BUKIT MERTAJAM - Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) semalam memulakan operasi besar-besaran bagi membersihkan imej kawasan perumahan Taman Pelangi di sini yang sebelum ini lebih dikenali sebagai 'mini Hatyai'.
Taman Pelangi menerima gelaran tersebut kerana menjadi kawasan penempatan pekerja warga asing dengan sebahagian blok bangunan diubah suai sebagai asrama sejak beberapa tahun lalu.
Keadaan itu menyebabkan taman tersebut menjadi tumpuan warga asing daripada pelbagai negara sehingga menyebabkan ada warga asing yang berani membuka premis perniagaan di situ.
Ahli Majlis MPSP, M. Ramachandran berkata, operasi berkenaan dilaksanakan setelah pihak MPSP menerima aduan daripada penduduk setempat bahawa mereka tidak selesa dengan keadaan tersebut.
"Kita memang terima banyak aduan mengenai pelbagai masalah yang berlaku di kawasan ini sejak dibanjiri pekerja warga asing.
"Lebih memburukkan keadaan, sebahagian besar rumah tingkat bawah di kawasan ini turut diubah suai menjadi premis perniagaan dan ada yang bertindak berani membuat penyambungan elektrik secara haram di premis berkenaan.
"Begitu juga penduduk tempatan yang ambil kesempatan menyewakan premis tersebut kepada warga asing untuk dijadikan premis perniagaan," katanya ketika ditemui semasa mengikuti operasi berkenaan semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: