![]() |
| Pasangan bahagia Mahamud Abdul dan isteri, Nik Ismah Nik Abdul Rahman. |
Ayat di atas menjelaskan kepada kita kepentingan mempelajari bahasa Arab. Bukan sahaja untuk memahami al-Quran tetapi juga menggali pelbagai ilmu yang banyak ditulis dalam bahasa al-Quran itu.
Alhamdulillah, di negara ini semakin ramai meminati dan mendalami pengajian bahasa Arab. Bagaimanapun, untuk mencari orang yang fasih dan menyebutnya mengikut lahjah Arab bukan mudah.
Malah mereka yang mampu menguasai bahasa Arab pastinya akan dianggap istimewa dan mampu menjadi individu penting dan disegani.
Itulah yang dibuktikan oleh Datuk Mahamud Abdul, 63, yang mana keupayaannya untuk menguasai bahasa Arab dengan baik menyebabkan beliau sentiasa 'diburu' oleh mereka yang mahu menggunakan bakatnya itu.
Mahamud mungkin tidak terkenal seperti selebriti lain, tetapi wajahnya sering terpampang di televisyen terutama bagi para penggemar tilawah al-Quran peringkat antarabangsa.
Jika hanya berpandukan suara tanpa melihat wajahnya, pasti kita beranggapan pengacara yang bertutur bahasa Arab pada setiap kali tilawah itu itu bukan orang Malaysia sebaliknya orang Arab.
Walhal, Mahamud adalah anak jati Kampung Darat, Beseri, Perlis yang dilahirkan pada 22 Julai 1948. Beliau dibesarkan di Kampung Utan Temin, Mata Ayer, Perlis.
Pendidikan awal adalah di Sekolah Kebangsaan Oran sebelum menyambung pelajaran ke Al-Madrasah Al-Alawiyah Al-Diniyah, Arau.
Disebabkan minat dalam bidang agama dan bahasa Arab, Mahamud melanjutkan pelajaran dalam bidang bahasa itu di Universiti Al-Azhar, Mesir.
Kerana kebolehan dan keupayaannya itu, maka sejak 24 tahun lalu, beliau menjadi pengacara untuk bahasa Arab setiap kali tilawah peringkat antarabangsa. Gandingan beliau adalah Datuk Mahadzir Lokman (bahasa Inggeris dan Perancis) dan Salehuddin Ramlan (bahasa Melayu).
Mahamud memberitahu, pembabitan awalnya dalam pengacaraan majlis adalah sewaktu perasmian Pusat Islam di Kuala Lumpur pada tahun 1985.
Ketika itu, beliau diminta membuat terjemahan selari ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad kerana majlis itu turut dihadiri Presiden Maldives, Maumoon Abdul Gayoom dan Sheikh Azhar, Sheikh Jadul Haq Ali Jadul Haq.
"Itulah kali pertama mengacara majlis rasmi dalam bahasa Arab. Saya memberanikan diri dengan sokongan moral rakan-rakan di samping memohon Allah memberikan taufik supaya tugas itu disempurnakan dengan baik," kata bekas pensyarah Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.
Selepas itu, namanya terus terpahat dan amat sinonim dengan tugas mengacara majlis tilawah al-Quran peringkat antarabangsa bermula tahun 1989.
Bagi Mahamud, biarpun sudah biasa dan mahir berbahasa Arab, beliau tetap membuat persiapan rapi sebelum mengacarakan sesuatu majlis besar terutama tilawah al-Quran.
"Setiap kali mendapat buku aturcara majlis saya akan membuat draf skrip. Ini biasanya mengambil masa dua ke tiga hari.
"Skrip itu mesti dibuat sebaik mungkin dengan sifar kesalahan. Saya juga akan membuat baris bagi setiap perkataan untuk mengelak berlakunya kesilapan.
"Kadang-kadang bila membuat ulasan selari, mungkin kita tersilap baca jika perkataan-perkataan Arab itu tidak dibariskan," jelasnya.
Ditanya resipi menjadi pengacara majlis yang berketerampilan, Mahamud berkata, mereka yang terlibat dalam bidang itu perlu meningkatkan keyakinan diri.
Mereka juga perlu bertenang dan mengawal perasaan supaya rasa gugup tidak menguasai diri sewaktu berhadapan dengan ribuan penonton.
"Saya sendiri banyak belajar dengan Mahadzir dalam segi keterampilan dan kecekapan mengendalikan majlis," katanya merendah diri.
Kata Mahamud, kemahiran bahasa Arab itu adalah suatu kemestian dan ia boleh dipelajari dan dikemaskini daripada semasa ke semasa.
"Selain itu, keterampilan sebagai pengacara perlu dilatih dan digarap walaupun kebanyakan orang sudah ada bakat ini.
"Saya sendiri setiap kali mahu mengacara majlis besar akan solat hajat dan memohon kepada Allah agar dipermudahkan melaksana tanggungjawab itu," katanya.
Ditanya tentang pakar rujuk, Mahamud berkata, dalam mengenal pasti istilah-istilah bahasa Arab, beliau berusaha bertanya kepada rakan-rakan yang mahir dalam bahasa itu.
Mutakhir katanya, beliau merujuk kepada ilmuwan Arab yang berada di Malaysia untuk memastikan ketepatan terjemahan yang dibuat dan mengelak terguna bahasa pasar Arab.
"Saya bimbang terjemahan itu tidak semasa. Mungkin orang Arab sudah tidak menggunakan istilah itu lagi dan menukarnya dengan yang baru," jelas beliau.
Biarpun sinonim sebagai pengacara tilawah, sebenarnya Mahamud terlibat lebih awal dalam penyediaan buku cenderamata tilawah al-Quran peringkat antarabangsa sejak tahun 1985.
Sebagai menghargai jasa dan bakti beliau kepada agama dan bangsa, kerajaan Negeri Perlis menganugerahkan beliau Tokoh Maal Hijrah Perlis pada tahun 2002.
Beliau juga adalah Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Perlis sejak tahun 1987 hingga sekarang.
Khidmat Mahamud juga sering digunakan antaranya sebagai penterjemah ke bahasa Arab beberapa forum yang diadakan di Singapura sejak tahun 1990.
Selain itu, beliau pernah bertugas sebagai penyiar sambilan bahasa Arab di Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk program Suara Malaysia dari tahun 1987 hingga 2008.
Satu lagi tugas besar yang diamanahkan kepada beliau adalah sebagai jurubahasa dan pengiring tetamu negara, Sheikh Al-Azhar, Allahyarham Dr. Sayyid Tantawi pada tahun 1998.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: