Thursday, February 24, 2011

Konsert ISF kembalikan aura nasyid


THE BROTHAHOOD


MINGGU lalu, Mega menjadi medium buat penyanyi-penyanyi nasyid tempatan meluahkan pandangan masing-masing terhadap nasib yang dialami mereka dalam industri muzik tanah air.

Sebulat suara, Che Amran (Raihan), Azadan (Rabbani), Munif (Hijjaz), Syahril (Inteam) dan Suffian (Saujana) menepis dakwaan yang mengatakan pejuang nasyid Malaysia semakin tenggelam ditelan arus perubahan muzik.

Bagi menguatkan lagi hujah mereka itu, syarikat pengurusan Out of This World Sdn. Bhd. (O2TW) tampil menganjurkan sebuah konsert nasyid bertaraf antarabangsa, Islamic Song Festival (ISF).

Dijadualkan berlangsung selama dua malam iaitu pada 30 April dan 1 Mei ini, Dewan Plenary, Kuala Lumpur Convention Centre pasti akan digegarkan dengan kehadiran 14 artis nasyid, secara berkumpulan, solo dari dalam dan luar negara.

Artis nasyid solo tempatan yang bakal berdiri di atas pentas Konsert ISF ialah pendendang lagu Mimpi Laila, Yassin.

Kumpulan Brothers turut diberikan peluang untuk muncul dalam konsert berdurasi empat jam, bermula pukul 8 malam itu.

Pentas Konsert ISF akan dikongsi bersama The Brothahood dari Australia, Khaleel Mohamad, Aashiq Al-Rasul (United Kingdom), Khalid Belrhouzi, La Rappel (Perancis) dan Ziryab (Arab Saudi).

Lain-lain artis ialah Bennami (Brazil), Zain Bhikha (Afrika Selatan), Fez dan Meghani & Aftab Ali, kumpulan Native Deen, kumpulan Noor (Amerika Syarikat) dan Opick serta kumpulan Debu (Indonesia).

Menurut Pengarah Operasi O2TW, Afizah Ismail, idea untuk menganjurkan ISF buat kali kedua tercetus atas dasar kesedaran terhadap cita rasa muzik di kalangan remaja di negara ini mahupun di seluruh dunia.

Kali pertama konsert itu diadakan ialah pada tahun lalu.

“Sebab itulah kami menjemput artis-artis nasyid antarabangsa yang memperjuangkan irama nasyid moden dengan susunan muzik yang catchy dan terkini untuk mengadakan persembahan.

“Mulanya kami menghantar surat jemputan kepada 40 artis nasyid seluruh dunia. Namun setelah diteliti dari segi genre muzik dan jadual acara, kami hanya menetapkan 12 artis sahaja.

“Kemudian kami memutuskan untuk menjemput kumpulan Brothers dan Yassin bagi melengkapkan senarai penghibur pada festival dua hari itu nanti.

“Jadi, pada hari konsert nanti, seramai 14 artis nasyid yang akan mengadakan persembahan,” kata Afizah ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau berkata, Konsert ISF adalah peluang yang diberikan kepada artis-artis nasyid untuk kembali mendapat tempat di hati peminat lagu-lagu nasyid di Malaysia.

Selain daripada itu, acara ini juga berkaitan dengan imej negara sebagai hab terbaik untuk perkembangan irama nasyid di mata dunia.

Justeru, katanya, sejajar dengan imej Malaysia sebagai model negara Islam yang menuju ke arah status negara maju, konsert ini adalah platform terbaik untuk mengimbangi di antara hiburan dan dakwah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: