PETALING JAYA: Ketua Kumpulan Meet Uncle Hussein (MUH), Taja, menafikan dakwaan tentang dia dan kumpulannya mempergunakan penyanyi, Hazama untuk kepentingan kumpulan tersebut.
Menurut Taja, walaupun Hazama sering menyanyi bersama kumpulan itu untuk pelbagai acara persembahan, ia tidak bermakna penyanyi tersebut sengaja dipergunakan, tetapi ia lebih berfungsi sebagai penyanyi undangan untuk MUH.
"Biasalah, setiap orang mempunyai pelbagai pendapat tidak kira negatif atau positif. Bagi saya, dakwaan itu dilihat secara tidak baik dari sudut negatif.
"MUH sudah ada perancangan tersendiri dengan Hazama, jadi tiada isu mempergunakan atau tidak antara kami. Kerjasama antara kami menguntungkan kedua-dua belah pihak.
"Buat masa ini MUH telah berkolaborasi dengan Hazama untuk lagu single baru berjudul Pokok dan vokal Hazama berjaya mendalami lagu tersebut," katanya.
Tambah Taja, kerjasama antara Hazama dengan MUH juga turut membantu penyanyi itu menjadi lebih popular berbanding sebelum ini dan ia satu peluang yang bagus untuknya lebih berkembang dalam industri muzik tempatan.
"Rasanya penyertaan Hazama bersama kami memberikan dia peluang yang lebih cerah dalam industri muzik kita. Buktinya, dia kini lebih dikenali berbanding sebelum ini.
"Malah, dia juga berpeluang berduet dengan Amy Search menerusi lagu Gothik Malam Edan di Konsert Gempak Astro Rockabola Jelajah Dataran Penggaram di Batu Pahat, Johor. Setakat ini dia tidak ada masalah dengan kami," ujarnya.
Sementara itu, MUH bakal mengadakan uji bakat pencarian vokalis pada April ini menerusi sebuah pertandingan yang dianjurkan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: