|
|
KREATIVITI dan kehalusan seni hiasan buatan tangan bukan sahaja memberi kepuasan kepada pembikinnya malah buat orang yang memiliki barangan itu apabila ia dijual.
Kepuasan akan dirasai lebih-lebih lagi jika ia dibuat mengikut cita rasa dan warna yang diingini, sekali gus bersifat khusus untuk dijadikan pemberian istimewa.
Melalui laman blog farralovecraftfelt.blogspot.com, penggemar seni hiasan berwarna-warni dapat memilih pelbagai produk kreatif yang diperbuat daripada kain felt dan flannel yang sesuai dijadikan koleksi peribadi mahupun hadiah buat orang lain.
Pemilik laman blog berkenaan, Farahanna Rahman, 26, berkata, dia mula membangunkan laman blog tersebut pada bulan Mac tahun lalu kerana minat mendalam terhadap seni hiasan dan jahitan.
“Pada mulanya, saya hanya menghasilkan seni hiasan ini sebagai hobi tetapi apabila dimuat naik ke dalam sebuah laman sosial untuk tatapan rakan-rakan, ia mula mendapat sambutan di luar jangkaan.
“Walaupun saya tidak mengambil tempahan pada waktu itu, mereka sering bertanya mengenai harga dan cara untuk mendapatkan produk tersebut. Ia sedikit sebanyak telah menaikkan semangat saya untuk membangunkan sebuah laman blog khusus untuk melayani permintaan mereka,” katanya yang tidak melepaskan peluang menjadikan hobinya suatu yang menjana pendapatan sampingan.
Antara produk yang ditawarkan Farahanna dalam laman blognya termasuk bantal, rantai kunci, sepit rambut, bingkai gambar, penanda buku dan beberapa lagi aksesori kacil lain.
Produk yang ditawarkan laman blog itu bukan sahaja berkualiti kerana dijahit dengan tangan tetapi harganya juga berpatutan iaitu di antara RM3 hingga RM40.
Farahanna menambah, bantal merupakan antara produk yang mendapat permintaan tinggi daripada para pelanggan. Item yang seronok didakap itu lebih bermakna bagi pemilik atau penerimanya lantaran konsep corak dan warnanya boleh ditentukan seperti yang dikehendaki.
Menurutnya, dia akan mengambil masa selama dua hingga tiga hari untuk menghasilkan bantal bersaiz 38.1 x 38.1 sentimeter (sm) manakala saiz yang lebih kecil hanya mengambil masa satu hari.
“Selain daripada itu, bantal yang berlekuk dan mempunyai reka bentuk seperti dadu, bintang dan sebagainya mengambil masa lebih lama sedikit kira-kira lima hari kerana memerlukan ketelitian serta fokus dalam pembikinannya.
“Saya sentiasa mementingkan kualiti dan kehalusan seni hiasan yang dilakukan untuk memastikan pelanggan-pelanggan berpuas hati dengan hasil kerja tangan saya,” tambahnya.
Untuk menghasilkan seni kreatifnya, Farahanna menggunakan kain felt kerana material itu mudah dibentuk, tahan lasak dan senang dijaga.
Penggunaan kain flannel pula disenangi mereka yang menggemari material lebih lembut dan nipis.
Menyentuh mengenai perancangan masa hadapan, Farahanna menyimpan impian untuk membuka sebuah kedai untuk menjual produk-produk hasil jahitan tangannya.
Buat masa ini, katanya, dia hanya menghasilkan produk-produk berkenaan di rumah sebagai hobi dan berharap dapat memulakan perniagaan dengan skala yang lebih besar suatu hari nanti.
“Sudah menjadi impian saya untuk memiliki kedai ataupun butik sendiri yang menawarkan pelbagai produk. Keinginan dan minat ini sebenarnya telah bermula sejak saya masih bersekolah,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: