Tuesday, February 22, 2011

Catat untung RM2.97b

Datuk Seri Abdul Wahid Omar
Datuk Seri Abdul Wahid Omar

MALAYAN Banking Bhd (Maybank) mencatatkan kenaikan 16 peratus dalam keuntungan sebelum cukai kumpulannya kepada RM2.97 bilion bagi tempoh kewangan enam bulan pertama berakhir pada 31 Disember 2010 berbanding RM2.56 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, berkata prestasi yang bertambah baik itu dipacu pendapatan tinggi dalam hampir semua perniagaan kumpulan serta elaun yang rendah bagi kerugian dalam pinjaman.

“Untuk tempoh berkenaan, Maybank mencatatkan perkembangan yang baik berikutan semua unit perniagaan di bawah kendalian Maybank mencatatkan pendapatan tinggi khususnya daripada segmen perkhidmatan kewangan komuniti yang mencatatkan pendapatan mencecah RM2.98 bilion berbanding RM2.81 bilion pada tahun sebelumnya,” katanya.


Menurutnya, keuntungan selepas cukai dan faedah minoriti (Patami) bagi suku kedua berakhir pada 31 Disember 2010, meningkat 13.3 peratus kepada RM1.12 bilion daripada RM993.5 juta pada tempoh fiskal sebelumnya.

“Operasi kumpulan di Indonesia terus menerajui pertumbuhan pinjaman dengan peningkatan besar sebanyak 27.3 peratus setahun diikuti Maybank Islamic pada 23.5 peratus.

“Operasi di Singapura pula mencatatkan pertumbuhan 17.8 peratus manakala operasi antarabangsa lain 20.9 peratus dan perkhidmatan kewangan komuniti sebanyak 10.1 peratus,” katanya selepas sesi taklimat media mengenai keputusan kewangan kumpulan di Kuala Lumpur, semalam.


Abdul Wahid berkata, keputusan itu mencerminkan kejayaan daripada usaha transformasi daripada penyusunan semula kumpulan.

“Sepanjang tempoh berkenaan, kumpulan mencatatkan pertumbuhan tinggi dalam pinjaman perusahaan kecil dan sederhana (PKS), mengembangkan perniagaan perbankan Islam di Indonesia menerusi penubuhan Maybank Syariah Indonesia serta memeterai perjanjian untuk membeli Kim Eng Holdings dalam usaha mengembangkan keupayaan perbankan pelaburan serantau,” katanya.


Bagaimanapun, menurutnya, pihaknya menerima persaingan khususnya di pasaran Indonesia berikutan semakin banyak institusi kewangan di negara berkenaan menawarkan pelbagai skim pinjaman perumahan dan perniagaan.

“Di Indonesia, persaingan khususnya dalam segmen deposit agak sengit berikutan banyak institusi kewangan di sana mahu menarik lebih ramai pendeposit stabil dengan menawarkan pelbagai pakej untuk pelanggan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: