|
Sebagai sebuah pertubuhan yang bertanggungjawab menjaga kebajikan saudara muslim, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) sekali lagi menunaikan peranan tersebut dengan menghadiri majlis bacaan tahlil saudara Muslim sempena pembukaan premis perniagaan baru.
Majlis yang berlangsung di Semenyih, Selangor, akhir bulan lalu itu dihadiri oleh rakan-rakan dari Perkim Kebangsaan, sahabat Perkim, saudara Muslim, rakan-rakan serta penduduk setempat.
Pegawai Dakwah dan Kebajikan Perkim, Amran Abdullah berkata, pihaknya mengambil berat perihal saudara Muslim dengan pemantauan dan masalah yang mereka hadapi serta membantu menguruskan dengan sebaik mungkin.
"Kita adalah umat Islam yang bersaudara. Bak kata pepatah 'cubit paha kanan, paha kiri juga turut terasa', apa yang dapat kita bantu, kita akan bantu dengan sedaya upaya," katanya.
Terdahulu, Amran merasmikan premis R&F yang dimiliki oleh Muhammad Rasul Kumar Abdullah.
Premis yang diberi nama R&F itu diambil sempena gabungan huruf empunya premis dan isterinya iaitu Rasul dan Fadhilah Akma.
Rasul memeluk Islam 10 tahun yang lalu dan aktif menghadiri kelas pengajian harian dan program yang dianjurkan oleh Perkim.
Menurut Amran, Perkim bukan hanya memfokuskan kepada bidang dakwah dan mualaf, tetapi turut merangkumi semua aspek termasuklah kebajikan, pendidikan, hal ehwal sosial, bimbingan dan sebagainya.
Selain memperkasakan keagamaan dan dakwah kepada saudara Muslim, Perkim juga memberi dorongan dan sokongan dalam pembangunan insan serta pembangunan ekonomi bagi mereka yang mempunyai kemahiran dalam bidang perniagaan dan sebagainya.
Syarikat yang mempunyai 10 pekerja bukan beragama Islam itu boleh dibanggakan bagi seorang mualaf dan menjadi contoh kepada saudara muslim yang lain atas kegigihan usaha Rasul, beliau berjaya mencapai impiannya.
Semangat yang ditunjukkan oleh Rasul memberi dorongan dan dokongan kepada rakan-rakannya untuk mengenali Islam dengan lebih mendalam seterusnya mengaplikasikan Islam sebagai satu cara hidup.
Majlis bacaan tahlil dan doa selamat diketuai oleh Mohd. Aminulrashid Ismail. Selesai majlis tersebut, tetamu bersama-sama mengerjakan solat Zohor berjemaah dan menjamu selera.
Turut hadir ialah Sahabat Perkim, Muhammad Shafiq Abdul Geni, Muhammad Bronson Abdullah dan Abdul Hamid.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: