KUALA LUMPUR: Drama Bola Cinta terbitan Nafalia Corporation bakal ditonton oleh rakyat daripada lima buah negara iaitu Singapura, Brunei, Dubai, Afrika Selatan dan Venezuela pada tahun ini.
Menurut Pengarah Operasi Nafalia, Mohd Najib Jaafar, pasaran drama tersebut dibuka luas ke negara luar apabila syarikat produksinya bekerjasama dengan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) dan Perbadanan Filem Nasional (Finas) menerusi projek Creating Content To The World.
"Kami menggunakan kamera definisi tinggi(HD) ketika penggambaran untuk menampakkan visual drama itu seperti sebuah filem sekali gus ia kelihatan gah di mata penonton antarabangsa selain isi kandungan penceritaan yang dipaparkan.
"Saya percaya penonton di negara luar dapat memahami jalan penceritaannya dengan mudah. Tambahan pula pihak kami akan memberi drama tersebut dalam tiga bentuk pita rakaman iaitu dalam format bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan sebuah format adaptasi.
"Kebetulan pula Bola Cinta bagi musim pertama yang ditayangkan di RTM2 mendapat respons yang bagus daripada penonton dengan jumlah rating 900,000 orang.
"Bila respons positif, pihak RTM meminta kami untuk menghasilkan sambungan Bola Cinta bagi musim kedua," katanya.
Tambah Najib, dengan pembikinan drama bagi musim kedua itu, pihaknya akan memaparkan kualiti audio dan visual yang lebih bermutu tinggi.
Pada musim pertama Bola Cinta, drama yang mengisahkan perebutan cinta itu dibintangi oleh Shah Jazle sebagai Haziq, Aidil Aziz (Jamal), Memey Suhaiza (Fiza) dan Ainul Aishah (Reena).
Bagaimanapun, bagi musim kedua, watak Shah Jazle digantikan oleh Ryzal Jaafar, di mana pelakon tersebut melakonkan watak Haziq mengikut cara penyampaiannya yang tersendiri.
Kata pengarahnya, Anwardi Jamil, dia tidak boleh mematikan watak Haziq kerana ia akan merosakkan perjalanan cerita drama tersebut.
"Kalau matikan watak, saya percaya ceritanya akan berubah. Bagaimanapun, berdasarkan pengamatan saya, Ryzal memiliki persona yang tersendiri dan mampu memberi penghayatan tanpa diganggu bayangan Shah Jazle," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: