Tuesday, February 1, 2011

Tuah wajah kacukan

  • Foto

    ALLANA Amir (kiri) dan Siti Saleha.

  • Foto

    ALLANA Amir (kiri) dan Siti Saleha.

Drama Ustaz Amirul cabar bakat Allana Amir, Siti Saleha

DRAMA rantaian terbitan Excellent Pictures milik sutradara Ahmad Idham, Ustaz Amirul, siaran stesen televisyen nombor satu negara, TV3, menemukan dua gadis berdarah kacukan yang menyaksikan nama mereka kian meniti di bibir peminat, Allana Amir dan Siti Saleha.Bukan saja ditemukan di dalam drama penuh dengan nilai keislaman, malah mereka turut digandingkan dalam sebuah telefilem bertajuk Sudu dan Garfu, yang bakal ditayangkan di saluran sama tidak lama lagi.
Di samping mula mencipta nama dalam arena lakonan, dua wanita muda kelahiran luar negara ini turut membintangi banyak iklan komersial sejak usia mereka belasan tahun lagi.

Allana Amir atau nama sebenarnya Allanaaz Jehan Amir Khan yang berketurunan Afghanistan mula menceburi dunia seni sejak dari umur 15 tahun, dengan membintangi iklan komersial. Kerana paras rupa serta kefasihan menguasai beberapa bahasa asing, Allana lebih banyak ditawarkan menghiasi iklan komersial untuk siaran luar negara.

Antara iklan yang dijayakannya ialah Kotex untuk negara India, Mentos (Dubai) dan Atlasbank (Pakistan).

Gadis muda ini memberitahu, dia sememangnya fasih berbahasa ibundanya iaitu Afghanistan di samping bahasa Hindi, Inggeris dan Melayu.
Selain itu, pemilik tubuh kecil ini mulai serius dalam bidang lakonan sejak dari usianya 17 tahun, dan Ustaz Amirul ialah antara drama yang menyaksikan Allana benar-benar fokus kepada watak lakonannya.

“Saya memegang watak Khatijah iaitu adik kepada watak utama, Ustaz Amirul (lakonan Ashraf Muslim). Watak yang saya bawa dalam drama ini begitu berbeza dengan personaliti saya sebenar, di mana Khatijah rapat dengan abangnya serta seorang yang lemah lembut dan mementingkan kebahagiaan keluarganya. Sebaliknya, saya seorang yang kasar dan aktif.

"Hakikatnya, saya lebih gemar watak wanita yang sofistikated kerana ia melambangkan keperibadian diri saya. Begitupun, saya berterima kasih kepada abang Ahmad Idham kerana memberikan peluang untuk saya menjayakan watak ini. Saya juga bersyukur kerana dapat membawakan watak Khatijah dengan baik.

“Lebih bermakna lagi apabila pembabitan saya dalam Ustaz Amirul banyak memberi pengajaran kepada saya, yang turut berkesempatan mendalami ilmu agama. Watak bertudung dalam drama ini juga langsung tidak mendatangkan masalah kepada saya,” jelas Allana yang berkunjung ke Balai Berita, baru-baru ini.

Selain drama Ustaz Amirul, Allana yang masih bergelar pelajar di sebuah kolej swasta turut membintangi beberapa filem iaitu Skrip 7707 dan 4 Madu. Manakala drama yang pernah dibintanginya pula ialah Otai dan Impian L. Gadis cantik ini bercita-cita membuka sebuah agensi peragaan ataupun pencarian bakat pada masa hadapan.

Dapat hayati watak sebaik saja bertudung

SITI Saleha Mohd Baharum atau lebih selesa dipanggil Saleha pula dilahirkan dan dibesarkan di England sehingga umurnya empat tahun.

Gadis berdarah kacukan Melayu-Inggeris ini membawakan watak Munirah di dalam drama tulisan Siti Jasmina Ibrahim itu, iaitu seorang gadis ayu yang bekerja untuk bapa Amirul.

“Watak Munirah agak sukar untuk dibawa kerana dia seorang yang sungguh emosional dan dramatik. Tapi, peliknya, apabila saya mula bertudung saya dapat rasakan watak Munirah mengalir dalam diri sekali gus membuatkan saya dapat menghayati watak yang diserahkan kepada saya dengan lancar.

“Saya akui watak Munirah amat berbeza dengan diri saya yang sebenar, namun hakikat itu bukan penghalang untuk saya menjayakan watak berkenaan. Sebagai Munirah, saya perlu seorang yang lemah lembut, pemalu dan kuat berkerja," cerita Saleha.

Menurutnya, drama itu agak menarik kerana selain bersifat keagamaan, ia turut banyak mengajar penontonnya cara bercinta dari sudut pandangan Islam, iaitu berkasih dengan Tuhan, keluarga dan insan tersayang.

“Drama ini sebenarnya agak berat untuk dijayakan. Pada masa yang sama ia memberikan banyak pengajaran kepada saya. Seperti Allana, saya juga berasa amat selesa bekerja di bawah tunjuk ajar Ahmad Idham” jelas Saleha yang popular menerusi drama 5 Jingga.

Siri 5 Jingga ialah drama pertama yang menaikkan nama adik Sam Bunkface ini, selain drama Kasut Tumit Tinggi, Habil Qabil dan Awan Dania.

Diminta ulasannya terhadap tawaran berlakon yang menampakkan dirinya lebih berusia, seperti wanita berkerjaya, berbanding usia sebenarnya yang baru menginjak 20 tahun, Saleha mempunyai pandangannya tersendiri.

“Saya mahu menjadi seorang pelakon yang serba-boleh dan jika diberi kesempatan, saya ingin mencuba pelbagai watak. Justeru, saya tidak kisah diberikan watak lebih berusia. Saya juga sudah mencuba watak remaja seperti di dalam 5 Jingga.

"Antara watak kesukaan saya pula ialah dalam drama Bersalji di Kuala Lumpur dan Kecuali Cintamu. Watak dalam dua drama ini banyak menonjolkan diri saya sendiri yang begitu petah bercakap,” akui Saleha yang begitu meminati pelakon Vanidah Imran.

Saleha yang juga seorang pelajar Komunikasi Massa di sebuah kolej swasta di Subang Jaya mengaku belum pernah membintangi mana-mana filem, sebaliknya karier lakonannya lebih terarah kepada lakonan di televisyen dan iklan komersial.

Begitupun dia tidak terkilan kerana sememangnya dia berhasrat mempamerkan keupayaan di layar kecil terlebih dulu sebelum melangkah lebih jauh dengan membintangi filem pula. Katanya, biarlah dia bermula dengan perlahan sebelum benar-benar bersedia menerima cabaran lebih hebat.

Sama seperti Allana, gadis yang lebih fasih berbahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu ini sudah mula berjinak-jinak dalam lakonan iklan komersial sejak usianya 12 tahun lagi. Antara iklan dibintanginya termasuk Maxis, Follow Me, Pantene, F&N, mi Maggi, Gardenia, Celcom dan Enchanteur.

PROFIL: Allanaaz Jehan Amir Khan
ASAL: Afghanistan
KELUARGA: Anak kedua dari 2 adik-beradik
UMUR: 20
KERJAYA: Pelakon
DRAMA: Otai dan Impian L
FILEM: Skrip 7707, 4 Madu
IKLAN: Kotex (India), Mentos (Dubai), Atlasbank (Pakistan)

PROFIL: Siti Saleha Mohd Baharum
ASAL: England
KELUARGA: Anak ketiga dari 4 adik-beradik
UMUR: 20
KERJAYA: Pelakon
DRAMA: Habil Qabil, Awan Dania, 5 Jingga, Kasut Tumit Tinggi.
IKLAN: Maxis, Follow Me, Pantene, F&N, Maggi, Gardenia, Celcom, Enchanteur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: