|
|
LONDON - Legenda penyanyi rock yang juga bekas gitaris kumpulan Thin Lizzy, Gary Moore (gambar) meninggal dunia semasa tidur pada Sabtu lepas.
Sebuah akhbar melaporkan, penyanyi berusia 58 tahun itu baru memulakan percutian enam hari di sebuah hotel mewah di kawasan peranginan Costa del Sol, Sepanyol.
Punca kematian Moore masih tidak dapat dipastikan manakala rakan-rakannya berkata, mereka terkejut mendengar berita tersebut.
"Saya sukar mempercayainya (kematian Moore). Dia amat cergas, dia bukan penyanyi rock bermasalah seperti terbabit dengan dadah, dia seorang yang sihat," kata pemain gitar Thin Lizzy, Eric Bell.
Penyanyi rock itu meninggal dunia beberapa jam selepas dia mendaftar masuk ke Hotel Kempinski di Estepona, Costa del Sol bersama seorang teman wanitanya.
Bilik suite di hotel mewah tersebut mencecah £3,500 (RM17,119) untuk penginapan satu malam.
Teman wanita Moore, yang berusia dalam lingkungan 30-an, dilapor berada dalam keadaan 'amat sedih' dan dia 'tidak berhenti menangis' ekoran kematian legenda tersebut.
"Mereka merancang untuk makan di sebuah restoran selepas mendaftar masuk tetapi ia ditutup. Mereka makan hamburger dan sandwic di bar hotel kami dan minum sebotol champagne," kata seorang pekerja hotel berkenaan.
"Dia kelihatan sihat apabila meninggalkan bar itu sekitar pukul 11 malam," tambahnya.
Sementara itu, satu bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian penyanyi itu dilakukan semalam di bandar Malaga, Sepanyol.
Moore yang dilahirkan di Belfast, Ireland Utara, mula bermain gitar seawal usia lapan tahun selepas mendapat inspirasi daripada bintang legenda, Elvis Presley, kumpulan The Beatles selain menyaksikan Jimi Hendrix melakukan persembahan di bandar kelahirannya.
Dia kemudian mula mencipta nama melalui sebuah kumpulan tempatan, Skid Row pada tahun 1960-an.
Pada tahun 1973, Moore menyertai band Thin Lizzy.
Namun, kerjaya Moore bersama Thin Lizzy tidak panjang dan dia meninggalkan kumpulan itu selepas empat bulan bersama mereka.
Moore seterusnya bergiat aktif secara solo dalam tempoh panjang.
Penyanyi itu mencipta banyak lagu popular selepas kembali solo.
Antara lagu popularnya ialah Parisienne Walkways pada 1979 dan Out in the Fields dalam tahun 1985.
Antara lagu lain yang menaikkan namanya termasuk Wishing Well, Empty Rooms dan Still Got The Blues.
Sebagai pemain gitar, Moore banyak memasukkan unsur irama blues dalam lagunya.
Pengaruh blues jelas dilihat dalam lagu-lagunya terutama sekali Still Got The Blues yang telah dilihat sebanyak 6,821,254 kali di laman YouTube.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: