Thursday, February 17, 2011

Harapan dalam ASA 2010


DARI kiri: Nurul Fariha Onn, Hafiz dan Sharifah Zuhairah berdebar menanti keputusan ASA 2010 .


TERCALON menerusi senarai lima teratas adalah momen yang sangat bermakna bagi pencalonan Anugerah Seri Angkasa 2010 (ASA).

Bagi salah seorang calon Anugerah Wartawan TV Terbaik, Nurul Fariha Onn dari TV3, ASA 2010 merupakan satu tapak permulaan baginya untuk meneruskan karier yang telah dibina selama enam tahun itu.

“Saya memang terkejut dengan pencalonan ini kerana tidak menyangka akan tercalon bagi kategori sebegini. Pada mulanya, saya beranggapan kami akan tercalon bagi produksi kategori majalah TV terbaik.

“Pada masa yang sama saya juga rasa bersyukur kerana menganggap ini merupakan satu tapak permulaan karier saya sebagai wartawan,” tambah penolong penerbit dan wartawan program Majalah Tiga itu.

Antara calon lain yang terpilih bagi kategori itu ialah Ashwad Ismail, Hanim Muhili, Charles Mohan A/L M.Muthiah dan Rubiah Abd Hamid.

Melihatkan nama-nama besar yang tercalon bersamanya bagi ketegori itu, Fariha tidak menafikan yang persaingannya sangat sengit.

Kekuatan

Bagi Fariha, kekuatan yang menyebabkannya tercalon bagi merebut gelaran Wartawan TV Terbaik adalah daripada laporan yang dipaparkan bertajuk Ratapan Duka Sumatera Barat pada tahun 2009.

Ceritanya: “Hanya saya dan penerbit eksekutif, Mohd Said Abdullah Thani yang juga merangkap sebagai jurukamera mewakili krew Majalah 3 bagi membuat liputan malapetaka tersebut. Sedangkan, media lain bawa ramai krew untuk jalankan liputan. Oleh kerana itu, saya rasakan kekuatan laporan tersebut melayakkan saya tersenarai.”

Bicara Fariha lagi, walaupun hanya punya masa sehari untuk membuat penyelidikan tentang malapetaka tersebut, laporan itu mampu disiapkan dengan sempurna.

Calon Anugerah Pelakon Drama TV Kanak-Kanak Terbaik, Muhd Azzammuddin Lop Hisyam berpendapat, lakonannya sebagai watak utama dalam drama Misteri Rumah Tua telah menempatkan dirinya ke senarai lima teratas.

“Saya rasa mungkin lakonan saya sebagai watak utama dalam drama ini dapat memperlihatkan bakat saya sehinggakan saya tercalon dalam senarai lima teratas,” ujar remaja berusia 14 tahun yang dicungkil bakatnya menerusi program Idola Kecil 2.

Bicara anak sulung daripada enam beradik itu, perasaan gembira menyelubungi diri kerana tercalon dalam anugerah sebesar ini walaupun baru sahaja menjerumuskan diri ke dalam bidang seni tanah air.

Selain itu, anak muda itu juga berasa bangga kerana dapat mewakili idola kecil untuk ke pencalonan anugerah ASA 2010 selain rakan seperjuangan, Shafimie Saedon menerusi drama Surat Daripada Amin.

“Saya sudah bersedia untuk beri seratus peratus komitmen dalam bidang yang diceburi ini. Dan jika saya berjaya untuk merangkul anugerah pada malam itu ia merupakan satu tanggungjawab untuk saya kerana mereka percaya akan bakat yang saya ada,“ jelas Azam dengan penuh yakin.

Antara lain, program realiti tarian Showdown 2010 juga tercalon, bukan satu malah dua program pada senarai lima teratas kategori Anugerah Suntingan Rancangan TV Terbaik dan Anugerah Rancangan Realiti TV Terbaik di dalam ASA.

Hafiz Mohd Hatim selaku hos program itu berkata dengan penuh yakin, calon mereka, Howie Chin pasti mempunyai harapan untuk memenanginya.

“Howie Chin punya harapan untuk memenangi anugerah tersebut. Ini kerana, suntingan pantas yang dibuatnya akan memastikan setiap sudut kelihatan menarik dan tidak membosankan penonton yang menonton rancangan ini di rumah,“ ujar Hafiz sambil memberitahu program itu telah melonjakkan namanya ke bidang pengacaraan selain menjadi penyampai radio FlyFM.

Pertama kali

Bukan senang untuk seseorang berdiri di hadapan kamera dan mengendalikan sebuah acara berprestij.

Bagi pendatang baru dalam dunia pengacaraan, Syarifah Zuhairah Mustafa Al-Husin, peluang sebegini merupakan peluang yang sangat baik dalam membina kariernya sebagai seorang pengacara.

Perasaan gementar menjadi peneman apabila tawaran itu diterima. Akan tetapi, demi mengejar kejayaan, Zuhairah menghadapinya dengan mengambil ia sebagai suatu perkara positif.

“Saya rasa ini adalah peluang yang cukup baik. Walaupun berasa gementar dan takut, saya percaya bahawa peluang seperti ini bukanlah perkara yang mudah ditawarkan kepada pendatang baru seperti saya.

“Saya harap saya dapat tonjolkan kredibiliti dalam diri untuk menggalas tanggungjawab saya pada hari itu kerana ia juga merupakan cabaran bagi diri saya,” ujar gadis tinggi lampai itu yang manis berbusana tajaan Butik Najjah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: