Thursday, February 24, 2011

‘Tiada Lama Tiada Baharu’ Cecah Setengah Juta Penonton

Azwan Ali (kiri) bersama-sama Didie Alias ketika mengacara program Tiada Lama Tiada Baru Selama-lamanya.

PETALING JAYA: Setelah bersiaran selama tujuh minggu, program realiti Tiada Lama Tiada Baharu Satu-Satunya di TV1 telah mencecah rating lebih setengah juta penonton.

Program yang menampilkan penyanyi jemputan seperti Datuk Jeffrydin, Datuk M. Daud Kilau, Noraniza Idris, Datuk David Arumugam dan Mas Idayu itu disiarkan secara langsung di Studio 1, RTM pada setiap hari Jumaat pukul 9 malam.

Pengacaranya, Azwan Ali berkongsi berita gembira tersebut memandangkan dia merupakan pencetus idea program yang turut dihoskan oleh pelakon Didie Alias itu.

Penuntut dan penyanyi jemputan berkongsi pentas.

“Setakat ini, banyak komen yang saya terima tentang program ini semuanya positif dan tiada yang negatif selepas lebih sebulan bersiaran.

“Ramai penonton yang sukakan program ini sehingga ada yang mencadangkan supaya ia dibuat selama dua jam kerana masa satu jam terlalu pendek.

“Program tersebut terbahagi kepada dua segmen di mana nyanyian menjadi kategori utama dan segmen kedua adalah ‘Muka Iras Artis’ yang lebih kepada segmen ‘suka-suka’.

"Saya mendapat tahu segmen ‘Muka Iras Artis’ mendapat sambutan yang hangat,” katanya kepada mStar Online.

Aksi Mas Idayu ketika mengajar penuntut Tiada Lama Tiada Baru Selama-lamanya.

Menariknya, segmen ‘Muka Iras Artis’ yang mampu mencetuskan suasana lucu dan menghiburkan itu telah berjaya memadankan peminat yang mempunyai wajah seiras dengan pelakon Os, penyanyi Amy Search, penyanyi Izad Exist, pelakon Nik Sayyidah atau Mek (Salam Pantai Timur) dan penyanyi Amy Mastura.

“Setiap minggu ada 15 penuntut dan mereka perlu mengikuti kelas motivasi, tarian, muzik, drama dan fesyen pada setiap Isnin hingga Khamis dari pukul 8.30 pagi hingga 11 malam tanpa berehat.

“Saya turut memantau penuntut-penuntut ini kerana saya merupakan Ketua Kursus Luar Kampus. Pada hari pertandingan, kita hanya memilih dua pemenang tetapi yang kalah tidak disingkirkan sebaliknya diundi semula.

“Dari segi pemarkahan, sebanyak 50 peratus diberikan oleh ikon iaitu penyanyi Datuk DJ Dave, 30 peratus undian penonton menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan 20 peratus daripada pensyarah-pensyarah iaitu penyanyi Dia Fadila, pemuzik Acis, koreografer EE dan saya sendiri,” ujar Azwan lagi.

Datuk David Arumugam menjadi salah seorang penyanyi jemputan.

Secara keseluruhan, seramai 61 penuntut berentap di mana 39 penuntut bagi kategori nyanyian manakala 22 bagi kategori Muka Iras Artis.

Program ini akan berakhir pada 29 April ini dan sebanyak lapan anugerah yang akan direbut iaitu juara, naib juara, tempat ketiga, Penuntut Terbaik, Persembahan Terbaik, Penuntut Contoh, Ikon Contoh dan Penuntut Popular.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: