Thursday, February 24, 2011

Pengalaman spiritual bawa Booth ke Islam


Selepas mendapat hidayah ketika di palestin, lauren booth kini antara individu yang giat mempromosikan islam sebagai agama universal.


ENAM tahun lepas wartawan Lauren Booth ke Palestin dengan membawa bersamanya sikap memandang rendah pada orang lain terutama penganut Islam.

Seperti yang diakuinya sendiri, beliau beranggapan orang Arab adalah penakut, dan dia bersimpati dengan wanita yang memakai hijab, niqab dan burqa. Beliau menganggap golongan ini kurang senang dengan tradisi sendiri.

Tetapi hari ini Booth, yang juga merupakan penyiar dan aktivis hak asasi manusia, memperjuang secara aktif nasib orang Palestin – dengan berhijab.

“Saya ke Palestin dengan tanggapan bahawa wanita berhijab perlu diselamatkan daripada nasib malang mereka, suami dan penindasan. Saya bukan berniat merendahkan sesiapa tetapi inilah yang kami diajar di Barat,” katanya.

Bagaimanapun, pengalaman beliau di Palestin membuktikan sebaliknya. Sikap besar hati serta kemuliaan yang ditunjukkan kepadanya oleh orang Palestin, walaupun mereka hidup serba daif, menyangkal apa yang dipercayainya selama ini – yang rantau mereka adalah paling ganas di dunia.

“Ia sesuatu yang mengejutkan bagi saya,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif semasa lawatannya ke Malaysia, baru-baru ini.

“Di sebalik hijab dan burqa, terdapat perkara-perkara yang saya tidak jangka - kemesraan, kelucuan dan sikap berdikari,” katanya.

Selepas bekerja dengan masyarakat Islam di Asia Barat selama lima tahun, beliau muncul sebagai penyokong kuat perjuangan rakyat Palestin.

Beliau berada di Malaysia sebagai penceramah undangan bagi Viva Palestina Malaysia, satu daripada cabang Viva Palestina di UK, sebuah pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa yang berusaha untuk mewujudkan dengan cepat sebuah negara Palestin yang bebas.

Booth memeluk Islam pada September 2010, dan mengumumkannya sebulan kemudian.

Warga Britain berusia 43 tahun itu berkata, beliau memeluk Islam kerana pengalaman spiritual yang dialaminya semasa mengunjungi pusat ibadah Fatima al-Masumeh di bandar raya Qom, Iran.

“Saya sebenarnya tidak memikirkan untuk memeluk Islam. Pengalaman spiritual yang saya alami ini tidak dapat dijelaskan dan memberikan saya kebahagiaan dan ketenangan jiwa,” kata beliau dalam satu temu bual bersama rangkaian berita Iran - Press TV – di mana beliau bertugas sekarang ini.

REAKsI MEDIA KERANA MEMELUK ISLAM

Booth berkata langkah beliau memeluk Islam bukan satu kejutan kepada ramai.

Selama bertahun-tahun beliau lantang menyuarakan isu berkaitan dengan rakyat Palestin dan rakan-rakan Islam semakin dekat dengan hatinya. Bagaimanapun, katanya tersenyum, ada yang ‘berpura-pura terkejut’ dalam media.

Beliau percaya pihak tertentu dalam media Britain terbabit dengan kempen untuk mencemarkan nama baiknya selepas sahaja mengumumkan yang beliau kini beragama Islam.

Sebagai ipar kepada bekas perdana menteri Britain, Tony Blair tindakan beliau itu dengan mudah mengundang kritikan.

“Adalah menarik untuk melihat betapa cepat media Britain mempersenda segala yang saya telah buat (sebelum memeluk Islam). Ia menunjukkan jurang besar dan rasa takut akan apa yang dilihat tidak diketahui wujud pada masyarakat Barat.

“Seorang wanita berpendidikan, seorang ibu, seorang petugas media selama 20 tahun terus dikecam selepas sahaja melafazkan syahadah dan memakai hijab di khalayak umum, dengan dakwaan sinis yang beliau mengalami kemurungan, krisis pertengahan hayat atau terdesak untuk sesuatu,” katanya.

Booth berkata sekularisme begitu kuat dalam masyarakat Barat yang tidak dapat menerima kewujudan Tuhan yang maha esa.

Malangnya, kata Booth, pihak tertentu dalam dunia media melakukan tugas yang begitu baik sehingga ramai warga Britain tidak akan membacanya tanpa rasa kasihan, meluat atau keraguan.

REAKSI BERCAMPUR juga diterima DARIPADA RAKAN DAN KELUARGA. Pada masa sama ramai juga rakan-rakan berbersimpati.

“Tetapi saya rasa ada juga yang kecewa kerana kehilangan seorang rakan minum arak. Mereka tidak tahu untuk bersosial dengan minum teh kerana kita telah kehilangan kemahiran itu di dunia Barat,” katanya berseloroh. Reaksi daripada keluarganya pula bercampur.

Sementara beliau tidak banyak mengulas akan reaksi bapanya berhubung tindakan beliau memeluk Islam, kerana beliau tidak banyak berhubung dengan enam orang anak perempuannya. Laporan media UK menunjukkan dengan jelas reaksi ayahnya, seorang pelakon Tony Booth.

Beliau memberi reaksi negatif kepada tindakan anaknya memeluk Islam dengan berkata anaknya itu langsung tidak berminat dengan agama dan meragui keikhlasannya dalam memeluk Islam.

Sebaliknya, ibunya sebak gembira apabila mendapat tahu yang anaknya ‘mengalami ketenangan jiwa.

Walaupun segala keraguan yang timbul dalam kalangan keluarga, beliau berkata, keluarganya memahami keputusan itu. Adik bongsunya menyediakan ayam belanda halal bagi Krismas.

sementara itu, dua orang anak perempuannya, sentiasa melihat Islam dari sudut positif.

“Apabila saya memaklumkan kepada mereka yang saya kini beragama Islam, mereka ajukan tiga soalan - sama ada saya akan melupakan alkohol, rokok dan menutup lurah dada? Apabila saya berkata ya kepada ketiga-tiganya, mereka mengisytiharkan: “Ya! Kami cintakan Islam,” katanya tertawa.

Timbul juga persoalan, bagaimana beliau menunjukkan reaksi kepada fitnah, ulasan negatif dan kritikan? Booth berkata tidak banyak yang beliau dapat lakukan kecuali menerima segala-galanya dan teruskan dengan kehidupan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: