Friday, February 4, 2011

Nancie rai secara sederhana


MENJAGA kesihatan diri dengan bermain golf, Nancie menjaga rutin pemakanannya dengan penuh teliti.


AGAMA bukan penghalang untuk merapatkan silaturahim sesama keluarga, sanak saudara dan sahabat handai. Itu amalan penerbit Nancie Foo yang cukup terkenal dalam dunia perfileman Melayu suatu ketika dahulu untuk turut meraikan sambutan Tahun Baru Cina yang diraikan bermula semalam itu.

Biarpun dia merupakan penganut agama Kristian, namun menurut Nancie, pada sambutan Tahun Baru Cina inilah dia dan saudara-maranya yang lain dapat berkumpul beramai-ramai.

“Biarpun keluarga saya beragama Kristian, namun kami juga turut menyambut perayaan ini. Cuma kami hanya menyambutnya secara sederhana sahaja memandangkan kami turut menyambut Krismas sebelum ini.

“Malah, saya telah melakukan persiapan dua minggu lebih awal sebelum Tahun Baru Cina. Misalnya membeli pakaian baru untuk saya, suami dan anak-anak serta membeli kuih-muih dan buat limau,” ujarnya sewaktu ditemui di kediamannya baru-baru ini.

Tambah Nancie, tahun ini juga lebih bermakna buat mereka sekeluarga kerana dapat menyambutnya lebih lama lagi di sini termasuk bersama anak sulungnya.

Menurutnya, pada tahun lalu dia hanya sempat menyambutnya selama sehari sahaja di negara ini kerana terpaksa menemankan anak sulungnya yang menyambung pelajaran ke Australia pada hari kedua perayaan.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai Tahun Arnab yang jatuh pada tahun ini, Nancie menjelaskan bahawa tahun berkenaan sebenarnya adalah bukan tahun yang baik kepada masyarakat Cina.

Ujarnya, mengikut ramalan pada tahun ini dijangka banyak kejadian-kejadian yang buruk yang akan berlaku dan mereka yang lahir pada Tahun Arnab juga perlu lebih berjaga-jaga supaya tidak ditimpa malang.

“Masyarakat Cina percaya bahawa dengan memakai banyak barang kemas dapat mengelakkan malang yang akan menimpa. Biarpun kurang percaya dengan ramalan, namun saya tetap melakukan persediaan untuk mengelak berlaku kejadian yang tidak baik,” ujarnya.

Peminat Melayu

Selain fasih berbahasa Melayu, Nancie Foo juga merupakan antara pelakon berbangsa Cina yang sememangnya cukup dikenali di kalangan peminat Melayu.

Ketika era tahun 80-an dan 90-an, dia pernah membintangi filem-filem Melayu seperti Main-Main Hantu, Sayang Ibu dan Pemburu serta pernah memenangi Anugerah Bintang Harapan Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia Kedua (FFM2), kira-kira 30 tahun yang lalu.

Menurutnya, disebabkan sering berlakon dalam filem Melayu, dia juga memiliki beberapa rakan rapat di kalangan pelakon Melayu seperti Ogy Ahmad Daud dan Noorkumalasari.

“Buat masa ini memang saya jarang berjumpa dengan mereka kerana kesibukan masing-masing. Biasanya kami hanya dapat bertemu ketika hadir pada acara-acara tertentu.

“Bagaimanapun, sesekali saya masih lagi berhubung dengan mereka sama ada melalui telefon ataupun khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk bertanyakan khabar,” ujarnya yang memulakan karier sebagai pelakon menerusi filem Bintang Pujaan pada tahun 1981.

Ketika ditanya sama ada dia berhasrat untuk kembali aktif berlakon semula, Nancie menjelaskan dia hanya akan menerima tawaran sebagai pelakon undangan memandangkan tempoh penggambaran yang tidak panjang.

Jelasnya, buat masa ini dia mahu memberi tumpuan kepada tugas di belakang tabir sebagai penerbit eksekutif di syarikat produksi Seni 2020 dan membesarkan ketiga-tiga anaknya iaitu Wong Ai Dee, 18, Wong Ai Vee, 15, dan Wong Ai Lee, 10.


NANCIE kini lebih menumpukan masanya bersama tiga anak gadisnya (dari kiri), Ai Lee, Ai Vee dan Ai Dee.


Kekal cantik

Sudah bergelar ibu kepada tiga orang anak yang sedang meningkat usia remaja, namun bekas Ratu Cantik Malaysia 1979 ini masih lagi mampu mengekalkan kecantikannya.

Meskipun cukup berahsia mengenai usianya ketika ini, jelas Nancie, sebenarnya tiada sebarang petua istimewa mengenai dirinya untuk tetap kelihatan awet muda.

“Selain banyak mengambil makanan tambahan seperti

vitamin, saya juga kerap

melakukan senaman dan begitu mengambil berat mengenai soal pemakanan.

“Malah, saya juga turut aktif bersukan seperti golf dan bila ada kelapangan saya dan anak-anak akan mengikuti suami pergi bermain golf bersama,” ujarnya.

Menurutnya lagi, sebagai seorang wanita yang berkerjaya dan sibuk sepertinya aspek-aspek seperti penampilan dan kesihatan seharusnya diambil kira agar segala urusan dapat berjalan dengan lebih lancar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: