![]() |
| WAN Muhd Ali Wan Ahmad Affandi (kanan) dan Hafiz Ridzuan Suhaimi bersama bersama aplikasi Kedai Kreatif dan Komik Sentral ciptaan mereka. |
SELAIN membekal rangkaian telekomunikasi untuk telefon bimbit dan Internet, syarikat penyedia perkhidmatan itu, Maxis Berhad (Maxis) turut memainkan peranan menggalak masyarakat negara ini untuk berkarya dalam ekosistem kandungan teknologi.
Bermula tahun 2003, organisasi itu telah mengambil inisiatif menganjurkan pertandingan mencungkil bakat penciptaan kandungan digital mobiliti, aplikasi serta perkhidmatan dalam industri komunikasi dan multimedia.
Matlamatnya adalah untuk memberi peluang kepada individu yang berminat dalam bidang tersebut mengembangkan bakat mereka dan menjadikannya sebagai sumber pendapatan sekali gus memeriahkan industri kandungan digital tempatan.
Menurut Pengerusi Maxis, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda, sebagai peneraju dalam penyediaan servis komunikasi, syarikatnya mahu menjadi pelaksana dominan dalam industri kandungan digital tempatan.
“Oleh kerana itu, sejak lapan tahun lalu, Maxis secara aktif telah melaburkan sejumlah dana untuk pembangunan usahawan muda dalam bisnes kandungan mobiliti menerusi platform Program Pembangunan Maxis (Maxis Developer Programme) ketika itu.
“Hasilnya, lebih 200 peserta individu serta berkumpulan yang menyertai program ini berjaya mencipta dan mengkomersialkan 300 jenis aplikasi dan perkhidmatan,’’ katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pengiktirafan pemenang pertandingan Mobile Content Challenge untuk tahun 2007, hingga 2009 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Perasmiannya telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang.
Melihat perkembangan positif itu, tahun 2007 menyaksikan Maxis bergabung dengan pihak kementerian untuk menyediakan platform pertandingan yang lebih komprehensif, kreatif dan inovatif serta mempunyai potensi untuk dikomersialkan.
Sejak tempoh itu juga, pertandingan Mobile Content Challenge telah menjalankan kerjasama dengan 60 buah institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dan telah berjaya menghasilkan lebih 460 idea baru.
Lanjutan kecemerlangan itu, pada tahun 2009 Maxis memperkenalkan pula Program Pemeliharaan dan Sokongan Pengkomersialan.
Objektifnya adalah untuk membantu peserta-peserta akhir pertandingan tersebut menambah baik konsep prototaip ciptaan mereka supaya layak ke peringkat produk sedia dikomersialkan.
Program tersebut juga menawarkan khidmat seperti bengkel, pengujian produk di makmal dan bimbingan secara terus daripada individu yang berpengalaman luas dalam bidang-bidang terlibat.
Tidak cukup dengan itu, pada tahun yang sama, Maxis telah membuka stor kandungan mobiliti dikenali sebagai Maxis’ 1Store yang berfungsi sebagai pusat sehenti kepada lebih 13.5 juta pengguna Maxis memuat turun pelbagai aplikasi.
Bagi tujuan menggalakkan lebih ramai usahawan tekno menyertai industri ini pula, Maxis ada menawarkan insentif 100 peratus perkongsian keuntungan untuk setiap aplikasi yang dibangunkan dan dihantar sebelum 1 Jun tahun ini.
Sementara itu, Joseph Salang pula memberitahu, pertandingan tersebut merupakan contoh inisiatif terbaik yang boleh dilaksanakan oleh organisasi korporat dalam membantu pacuan industri kandungan kreatif dan inovatif tempatan.
“De ngan cara itu, para peserta akan dapat melihat sendiri peluang cerah bidang ini dari perspektif yang berbeza dan lebih baik.
“Dengan lahirnya pakar-pakar profesional dalam bidang kandungan mobiliti ini, ia secara tidak langsung akan turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
“Tidak mustahil satu hari nanti Malaysia mampu menjadi hab kepada teknologi kandungan mobiliti dan bakat kreatif,’’ katanya.
Pada majlis itu juga seramai 32 peserta pertandingan Mobile Content Challenge bagi tahun 2007 hingga 2009 yang berjaya mengkomersialkan aplikasi serta perkhidmatan kandungan mobiliti ciptaan mereka telah menerima sijil pengiktirafan daripada pihak Maxis.
Pada masa akan datang, Maxis bercadang untuk terus tampil dengan pelbagai usaha penggalakkan kemajuan bidang keusahawanan inovatif.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: