Thursday, February 24, 2011

'CUBE' Musim Kedua Muncul Kembali

Adrian Jalaludin.

PETALING JAYA: Program bual bicara belia ntv7, CUBE menyediakan platform yang menarik bagi mereka yang ingin menyuarakan isu-isu semasa secara santai, di samping memberi informasi terbaru aktiviti orang muda.

Kembali untuk musim kedua, rancangan 13 episod ini akan terus disiarkan setiap Khamis pada pukul 8.30 malam, mulai 24 Februari depan selama setengah jam.

Rancangan ini akan dihoskan sekali lagi oleh personaliti yang cukup petah iaitu pembaca berita 7 Edition, Grace Ng Fei Fen dan pelakon Adrian Jalaludin.

“Matlamat utama CUBE adalah untuk memberi peluang kepada mereka berkumpul dan berbincang tentang isu-isu penting yang dihadapi masyarakat Malaysia secara umum.

“Kami dapat maklum balas yang positif melalui e-mel yang dihantar kepada kami daripada semua golongan seluruh Malaysia termasuk Pahang, Kelantan, Terengganu dan Sarawak.

Grace Ng Fei Fen.

“Kami diberitahu tentang minat mereka terhadap CUBE dan bagaimana rancangan ini dapat membantu mereka memahami apa yang dilalui,” kata Grace.

Dirakamkan dalam keadaan yang tidak formal dan santai, setiap episod memaparkan topik pilihan penonton seperti blogging, ketagihan remaja terhadap permainan video komputer, isu perkahwinan antara kaum hinggalah ke isu yang lebih serius seperti penjagaan kesihatan dan isu-isu alam sekitar.

Hos bersama dengan tetamu undangan akan membincangkan topik yang berlainan setiap minggu.

Dalam episod pertama CUBE, penonton akan berpeluang menyaksikan perbahasan yang menarik tentang topik ‘penghijrahan cendekiawan’ yang mana hos dan tetamu undangan akan membincangkan sebab umum mereka yang berhijrah ke negara lain untuk bekerja serta penyelesaian masalah tersebut.

Penonton juga akan diperkenalkan dengan segmen baru, ‘When I was 21’, yang akan memaparkan temubual dengan para pemimpin Malaysia.

“Kami berpeluang menemu bual sejarawan Malaysia, Tan Sri Prof Emeritus Dr Khoo Kay Khim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala tentang hidup mereka ketika muda,” ujar Adrian.

Melalui segmen ini, para penonton, terutamanya yang berada dalam lingkungan usia 18 hingga 25 tahun akan tahu bahawa mereka tidaklah jauh bezanya dengan tetamu jemputan.

Kisah hidup yang dikongsi oleh mereka yang berjaya mampu memotivasikan penonton.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: