Thursday, February 24, 2011

Raja Arab Saudi umum insentif RM106 bilion


SEJUMLAH rakyat meraikan kepulangan Raja Abdullah yang menaiki sebuah kereta ke Riyadh semalam.


RIYADH - Pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah kembali ke tanah airnya semalam selepas tiga bulan berada di luar negara untuk menjalani rawatan perubatan sakit tulang belakang.

Sekembalinya ke Arab Saudi, Raja Abdullah, 87, mengumumkan beberapa insentif baru kepada rakyat yang dianggarkan bernilai AS$35 bilion (RM106 bilion).

Arab Saudi adalah pengeksport minyak terbesar dunia.

Insentif-intensif itu termasuk dana untuk mengurangkan inflasi negara dan membantu golongan belia menganggur serta keluarga untuk memiliki rumah mampu milik.

Semua peruntukan itu diberikan ketika protes merebak di banyak negara Arab kesan daripada rakyatnya yang hidup dihimpit kemiskinan, rasuah dan tekanan pemerintah.

Langkah tersebut bagaimanapun tidak melibatkan reformasi politik seperti yang dituntut oleh golongan liberal dan pihak pembangkang.

Arab Saudi mengamalkan pemerintahan beraja mutlak dan tidak memiliki Parlimen atau parti-parti politik.

"Saya berpendapat inisiatif itu baik tetapi kita perlu melihat lebih banyak reformasi seperti pilihan raya perbandaran dan urus tadbir yang lebih baik.

"Peruntukan kewangan hanya akan berjaya sekiranya para pegawai melaksanakan tanggung jawab mereka," kata seorang penganalisis politik tempatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: