
PENANTIAN yang ditunggu selama 15 tahun oleh aktor Fauzi Nawawi akhirnya berbaloi apabila dia memenangi dua anugerah besar dalam tempoh yang singkat menerusi satu drama iaitu Sebelum Akhirat.
Drama arahan Murali Abdullah itu sebelum ini telah mengangkat nama Fauzi sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dalam Anugerah Skrin 2010 yang berlangsung pada hujung Disember lalu.
Terbaru, pada Anugerah Seri Angkasa 2010 (ASA 2010) yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Sabtu lalu menyaksikan Fauzi sekali lagi naik ke atas pentas untuk menerima trofi Pelakon Drama TV Terbaik.
Fauzi atau nama sebenarnya Mohd. Fauzi Mohd. Nawawi yang ditemui sejurus majlis berakhir menyifatkan kemenangannya itu sebagai rezeki dan juga tenaga produksi drama Sebelum Akhirat.
![]() |
| FAUZI NAWAWI bersama isterinya, Lisdawati. Fauzi berhajat menunaikan haji. |
"Syukur, Alhamdulillah, saya rasa kemenangan ini adalah rezeki dan saya bernasib baik kerana mendapat skrip dan pengarah yang bagus serta dibantu oleh pelakon-pelakon hebat seperti isteri saya Lisdawati dan Fadhilah Mansor," ujarnya.
Balas aktor berusia 38 tahun itu lagi, dua anugerah yang diterimanya itu merupakan anugerah pertamanya sepanjang bergelar seorang pelakon.
Justeru, kedua-dua anugerah itu memberi pengertian yang besar kepadanya.
"Anugerah yang saya terima membuatkan saya rasa lakonan saya dihargai serta memberi kesan kepada penonton. Dalam masa yang sama saya juga rasa bangga sebab suatu hari nanti bila saya sudah tiada, pencapaian saya akan dikenang oleh anak cucu.
"Anugerah ini membakar semangat saya untuk memberikan lakonan yang lebih baik kepada penonton," katanya.
Mahu tunai haji
Bapa kepada enam orang anak itu mengakui bintangnya semakin bersinar, tetapi untuk sampai ke tahap hari ini perjalanannya penuh dengan liku.
Cerita Fauzi, dia mula menceburkan diri dalam bidang lakonan pada tahun 1996, bagaimanapun nasib tidak menyebelahinya ketika itu apabila Malaysia dilanda kegawatan ekonomi pada tahun 1998 menyebabkan pintu rezekinya sebagai pelakon tertutup buat sementara waktu.

Demi sesuap nasi, Fauzi melakukan pelbagai kerja belakang tabir seperti pelakon lagak ngeri, pembantu pengarah dan juga sebagai kru produksi.
"Apabila industri lakonan semakin pulih, pada tahun 2001 saya mula balik berlakon tetapi hanya sebagai pekerjaan sampingan kerana masih bekerja belakang tabir. Persaingan ketika itu sengit serta saya jarang mendapat tawaran lakonan.
"Demi minat saya teruskan juga kerja sebagai pelakon dan pada tahun 2003 saya nampak bintang saya mula cerah. Ramai pengarah dan penerbit mula percaya dengan bakat dan tawaran juga semakin banyak," jelasnya.
Ketika itu namanya mula meniti di bibir peminat dan memenuhi ruangan gosip dek pelbagai kontroversi cintanya bersama beberapa orang aktres popular, tetapi berkat usaha dan sifat enggan putus asanya, Fauzi mampu tersenyum puas dengan rezeki yang diberikan Allah kepadanya.
"Selepas berlakon drama Sebelum Akhirat, ia memberi impak yang besar dan menginsafkan diri saya. Kematian sentiasa mengekori kita dan kita tidak tahu bila waktu itu akan tiba.

"Rezeki yang diberi Allah ini, saya ingin selesaikan dengan tanggungjawab menunaikan haji tetapi sebelum itu saya mahu menunaikan umrah terlebih dahulu pada pertengahan tahun ini bersama ibu saya.
"Bukan saya tidak mampu menunaikan haji tetapi saya belum bersedia untuk melakukannya lagi. Biarlah saya belajar dengan lakukan umrah terlebih dahulu. Isteri saya bertuah kerana dia akan berangkat ke Mekah pada 28 Februari ini bersama tenaga produksi Erma Fatima dan menunaikan umrah lebih awal daripada saya," ucapnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: