
ALANG-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Itulah perumpaan yang dipegang oleh penyerang berbisa bola sepak negara, Mohd Safee Mohd Sali yang bakal berangkat ke Indonesia esok untuk menyertai kelab barunya, Pelita Jaya.
Bagi Safee, apa jua yang dilakukan dalam hidupnya adalah satu perjuangan dan di sana juga dia mengharapkan yang terbaik buat dirinya.
Keputusan untuk beraksi bersama kelab luar adalah satu peluang yang dianggap besar kerana menjadi impiannya sejak bergelar pemain bola sepak. Bukan menidakkan liga bola sepak di Malaysia sebagai bagus, tetapi baginya jika ingin mencari lebih pengalaman, perlu keluar menambah ilmu di negara lain.
“Saya sememangnya cukup gembira dan bersyukur kerana impian untuk bermain di luar negara sudah tercapai. Dalam masa sama juga saya agak sedih meninggalkan rakan-rakan seperjuangan dalam pasukan Selangor. Pun pegitu ‘lampu hijau’ yang diberikan oleh pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) ini amat bermakna sekali.
“Sebolehnya saya mahu berkongsi perasaan teruja ini bersama pemain-pemain muda yang lain agar suatu hari nanti mereka turut mendapat peluang untuk beraksi dengan pasukan di luar negara,” katanya kepada Mingguan mStar baru-baru ini.
Walaupun ada sesetengah pihak tidak bersetuju dengan kontraknya bersama kelab tercorot dalam Liga Super Indonesia (ISL), namun itu tidak mengganggu fokus utamanya.
Safee mengibar Jalur Gemilang kepada penyokong-penyokong Malaysia selepas tamat perlawanan persahabatan antarabangsa Malaysia lawan Hong Kong, Rabu lalu. “Sebenarnya soal kedudukan tercorot atau teratas tidak pernah timbul dalam fikiran saya kerana semua itu boleh berubah. Saya pergi dengan azam tersendiri untuk menunjukkan prestasi terbaik dan dalam masa sama akan cuba membantu pasukan ke kedudukan yang lebih baik. Saya ditugaskan sebagai penyerang utama dan akan turut memakai jersi dengan nombor kegemaran saya, 10. Saya akan menggunakan kepercayaan yang diberikan oleh kelab Pelita ini dengan sepenuhnya.
“Apa yang penting sekarang ialah saya mahu semua penyokong bola tempatan memberi sokongan penuh kepada saya dan sentiasa berfikiran positif kerana dalam masa sama ia menunjukkan pemain-pemain Malaysia juga mempunyai kebolehan untuk beraksi dengan kelab luar negara. Jadikan pemergian saya ini sebagai titik tolak untuk melihat lebih ramai lagi pemain kita akan beraksi bersama kelab luar,” jelas pemain kelahiran Kajang ini.
Sementara itu, bapa kepada dua orang puteri ini berkata, meninggalkan negara bukan bermakna dia tidak boleh beraksi dengan Malaysia kerana selepas ini sekiranya dia dipanggil untuk menyarung jersi Harimau Malaya, dia sentiasa bersedia memberi komitmen.

“Tidak ada yang berubah tentang itu kerana keutamaan adalah kepada negara, bezanya saya hanya tidak beraksi dalam liga di Malaysia. Di sana nanti saya akan cuba meningkatkan corak permainan saya dan cuba melakukan yang terbaik,” katanya yang enggan memberitahu bayaran yang bakal diterima, namun dia gembira dengan kontrak itu.
Selain itu, Safee yang baru menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-27 hujung bulan lalu berkata, dia akan turut membawa keluarga tercinta ke Indonesia.
“Saya tidak bersendirian ke Jawa Barat nanti kerana akan turut membawa isteri dan anak-anak ke sana. Saya juga gembira kerana sepanjang penglibatan saya dalam dunia bola sepak ini, kaum keluarga adalah tulang belakang saya kerana telah memberi sokongan yang tidak berbelah bagi sejak saya mula melibatkan diri dalam sukan bola sepak ketika berumur 10 tahun lagi,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: