 juta," kata Zulkifli dalam satu kenyataan di sini semalam.
Namun belum diketahui kenapa baj tersebut akhirnya ditemui terapung begitu saja dan tidak dilarikan perompak itu.
Berikutan itu, kata beliau, sebanyak tiga bot laju dari Daerah Maritim 7 (DM7) digerakkan untuk mengesan bot tunda dan baj tersebut.
Zukifili berkata, APMM kemudian berjaya menemui semula bot tunda bersama tujuh krew dalam keadaan selamat di kedudukan 3.3 batu nautika barat daya Tanjung Stapa, Kota Tinggi pada pukul 1.55 pagi kelmarin.
"Kesemua krew tidak cedera. Difahamkan perompak melarikan komputer serta barangan peribadi selain turut merosakkan alat komunikasi bot tersebut.
"Hasil maklumat krew berkenaan, kami kemudian menemui semula baj dengan muatan minyak kelapa sawit dan dua lagi krew pada pukul 2.45 petang sama dalam keadaan terapung di kedudukan 13.2 batu nautika Timur Laut Tanjung Punggai, Johor," kata beliau.
Beliau berkata, bot tunda dan baj berisi minyak kelapa sawit itu telah ditunda ke Pelabuhan Pasir Gudang untuk siasatan lanjut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: