TAIPING - Seorang pemilik kedai barangan lusuh maut selepas terkena dua das tembakan yang dilepaskan oleh sekumpulan penjenayah yang memecah masuk premis miliknya di Jalan Barrack berhampiran Pejabat Pos Taiping di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 6.45 pagi itu, selain mangsa, K. Pitchai, 71, dua lagi pekerja yang berada di dalam premis terbabit cedera termasuk seorang daripadanya parah kerana ditetak di kepala.
M. Palsamy, 67, yang cedera parah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Taiping manakala seorang lagi mangsa, Subramaniam, 60-an, cedera ringan di kepala dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd. Diah berkata, Pitchai maut di tempat kejadian selepas terkena dua das tembakan di kepala dan dada.
"Ketika kejadian, Pitchai berada di dalam premis bersama tiga pekerjanya sebelum didatangi tiga penjenayah yang memakai topeng muka.
"Suspek kemudian mengarahkan mangsa menyerahkan wang tetapi warga emas itu dikatakan enggan mengikut arahan tersebut," katanya di sini semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: