BUNGA-BUNGA cinta jelas melingkari kehidupan Rossa kini. Selepas kembali solo lebih setahun lalu, penyanyi Tegar itu semakin bersedia berkongsi rasa, terutama dalam soal berpacaran.
Sekali pun sudah membuat pengakuan terbuka, identiti jejaka yang mampu mencuri hatinya tetap dirahsiakan kerana dia berasa kurang selesa. Apatah lagi, akui bekas isteri Yoyo yang juga anggota Padi itu, segala-galanya masih terlalu awal.“Cukuplah kalau saya katakan teman saya itu pengusaha yang agak berusia sedikit daripada saya. Orangnya tidak suka menonjolkan diri. Bagaimanapun, karisma dan kepintarannya cukup menambat hati saya,” katanya ketika ditemui di ibu kota, kelmarin.
Walau masih keletihan kerana kedatangan kali ini terlalu singkat semata-mata memenuhi permintaan penganjur, keramahan dan keceriaan jelas terserlah pada diri dan wajahnya. Sepanjang temubual, kerap kali usikan dan tawa manja kedengaran.
Ditebak adakah menunggu teman baiknya, Krisdayanti menaiki pelamin baru dirinya akan menyusul, sekali lagi tawa Rossa yang tampak anggun mengenakan busana Amir Luqman bergema di ruang temubual santai.
Tanpa menunjukkan rasa kurang senang terhadap soalan peribadi yang diaju bertalu-talu, ibu kepada Rizky Langit Ramadhan, 4, sempat berseloroh mahu mengadakan majlis resepsi kecil namun lokasinya di luar negara.
“Biarlah KD ‘lepas’ dulu. Saya senang melihat teman baik saya bahagia... Dia sudah menemui pendampingnya. Kini kami sibuk membantunya membuat persiapan kerana majlis semakin dekat. Kalau soal majlis saya pula, biarlah kecil tapi manis untuk dikenang dan ia harus di Venice atau Madrid,” katanya sempat berjenaka.
Akui si kecil molek itu lagi, tiada apa diharapkan kecuali kesejahteraan anaknya selain kehidupan lebih baik daripada sebelumnya dalam soal cinta mahu pun kerjaya.
Kagumi bakat Aizat
TERLANJUR bercerita mengenai cinta sejati dirinya iaitu seni suara, Rossa yang dijadualkan kembali lagi ke Kuala Lumpur akhir bulan depan sempena promosi album kompilasi The Best of Rossa merancang menerbitkan album studio ke-10.
Istimewanya, dalam album berkenaan dia mahu memuatkan lagu duet dengan rakan seperjuangan dari Malaysia dan Singapura yang akan mula dibikin sebaik saja jadual promosi album himpunan lagu popularnya itu selesai.
Calon utama dari negara ini yang menarik perhatiannya ialah bakat kelahiran Akademi Fantasia (AF) musim lima, Aizat atau Muhammad Aizat Amdan, 22.
Rossa berkata, projek pembikinan buah tangan terbarunya itu dianggap istimewa kerana ia umpama penyatuan antara tiga negara yang dieratkan menerusi muzik.
“Pengisian album studio ke-10 ini unik dan mendorong saya untuk mengundang Aizat. Dia cukup berkarisma kerana dalam usia muda, Aizat muncul bakat serba boleh, bervokal mantap, komposer menakjubkan selain bersikap merendah diri.
"Begitupun, ini hanyalah perancangan awal. Kami akan berbincang lagi tetapi tumpuan kini menjurus kepada promosi The Best of Rossa, yang turut memuatkan tiga lagu baru,” katanya dengan nada teruja.
Ditanya sama ada Yoyo turut menyumbangkan lagu dalam album kompilasi atau buah tangan yang bakal dibikin nanti, katanya bekas suaminya itu sibuk menerbitkan album kumpulan De’Langit yang turut dianggotai adik Rossa, Hendra Nurcahyo, yang juga pencipta lagu Pudar.
“Syukur kami boleh berkawan baik demi Rizky. Malah jika Rizky sakit, kami akan menjaganya bersama-sama. Bagi seorang ibu tunggal seperti saya, saat paling meruntun jiwa adalah ketika anak sakit.
“Pernah suatu waktu dia diserang denggi membuatkan saya rasa tidak keruan. Mujur papanya ada sama menemani. Sememangnya, dalam soal anak kami meletakkannya dalam tangga teratas,” ujar wanita penyayang itu yang menegaskan, tanggungjawab sebagai ibu ialah keutamaannya, baru diikuti nyanyian.
Adakah hubungan dengan Yoyo sudah kembali bertaut atau sememangnya dia bukan pendendam? Dengan pantas, anak jati Sumedang, Indonesia itu menyatakan kemesraan tidak semestinya tanda mahu bersatu semula kerana semuanya untuk Rizky.
“Pemaaf? Tapi yang sebenarnya saya seorang pelupa,” ungkapnya sambil tertawa sekali gus menampakkan luka hati dek kecurangan suami masih belum sembuh, apatah lagi pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 2004 itu dilabel romantis hingga ia berkecai lima tahun kemudian.
Sedih musibah menimpa Ariel
ROSSA atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani tidak ketinggalan menyatakan Kuala Lumpur juga antara destinasi menenangkan hingga keramahan dan sikap terbuka peminat di sini membuatkannya suka datang bertandang.
“Ya.... Boleh dikatakan saya sangat serasi di sini. Ramai teman baik yang boleh membawa saya bersiar-siar atau menikmati makanan enak. Kiranya berada di sini juga terapi kerana situasinya cukup menceriakan,” katanya yang hampir dua bulan berada di ibu negara ini berikutan undangan persembahan.
Akuinya lagi, bersama beberapa teman artis mereka turut merancang menyaksikan konsert penghibur tempatan yang popular di Indonesia, Datuk Sheila Majid yang bakal beraksi di Pusat Konvensyen Jakarta pada 15 Februari ini.
Sekali pun sibuk dengan segala macam urusan, insan peramah itu masih sempat berliburan dengan teman, malah katanya mereka baru meraikan ulang tahun kelahiran Luna Maya.
Bicaranya bagaimanapun kembali serius apabila diminta menyentuh insiden menimpa teman lelaki Luna Maya, Ariel yang baru menerima hukuman mahkamah disebabkan penyebaran klip video mengaibkan.
“Saya sedih apabila sahabat sendiri berdepan situasi sebegini. Sebagai rakan, kami akan memberinya perangsang supaya tidak mudah patah semangat,” ulasnya tenang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: