|
|
ADAKAH aku ingin menjadi seorang Muslim? Lebih-lebih lagi, pada usiaku 16 tahun. Tidak sama sekali dan terima kasih sahajalah. Manakan aku sanggup meninggalkan nikmat dunia yang dikecapi selepas ini.
"Agamaku adalah minum-minum, berparti sepanjang malam, malah aku selesa dengan teman-temanku yang ada."
Itu pengakuan Catherine Heseltine sambil menggeleng-geleng kepala kepada soalan yang dianggap tidak masuk akal itu.
Dibesarkan di Chelsea, utara London, Catherine, 32, tidak pernah mengamalkan mana-mana agama pun di rumahnya. Apatah lagi kehidupannya lebih kepada lingkungan kelas menengah terpelajar menyebabkan agama dalam keluarganya adalah dianggap sesuatu yang kuno atau ketinggalan zaman serta tidak relevan.
Hingga pada suatu hari, guru tadika itu bertemu seorang pemuda bernama Syed. Pemuda itu, akui Catherine, berbeza dengan kebanyakan lelaki yang dikenalinya.
"Dia mencabar segala prasangka saya terhadap agama. Orangnya masih muda, seorang Muslim, seorang yang sangat percaya kepada Tuhan dan yang paling saya tidak berkenan, dia juga seorang yang normal atau dia sama seperti pemuda-pemuda seusianya.
"Yang membezakan Syed dengan pemuda-pemuda Inggeris lain ialah dia tidak langsung minum minuman keras," katanya.
Bagi Catherine, perbincangan dengan Syed banyak membuatnya sering seperti ditampar.
Menurut Syed, seorang yang berpegang dengan fahaman agnotisme juga menyedari bahawa tanpa pegangan agama itu juga sebenarnya satu pegangan atau keyakinan.
Agnotisme adalah orang yang berpendapat atau berpendirian bahawa hanya sesuatu yang berupa kebendaan sahaja yang boleh diketahui manakala pengetahuan tentang Tuhan dan segala yang abstrak tidak mungkin.
Setahun kemudian, apa yang terjadi adalah sebaliknya. Dalam diam-diam, Catherine jatuh hati kepada Syed dan Islam. Yang peliknya, dia sendiri tidak tahu yang mana datang dahulu sama ada kepada Islam ataupun Syed.
Yang jelas, dia semakin tekun membaca buku-buku berkaitan Islam.
Apa yang paling menarik perhatian Catherine daripada semua bahan bacaan itu?
"Al-Quran. Kitab ini sangat menarik dari sisi intelektual, sisi emosional dan spiritual. Saya menyukai penjelasannya tentang kewujudan alam semesta yang dikesan sejak 1,500 tahun yang lalu.
"Malah, Islam telah memberikan hak-hak kepada wanita yang tidak dimiliki di dunia Barat. Saya makin yakin bahawa al-Quran itu adalah betul-betul sebuah wahyu," kata hatinya.
Namun, untuk menyatakan keislaman diri, dia masih belum sanggup.
Baginya, pengislaman diri bukan sekadar melakukan syahadah atau demi mendapatkan apa yang diinginkan.
Dalam konteks Catherine, apa yang berpusing di mindanya ialah untuk mendapatkan Syed sebagai suaminya.
"Agama ini benar-benar cool. Tapi selama tiga tahun saya menyimpan minat dalam Islam untuk diri sendiri," ujarnya.
Tidak lama kemudian, timbul keberanian untuk mengucap dua kalimah syahadah ketika berada di tahun pertama kuliah.
Pada tahun yang sama juga, atas alasan tidak mahu membina hubungan cinta yang panjang, mereka bersetuju menamatkan zaman bujang dengan melangsungkan pernikahan agar bergelar suami isteri di segi syariat Islam.
"Reaksi awal ibu, dia mempersoalkan tidakkah kami sekadar hidup bersama tanpa perlu bernikah? Ini salah satu tanda hatinya agak berat merestui perhubungan itu," kata Catherine.
Bagi ibunya, rumah tangga Muslim adalah rumah tangga yang banyak menindas kaum isteri.
Pada awal pengislaman, Catherine tidak terus memakai tudung, cuma pada acara-acara keagamaan sahaja. Namun dalam rutin kehidupan seharian, dia lebih selesa mengenakan bandana atau sekadar bertopi untuk menutupi rambutnya.
Alasannya, dia sengaja tampil demikian untuk menarik perhatian, waima ketika berada di rumah, sedang menikmati hidangan, membeli-belah, ataupun sewaktu berada di luar rumah. Kalau orang bertanya, maka akan mudah baginya untuk bercerita tentang Islam.
Beliau mahu orang ramai dapat mengadaptasikan ajaran Islam secara berperingkat-peringkat.
"Saya juga mahu mereka menghakimi diri saya pertamanya dari sudut kecerdasan dan karakter, bukan pada agama saya. Inilah yang saya maksudkan sebagai syiar," katanya.
Ramai yang beranggapan pengislaman Catherine hanya untuk menggembirakan keluarga suami tetapi bukan atas kerelaan, keikhlasan dan kepercayaan diri sendiri.
Tidak terkecuali juga kalangan teman-temannya termasuk ada yang terkejut bahawa Islam mengharamkan arak, menyalahgunakan dadah dan tidak menggauli lelaki secara bebas.
Hal ini mengambil masa terutamanya kepada kawan-kawan lelaki di universiti seperti tidak boleh bercium atau mengucapkan salam dengan menyentuh pipi dan banyak lagi.
"Saya terpaksa memberitahu mereka, minta maaf ini bukan cara orang Islam.
"Lama-kelamaan, saya sebenarnya beralih menjadi seorang yang lebih Islamik daripada suami. Hal ini menyebabkan hubungan kami semakin renggang.
"Pada akhirnya, hati saya kuat mengatakan tanggungjawab suami dalam rumah tangga semakin berat dipikul olehnya dan krisis ini berlanjutan sehingga kami semakin menjauh dan kian terasing. Jodoh kami cuma bertahan selama tujuh tahun.
"Selepas berstatus janda, saya pindah ke rumah keluarga. Ramai yang pelik apabila mereka lihat saya masih lagi bertudung. Sejak itu, dalam situasi ditinggalkan sendirian, menjadikan keyakinan dan keimanan saya semakin kuat. Saya mula mencari kekuatan diri sebagai seorang Muslim dan mula berdikari," katanya.
Catherine akui, Islam banyak memberikannya petunjuk dan hala tuju dalam hidup ini. Dia mula melibatkan diri dengan Muslim Public Affairs Committee. Beliau mengetuai kempen-kempen anti-Islamophobia, diskriminasi terhadap wanita di masjid, kemiskinan dan situasi serta perjuangan rakyat Palestin.
"Apabila segelintir pihak memanggil kami kumpulan pelampau, saya rasa itu sesuatu yang tidak masuk akal. Hakikatnya, terdapat terlalu banyak masalah dalam komuniti Muslim, tetapi apabila orang ramai rasa dikepung, ia menjadikan jalan perubahan itu semakin berliku dan sukar.
"Saya masih sebahagian masyarakat kulit putih di Britain tetapi saya beragama Islam. Sebenarnya, ia mengambil masa juga untuk saya menyesuaikan dua identiti itu agar serasi berganding," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: