BEBERAPA hari lalu, seorang lelaki Tionghua meminta izin penulis untuk mengambil sedikit daun pisang di surau di hadapan rumah. "Saya mahu bikin
kuih bakul lah. Di bandar susah mahu cari pokok pisang.
"Boleh minta sedikit?" tanya lelaki yang berumur dalam lingkungan usia 60 tahun itu.
Penulis yang tahu lelaki itu tinggal dalam kawasan kejiranan, membenarkan lelaki itu mengambil sedikit daun pisang di situ. "Saya ada pisau sendiri, saya boleh angkat ya...mungkin enam atau tujuh helai," katanya ramah sambil bercerita bahawa kuih bakul atau nian gao yang bererti kuih tahun merupakan kemestian baginya setiap kali menyambut Tahun Baru Cina. Kuih Bakul ialah simbol yang membawa tuah dalam menyambut tahun baru bagi kaum Cina.
Di Lembah Klang harga sebiji kuih bakul dijual di antara RM9 hingga RM13 bergantung kepada saiz dan lokasi jualan.
Menurut masyarakat Tionghua moden, kuih bakul dalam bahasa Mandarin hampir sama dengan perkataan yang bermakna tahun yang lebih tinggi terutama dari aspek pendapatan.
Kepercayaan itu menggalakkan semua penghuni rumah menghidangkan kuih bakul kepada tetamu selain amalan membuat kuih bakul sendiri sebagai menghormati adat resam dan tradisi masyarakat Tionghua. Setiap kali menjelang Tahun Baru Cina, We Hui Ming bersama keluarganya tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan juadah tradisional Cina iaitu kuih bakul. Hui Ming, 38, yang tinggal dan berniaga di Kampung Cina, Kuala Terengganu, Terengganu berkata, beliau yang dibantu oleh ibu dan suaminya menyiapkan antara 4,000 dan 5,000 biji kuih bakul setiap tahun menjelang Tahun Baru Cina.
Kuih-kuih yang dihasilkan oleh keluarga itu bukan sahaja dibeli oleh penduduk di sekitar Terengganu, malah ditempah oleh penggemar dari luar Terengganu.
"Kuih bakul atau dalam sebutan Cina nian gao tidak terhad kepada kaum Cina saja, malah saya banyak menerima tempahan daripada orang Melayu. Ada seorang guru dari Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Kak Pah selalu datang ke sini tempah kuih bakul untuk diagih-agihkan kepada kawan-kawannya," katanya ketika ditemui.
Menceritakan pengalamannya, Hui Ming berkata, ibunya Tan Kim Jee, 68, mengajar beliau membuat kuih bakul sejak lima tahun lalu.
Bahan utama untuk membuat kuih itu tidaklah sukar, cuma memerlukan beras pulut dan gula. Bagaimanapun, cara membuatnya agak rumit kerana ia memakan masa yang agak lama.
Langkah membuat kuih itu bermula dengan mengisar beras pulut menjadi tepung, kemudian direndam selama satu malam. Sebelum dicampur gula, ia perlu ditoskan sebelum diuli.
Hui Ming berkata, kuih bakul perlu dikukus agak lama iaitu selama 18 jam sehingga warnanya bertukar menjadi coklat. Setelah masak, ia perlu dijemur di bawah cahaya matahari seharian.
Kuih bakul tujuh generasi
Katanya, kuih bakul itu ada yang dibungkus dengan plastik dan daun pisang. Kuih bulan yang dibungkus dengan plastik dijual pada harga RM5 sebiji manakala yang dibungkus dengan daun pisang dijual RM9 sebiji kerana saiznya yang lebih besar dan beratnya mencecah setengah kilogram sebiji.
Sementara itu, Kim Jee berkata, keluarganya terlibat dalam penghasilan kuih bakul sejak turun temurun dan sudah melangkaui tujuh generasi.
Pada hari-hari biasa dan bukan pada musim perayaan, beliau berniaga kuih pau dan kuih tradisional Melayu seperti pulut panggang, keropok lekor dan keropok keping.
Selain kuih bakul, berpakaian baru terutama warna merah yang bermakna membawa tuah turut menjadi kemestian bagi masyarakat Tionghua yang menyambut Tahun Baru China.
Amalan itu turut diikuti dan dihormati oleh Peggie Ng walaupun beliau telah memeluk Islam. Ng juga memastikan anak-anaknya berpakaian merah apabila ke rumah nenek mereka.
"Anak-anak saya memang seronok memakai pakaian merah. Tak kiralah ceongsam tradisional ataupun baju moden. Bila tiba perayaan Tahun Baru Cina setiap tahun, mereka akan pastikan baju Tahun Baru sudah siap dikemas untuk dibawa ke rumah po-po (nenek) mereka di Pulau Pinang," kata Ng yang menetap di Kampung Tunku, Kuala Lumpur.
Tidak seperti anak-anaknya, Ng tidak begitu minat berpakaian merah kerana warnanya terlalu terang dan menonjol, tetapi masih memilih baju yang ada sedikit warna merah sebagai syarat.
Ng biasanya pulang ke rumah ibunya sehari sebelum tahun baru untuk makan besar bersama ibu dan adik-beradiknya.
Ng juga masih mengikut adat kaum Cina keturunan Teochew di Pulau Pinang. Sebelum pulang untuk merayakan Tahun Baru bersama keluarga di rumah orang tua, anak perempuan mesti menghantar kiriman barang keperluan untuk sambutan tahun baru dan majlis makan malam.
Adat itu dinamakan song nian atau kiriman tahun.
Ziarah ibu bapa
"Sekarang, lebih senang kalau dikirimkan wang saja kepada ibu kerana segala keperluan akan dibeli oleh ibu. Tak perlu adik-beradik perempuan memikirkan siapa patut beli bahan apa. Kadang-kadang terbeli dua kali dan barang yang berlebihan itu membazir pula.
"Wang itu akan digunakan untuk membeli bahan makanan kering seperti cendawan, abalon, itik yang dikeringkan, pelbagai kuih dan kekacang.
"Dahulu, kiriman itu sebenarnya perlu dibawa sendiri untuk menggalakkan anak-anak menziarah ibu bapa sebelum musim perayaan, terutama anak perempuan yang akan menghadiri majlis makan malam sebelum tahun baru di rumah mentua," jelas Ng.
Ng tidak mempunyai masalah untuk membahagikan masa menyambut Tahun Baru Cina bersama keluarga saban tahun selain merayakan Aidilfitri dan Aidiladha sebagai seorang Islam.
"Saya akan tinggal di Bukit Mertajam untuk beberapa hari tetapi memandangkan rumah keluarga ibu saya agak kecil, keluarga saya akan menginap di sebuah hotel yang tidak berapa jauh dari rumah ibu, demi keselesaan semua," kata Ng tersenyum menceritakan kemeriahan sambutan bersama keluarga.
Pada pagi Tahun Baru Cina, kanak-kanak akan membawa buah limau atau kam yang bererti emas dan angpau iaitu paket merah berisi wang untuk ibu bapa dan anggota keluarga yang belum berkahwin.
Buah tangan itu atau pai nian, lumrahnya saling bertukar ganti tangan untuk berkongsi tuah pada pagi tahun baru.
Memberi angpau memang satu kewajipan terhadap mereka yang sudah berumah tangga untuk diberikan kepada mereka yang masih bujang tanpa mengira usia.
Mengikut adat orang Teochew di Pulau Pinang, limau diberikan dalam jumlah angka genap.
"Kalau saya terima empat biji limau, saya pulangkan hadiah kam dengan jumlah yang sama. Saya pernah terima angpau yang mengandungi duit syiling .40 sen semasa kecil. RM1.10 sen pun saya pernah terima. Tetapi kini, sememangnya kalau wang syiling, kanak-kanak kurang seronok apabila menerimanya.
"Sebenarnya, apa yang penting ialah pemberian itu untuk membawa tuah pada tahun baru," katanya.
Masyarakat Tionghua di seluruh dunia akan menyediakan rumah untuk sambutan tahun baru sebaik mungkin dengan memastikan ia dibersihkan pada satu tarikh istimewa sebelum tahun baru.
Pemilihan tarikh cuci rumah akan mengikut perkiraan kalendar almanak Cina dan bahan tradisi yang digunakan ialah batang buluh yang masih berduri.
Ia digunakan untuk mengemas sarang labah-labah di ceruk siling dan dinding sekeliling rumah.
"Dulu, batang pohon buluh inilah yang digunakan untuk membersihkan sawang dan habuk. Saya yakin pohon buluh ini ada kelebihannya iaitu untuk menjauhi keburukan. Buluh dipercayai berupaya menghalau nasib malang dan hantu yang tidak baik," cerita Ng.
Rumah yang dikemas untuk musim perayaan turut menjadi tumpuan keluarga yang ada ramai anak perempuan kerana pembahagian 'kawasan' dan waktu berkemas memendekkan lagi proses pembersihan dan tempoh masa untuk menyelesaikan kerja membersih.
|
|
Mengerat hubungan
Beberapa hari sebelum sambutan tahun baru, masyarakat Tionghua dilarang menyapu, mengemas atau mencuci rumah kerana diibaratkan seperti menyapu keluar tuah yang dibawa pada tahun itu.
Memang tidak dapat dinafikan air tangan ibu menyediakan juadah tradisional dan baru untuk majlis makan besar pada malam sebelum Tahun Baru Cina amat dinanti-nantikan.
Ramai yang enggan makan di restoran atau di hotel-hotel mewah walaupun ia boleh mengelakkan rumah ibu dan bapa menjadi kotor dan berselerak.
Kuih-muih yang dibuat bersama anggota keluarga secara bergilir-gilir mengikut pusingan rumah yang dikunjungi pada tahun baru, adalah pengalaman yang menyeronokkan selain dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Peggie bercerita: "Kalau minggu ini kami bakar kuih kapit di rumah adik bongsu, minggu depan giliran membuat biskut bangkit di rumah kakak. Seronok dan meriah kerana inilah masanya kami berkumpul dan mengimbau kenangan pada zaman kanak-kanak. Di rumah abang pula pada minggu yang berikutnya kami membuat kuih bakul." Tahun ini di rumah keluarga Peggie, ada sesuatu yang menarik.
Anak buahnya yang sedang menuntut kursus kulinari di sebuah institut pendidikan tinggi akan memasak untuk seisi keluarga.
Pastinya, menu yang bakal dihidangkan nanti adalah sesuatu yang baru selain dengan makanan kaum dan budaya lain turut disediakan.
"Saya tak sempat nak tolong masak tahun ini, sampai nanti sempat untuk makan sajalah sajian anak buah saya itu!" jawab Peggie sambil melemparkan senyuman, memikirkan gelagat anak-anaknya nanti bila sampai ke rumah po-po mereka untuk menyambut Tahun Baru Cina.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: