KAHERAH - Satu pasangan pengantin, Dr. Ahmed Zaafan dan Ola Abdel Hamid melangsungkan perkahwinan di lokasi para penunjuk perasaan anti-Presiden Mesir, Hosni Mubarak di Dataran Tahrir, Kaherah kelmarin.
Majlis perkahwinan mereka dihadiri lebih 300,000 orang yang terdiri daripada keluarga mereka dan para penunjuk perasaan.
Menurut pasangan itu, mereka melangsungkan perkahwinan selepas 10 hari berada di dataran tersebut bagi menuntut peletakan jawatan Hosni sebagai presiden.
"Saya berasa bimbang kerana ibu bapa saya mungkin tidak dapat menghadiri majlis perkahwinan kami. Namun, saya berasa gembira kerana penduduk Mesir dan Arab menjadi saksi perkahwinan saya," kata Dr. Ahmed berusia 29 tahun.
Isterinya itu menyatakan bahawa dia tidak dapat mencari satu tempat yang lebih sesuai selain dataran tersebut sebagai lokasi majlis perkahwinannya.
"Saya amat gembira mengenai idea untuk mengadakan majlis perkahwinan di dataran ini yang menjadi saksi kelahiran semula negara kami," katanya yang berusia 22 tahun dan graduan sains komputer.
Lokasi itu menjadi tempat penunjuk perasaan berhimpun bagi menuntut supaya Hosni yang memerintah selama 30 tahun meletakkan jawatan kerana gagal memajukan taraf hidup rakyat selain dakwaan pentadbirannya yang korup.
Sejumlah orang bersorak apabila pasangan itu sah selepas majlis akad nikah berakhir.
Pasangan tersebut menyatakan pemilihan dataran itu sebagai lokasi majlis perkahwinan adalah sebagai lambang keazaman mereka untuk memastikan tuntutan penunjuk perasaan dipenuhi.
Seorang aktivis penunjuk perasaan anti-Hosni berkata: "Kedua-dua mereka memilih untuk melangsungkan perkahwinan di depan berjuta-juta penduduk Mesir yang memperjuangkan kebebasan. Semoga Tuhan memberkati perkahwinan mereka."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: