JUJUR...pengumumannya untuk bersara sebelum ini bukan gimik, propa atau berniat menipu, tapi terpaksa ditarik balik kerana sebab tertentu.
"MANUSIA hanya merancang, namun Tuhan yang menentukan segala-galanya," itulah jawapan selamat yang diberikan pelakon bergetah, Rozita Che Wan mengenai persaraannya yang tidak jadi.
Sebelum ini, pelakon kelahiran Kedah ini sudah menghebohkan hasrat untuk bersara daripada berlakon pada penghujung Disember lalu. Walaupun enggan memberitahu sebab sebenar, dia dikatakan berbuat demikian kerana akan berkahwin dengan jejaka dikenali sebagai Shah.
Namun, keghairahan Rozita terus berlakon dan menerima tawaran demi tawaran menunjukkan seperti ada sesuatu tidak kena berlaku. Akibatnya, dia teruk dikutuk pelbagai pihak mengatakan cerita persaraan itu sekadar gimik Rozita untuk meraih publisiti.
Meskipun puas mengelak serta enggan memberi komen menerusi telefon, pelakon cantik ini akhirnya mati langkah apabila dikerumuni media pada sidang media Astro Warna, baru-baru ini. Dia turut berlakon drama komedi Iparku Diva untuk saluran Astro Warna yang menjadi drama pertamanya untuk 2011.
"Selepas ini saya akan terbabit dengan penggambaran telefilem Bila Suami Jadi Suri dan drama 13 episod, Mencari Wardah manakala bulan depan, saya akan ke Perlis untuk penggambaran drama Lagenda Mata Ayer. Sebelum itu, saya akan ke Johor Bahru untuk penggambaran drama 13 episod. Boleh dikatakan berturut-turut saya berlakon drama.
"Sumpah, niat nak bersara sebelum ini bukan gimik, propa atau berniat menipu. Sebenarnya, ada sesuatu yang buatkan saya berhasrat nak bersara, tapi tak jadi pula. Saya ada sebab tersendiri dan harapnya orang faham. Biarlah saya simpan sendiri apa yang berlaku," katanya enggan bercerita lanjut biarpun puas ditanya sebabnya.
Tambah Rozita, dari Januari lagi dia sudah diasak dengan tawaran berlakon yang tidak henti-henti datang. Walaupun dia menolak, pihak penerbit tetap melayangkan tawaran. Setelah memikirkan masak-masak, dia akhirnya bersetuju berlakon kembali sebagai mengisi kesepiannya yang menjadi alasan utama dia berbuat demikian.
"Selama ini saya tinggal dengan dua anak dan kakak. Bagaimanapun, kakak sekarang sudah berkahwin dan ada keluarga sendiri, manakala anak saya pula, Ammar Effendy dan Aniq Ezzra sekarang tinggal di asrama di Pahang. Mereka hanya akan pulang sebulan sekali. Kerana terlalu sunyi bersendirianlah, saya akhirnya kembali berlakon kerana sekurang-kurangnya masa akan terisi.
"Biarpun saya ada kedai The Cuture di Seksyen 23, Shah Alam, perniagaan dijalankan menerusi online (dalam talian) dan bukan dibuka kepada orang ramai. Saya memang akan berada di situ, tapi takkanlah saya nak tercongok seharian suntuk. Kedai ini ditubuhkan bersama rakan kongsi. Kami pilih jualan secara borong kerana lagi bagus pulangannya.
"Mungkin pada masa depan, baru kami akan buka butik. Bisnes yang kami buat ialah hasilkan jubah, baju kurung dan blaus yang dihantar ke butik. Pasarannya memang bertumpu kepada kaum wanita. "Mengenai bisnes bulu mata pula, memang ada perancangan tapi rakan kongsi saya, Amy Janz nampaknya lebih sibuk daripada saya, jadi impian itu tertangguh dulu," katanya yang tetap ramah melayan pihak media.Menurut Rozita, ada sesetengah pakaian itu direka bentuk sendiri olehnya berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya. Malah dia sering memakainya dalam drama antaranya Hani kerana lebih selesa dengan pakaian sendiri berbanding yang disediakan pihak produksi. Bukan dia mengada-ngada tetapi Rozita merasakan itu lebih memudahkan kerja semua pihak.
Kerana terlalu bekerja keras berlakon, Rozita hanya tidur 3 jam setiap hari. Tempoh itu dirasakan sudah mencukupi kerana sebaik meletakkan kepala atas bantal, dia akan terus nyenyak tidur tanpa dibuai mimpi.
"Memang diakui penat kerana shooting biasanya bermula dari pagi sampai pagi esoknya. Tapi, nak buat bagaimana kerana apabila duduk sendirian saya terasa bosan. Saya mudah bekerjasama dengan penerbit kerana tak demand (meletak harga). Sebenarnya seawal 3 Januari lagi, saya dah ditawarkan berlakon, tapi saya hanya mula berlakon pada bulan ini.
"Saya tak kisah sebenarnya orang nak kata apapun. Sama ada saya berlakon ataupun tak, orang tetap juga nak mengata. Kalau betul rezeki saya sudah ditentukan menerusi lakonan, saya terima dengan hati terbuka. Jadual saya sudah penuh sampai bulan Jun kerana Kiah Pekasam akan disambung lagi penggambarannya di Perlis.
"Saya bersyukur diterima peminat menerusi drama ini kerana 95 peratus menggambarkan karakter sebenar saya. Sekarang pergi ke mana-mana pun, orang panggil saya dengan gelaran itu," katanya yang pernah memberitahu ibunya turut berkata begitu dan melihat dirinya sesuai membawakan watak komedi.
Kemampuan Rozita melakonkan pelbagai watak sudah teruji apabila tampil dengan pelbagai genre drama. Di saluran Astro kelibatnya sering tampil dengan karakter komedi, sebaliknya menerusi TV3, dia membawakan peranan berbeza. Kejayaannya menghayati pelbagai watak ini menyebabkan namanya semakin menyerlah di mata peminat.
Bagaimanapun, dek kerana kuatnya penangan Kiah Pekasam dan sinonim dengan jenama Astro, dia dikatakan akan diikat oleh Astro sebagai Wajah Eksklusif Astro. Jika ia berlaku, bermakna lakonannya tidak dapat disaksikan lagi menerusi stesen TV lain. Sekali lagi, Rozita memberi jawapan selamat apabila diajukan soalan mengenai perkara itu.
"Sebagai pelakon saya hanya ikut kehendak stesen TV. Memang tak dinafikan saya kerap berlakon watak komedi untuk Astro dan di TV3 pula bawa watak lain. Memang itu kehendak pihak atasan. Tapi sekurang-kurangnya adalah perbezaan yang peminat dapat lihat. Macam watak dalam Hani, pengarah nak saya bawa watak ibu yang bermain dengan emosi.
"Sama ada jadi atau tak, bergantung pada saya sendiri untuk mencorakkannya. Selain itu gabungan dengan pelakon lain turut membantu menghidupkan lagi lakonan saya. Mengenai ura-ura saya dilamar Astro pula, saya tak boleh jawab kerana kenyataan itu bukan dikeluarkan oleh saya. Biarlah pihak Astro yang keluarkan kenyataan nanti," katanya diiringi ketawa panjang yang menjadi identitinya.
Tidak puas hati dengan kisah cinta yang belum terungkap sepenuhnya, Rozita terus diasak dengan soalan siapa kekasihnya sekarang selepas putus cinta. Tambah pula sebelum ini dia dikatakan diminati Shahir AF. Tidak kurang juga ada melihat Rozita intim dengan pelakon Zain Saidin. Pelakon 4 Madu ini tetap menyimpan kemas kisah peribadi dan tidak mahu berkongsi dengan masyarakat.
"Saya baru sekali putus cinta dan sekarang tak bercinta dengan sesiapa. Saya tak ada ciri-ciri tertentu dalam memilih lelaki tapi asalkan dia tak menyinggung perasaan saya, sudahlah. Tapi sebenarnya saya tak ada fikir pun ciri-ciri yang dikehendaki atau sasaran bila nak berkahwin kerana mana tahu nanti terbalik jadinya," kata sambil terus ketawa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: