Saturday, October 15, 2011

Artifak muzium tentera


PAKAIAN yang mengambil inspirasi uniform perang tentera hasil rekaan pereka fesyen Vivienne Westwood.


SELEPAS lebih tujuh tahun menjalani proses pengubahsuaian, akhirnya Muzium Sejarah Tentera Dresden dibuka dengan rasminya awal minggu ini di timur Jerman.

Bangunan neoklasik yang berusia 135 tahun itu, menjalani proses renovasi besar-besaran hasil sentuhan arkitek kelahiran Amerika Syarikat, Daniel Libeskind.

Ia menelan belanja sehingga AS$85 juta (RM268 juta).

Pembukaan muzium itu baru-baru ini memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat dua perkara yang menjadi keistimewaan dan tarikan Muzium Sejarah Tentera Dresden.

Pertamanya, hasil kerja unik Libeskind yang memberi sentuhan moden ke atas seni bina bangunan lama itu melalui penggunaan kepingan gelas, konkrit dan besi yang disatukan menjadi sebuah arca gergasi.


INILAH rupa bentuk roket V2 asli yang digunakan semasa Perang Dunia Kedua.


"Libeskind sejak dari awal menegaskan mereka perlu melakukan transformasi ke atas bangunan itu. Ia perlu membawa simbol dan makna yang baharu," kata pembantu Libeskind, Jochen Klein.

Selain keunikan seni bina baharunya, Muzium Sejarah Tentera Dresden kini mula menjadi tumpuan ramai kerana artifak yang mengisi 'perut' muzium itu.

Sempena pembukaannya minggu ini, sebanyak 10,500 artifak berkaitan ketenteraan dipamerkan di muzium tersebut.

"Jika anda tidak melihat bahan artifak yang tulen dalam saiz sebenar, kita mempamerkan artifak yang disediakan dalam saiz miniatur," ujar Gorch Pieken, pengarah akademik muzium itu.

Antara bahan pameran menarik termasuklah senjata yang digunakan semasa perang awal kurun ke-14, roket V2 daripada perang Dunia Kedua dan pelbagai miniatur seperti kereta kebal, jet pejuang dan patung askar.


MINIATUR patung tentera yang dipamerkan di Muzium Sejarah Tentera Dresden.


Salah satu artifak yang turut mendapat perhatian ialah tengkorak yang kelihatan pecah pada bahagian depan muka. Tengkorak tersebut dikatakan milik seorang anggota tentera yang membunuh diri dengan menembak mukanya sendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: