TREND masa kini, kebanyakan penyanyi juga merupakan seorang komposer. Tidak seperti dahulu yang mana komposer hanya memberi fokus dalam bidang penciptaannya sahaja.
Selain Saari Amri, ramai lagi komposer dan penulis lirik tempatan yang mana karya mereka tetap malar segar sehingga ke hari ini - kecuali M. Nasir yang juga merupakan seorang penyanyi tetapi dalam masa yang sama merupakan seorang komposer.
Habsah Hassan
Penulis lirik terkenal Habsah Hassan memulakan kerjayanya dalam bidang seni sebagai penulis skrip filem, televisyen dan radio sejak tahun 1967.
Lirik yang pertama dihasilkan adalah untuk lagu Terkenang yang melodinya dicipta Ooi Eow Jin pada tahun 1976 dan dinyanyikan oleh Zulkiflee Ahmad, Juara Bintang RTM 1975. Selepas itu, Habsah menghasilkan lirik untuk Sudirman Haji Arshad, Salamiah Hassan dan Dahlan Zainuddin yang bernaung di bawah label Warnada ketika itu.
Antara lirik terawalnya termasuklah Teriring Doa dan Suratku Yang Ini (Sudirman), Tak Guna Dikesalkan (Salamiah Hassan) dan Ditinggalkan (Dahlan Zainuddin). Setelah lebih 30 tahun berkecimpung dalam bidang penulisan lirik, Habsah telah menghasilkan lebih 1,000 lirik lagu. Lagu-lagu popular yang menggunakan khidmat Habsah seperti Merisik Khabar (Sudirman), Aku Hanya Pendatang (Francisca Peter), Wajah Rahsia Hati (Fauziah Ahmad Daud), Kau Yang Tersendiri (Jay Jay), Sendiri (Jamal Abdillah) dan Suratan Atau Kebetulan (Kenny Remy & Martin). Hujung tahun lalu sebuah album berjudul Untaian Ilham Estetika Habsah Hassan telah diterbitkan dan sebanyak 32 lagu telah dimuatkan dalam album tersebut.
Adnan Abu Hassan
Komposer Adnan Abu Hassan mendapat pendidikan di Berklee College of Music, Boston, Amerika. Memulakan kerjayanya dalam bidang muzik pada tahun 1978 di sebuah syarikat rakaman.
Selain bergelar seorang komposer dan penerbit album, Adnan juga merupakan pensyarah, serta tenaga pengajar untuk program realiti TV, Akademi Fantasia musim pertama hingga ketiga dan musim kelapan.
Adnan merupakan orang yang bertanggungjawab di sebalik kejayaan ramai penyanyi terkenal hari ini seperti Datuk Siti Nurhaliza, Fauziah Latiff, Liza Hanim, Dayang Nurfaizah dan Misha Omar. Antara anugerah yang pernah diterimanya adalah Anugerah Wirama pada tahun 2010 di Anugerah Industri Muzik Ke-17, Juara Lagu 1996 menerusi lagu Jerat Percintaan nyanyian Datuk Siti Nurhaliza dan Juara Lagu 2003 oleh Misha Omar dengan lagu Bunga-Bunga Cinta. Lagu-lagu popularnya seperti Di Persimpangan Dilema (Nora), Puncak Kasih (Ziana Zain), Getaran Cinta Di Jiwa (Liza Hanim), dan Hitam Putih Kehidupan (Datuk Sheila Majid)
|
|
M. Nasir dan Loloq
M. Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamad bukan sahaja seorang komposer berprofil tinggi tetapi dia juga seorang penyanyi, pelakon dan pelukis. Terkenal dengan jolokan sifu dalam industri muzik Malaysia, pemilik Luncai Emas Sdn. Bhd. dan pengetua program Akademi Fantasia musim ketiga itu juga merupakan pengasas kumpulan Kembara yang popular sekitar tahun 80-an.
M. Nasir merupakan orang yang bertanggungjawab terhadap kegemilangan penyanyi seperti Alleycats, Search, Wings, Ella, Hattan, Spider dan Mawi. Selain, menulis lirik sendiri, M. Nasir juga sering bergandingan dengan penulis lirik terkenal, arwah Loloq atau nama sebenarnya Rosli Khamis.
Bagai irama dan lagu, gubahan melodi diilhamkan M. Nasir cukup serasi dengan seni kata karangan Loloq seperti Di Ambang Wati (Wings), Nurnilam Sari (Awie & Search), Laila Namamu Teratas (Search), Aladin (Spider) dan Cinta Adam & Hawa nyanyian Misha Omar. Bahkan lagu dendangan M. Nasir sendiri iaitu Apokalips dan Mentari Semerah Padi juga mendapat sentuhan emas Loloq.
Bob Lokman
Komposer, pengacara dan pelakon Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd. Hakim Lokman banyak menghasilkan lagu popular tanah air. Dia memulakan kerjayanya pada tahun 1986 sebagai pengurus kepada penyanyi seperti Wings, Hattan, M. Nasir dan Ramli Sarip. Dalam pada itu, Bob juga sempat menghasilkan banyak lagu tetapi lebih terarah kepada penulisan lirik. Antara lagu ciptaannya ialah Taman Rashidah Utama dan Fotostat (Wings), Purnama (Search), Warisan Wanita Terakhir dan Malas (Teacher’s Pet).
Lirik lagu yang hasil nukilannya termasuklah Isabella, Memandu Nafsu, Teguh, Orait Mama, Akhirnya, (Search), Inspirasi Taming Sari, Intan Ku Kesepian, Belenggu Irama, Sekeping Kertas Bermaruah, Dari Tuhan, Jerangkap Samar, Orang Kita, R ‘N’ R Lu Punya Suka, Rock ‘N’ Roll Band, Tangisan Marhain, Puisi Merdeka (Wings) dan Kasih (Ella).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: