Thursday, February 24, 2011

Imbasan sejarah perkomputeran


PERALATAN komputer vintaj daripada keluarga Apple dan IBM yang dipamerkan di Muzium Sejarah Komputer di California.


LEMBAH silikon yang terletak di bahagian utara California, Amerika Syarikat begitu sinonim dengan syarikat-syarikat teknologi gergasi dunia. Ia termasuk Apple Inc., Google, Oracle, Intel, Cisco Systems dan Hewlett-Packard.

Ia juga merupakan rumah kepada Muzium Sejarah Komputer di Mountain View. Muzium penuh bersejarah mengenai teknologi komputer itu telah dibuka semula Januari lalu setelah mengalami transformasi selama hampir dua tahun yang menelan belanja kira-kira AS$90 juta (RM275 juta).

Salah satu pembaharuan yang telah dilakukan adalah pameran tetap yang dikenali sebagai Revolusi: Pengkomputeran Pertama Dalam 2000 Tahun.

Menurut kurator muzium berkenaan, Alex Bochannek, pameran terbaru itu berkisar mengenai lebih 1,000 objek bersejarah.

"Beberapa barangan paling lama dipaparkan dalam pameran berkenaan sebenarnya bukan komputer tetapi ia merupakan peranti yang membantu manusia mengira.

"Objek pertama yang akan dilihat pengunjung apabila memasuki ruang pameran adalah cepua daripada kurun ke-18. Disebabkan cepua berkenaan merupakan peranti kegunaan harian dan diperbuat daripada kayu ia berjaya dipulihara sehingga kini," katanya.

Bochannek menambah, pengunjung juga berpeluang mengendalikan beberapa objek yang dipamerkan dalam pameran itu.

Katanya, antara peranti popular yang menjadi kegemaran pengunjung yang mengunjungi pameran itu ialah komputer mudah alih pada tahun 1981.

"Bagi masyarakat hari ini komputer mudah alih merupakan komputer riba. Bagaimanapun, komputer mudah alih jenama Osborne One adalah sebesar mesin jahit dengan mempunyai berat kira-kira 11 kilogram (kg).


PENGUNJUNG muzium boleh menyaksikan peranti awal komputer selain artifak berkaitan teknologi angkasa lepas.


"Jadi dengan adanya peranti ini, ia dapat membantu pengunjung memahami kesukaran komputer mudah alih 30 tahun lalu," katanya.

Lebih menarik lagi, pengunjung-pengunjung Muzium Sejarah Komputer boleh melihat bahagian-bahagian terawal peranti pengkomputeran elektronik iaitu ENIAC atau Pengamir Berangka Elektronik dan Komputer yang direka semasa Perang Dunia Kedua.

Terdapat juga kepingan komputer panduan yang telah digunakan semasa misi angkasa lepas Apollo.

Ujar Bochannek lagi, pameran Revolusi: Pengkomputeran Pertama Dalam 2000 Tahun bukan sahaja berkisar mengenai sejarah pengkomputeran moden tetapi lebih daripada itu.

Katanya, ia turut menceritakan tentang bagaimana pembangunan telah menjejaskan masyarakat dan budaya terutamanya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Bagi kebanyakan orang revolusi adalah komputer pada hari ini sentiasa ada. Ia ada di mana-mana sahaja. Sebagai contoh, jika anda melintas jalan berhampiran lampu isyarat kemungkinan besar komputer sedang mengawalnya.

"Bukan sahaja komputer riba dan telefon pintar yang mempunyai komputer di dalamnya tetapi ia sentiasa mengelilingi kita malah, dalam sesetengah kes, terdapat komputer di badan kita. Seperti perentak kardium, satu daripada peranti tersebut dipamerkan dalam pameran ini," katanya.

Muzium Sejarah Komputer turut dalam perancangan melancarkan pameran berkenaan dalam versi atas talian pada bulan Mac nanti.

Terdapat kira-kira 100,000 barangan dalam koleksi muzium berkenaan tetapi, hanya dua peratus sahaja dipamerkan sehingga kini manakala selebihnya bakal dipamerkan melalui atas talian kelak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: