MARAH... di Yaman, penunjuk perasaan antikerajaan bertempur dengan penyokong kerajaan.
BAGI Barat, pemberontakan di Mesir dan Tunisia berpunca daripada masalah ekonomi. Namun hakikatnya, ia juga adalah kesan daripada malu akibat sikap membisu kerajaan kedua-dua negara itu berhubung tragedi yang melanda bangsa Arab di Iraq dan Palestin.
Mesir kembali semula dengan peristiwa yang pernah berlaku apabila jutaan rakyatnya menghabiskan masa di corong radio untuk mendengar suara rakyat.
Generasi ketika itu terpaku pada radio untuk mendengar kata-kata keramat seperti kemerdekaan, maruah dan harapan.
Hari ini, setiap orang terpaku di depan televisyen, kali ini menonton dengan penuh minat mengenai apa yang berlaku di Mesir.
Segala yang terjadi di negara itu membayangkan perkembangan fasa baru yang melanda seluruh bangsa Arab: kerana kebangkitan Mesir sekali gus bermakna kebangkitan untuk semua bangsa Arab, perjuangan menentang penjajahan puluhan tahun lalu menggambarkan pembebasan untuk seluruh bangsa Arab.
Hari ini, kita mendengar suara rakyatnya di jalan raya dan sedar mereka akan mencipta era baru untuk bangsa itu sekali lagi.Adakah ini masanya bagi bangsa Arab berarak di jalan raya untuk memaksa kerajaan mereka melakukan perubahan? Ketika kesedihan, kekecewaan, diperdaya, kegagalan politik, ekonomi dan sosial semakin berleluasa, golongan elit yang memerintah negara Arab tidak merasakan kemarahan terhadap mereka semakin meningkat.
Orang ramai memenuhi jalan raya di Tunisia, Jordan dan Yaman. Barat tidak memberi tumpuan. Namun apabila suara rakyat Mesir bangkit, dunia mula sibuk menganalisis keadaan di dunia Arab.
Mereka mula mengkaji kadar pertumbuhan, kadar pengangguran di kalangan remaja, kadar pertumbuhan yang diperlukan dalam usaha menyediakan pekerjaan untuk golongan muda ini dan untuk membolehkan mereka terbabit dalam membentuk masa depan negara mereka.
Barat mendesak kerajaan Arab supaya tidak menggunakan keganasan atau menggesa mereka melakukan pembaharuan politik yang akan membenarkan kebebasan bersuara menerusi kebebasan media atau menerusi menerusi Parlimen.
Semua orang tahu Barat bukan memandang berat terhadap rasuah atau penindasan. Yang menjadi tumpuan mereka hanyalah minyak dan keselamatan Israel.
Ketika pakar Timur Tengah di Washington, London dan Paris cuba menganalisis apa yang berlaku dan menyediakan jawapan untuk kerajaan masing-masing, tidak seorang pun menyentuh punca sebenar.
Mungkin kerana ia sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh mereka.
Memang tidak boleh dinafikan lagi keperluan jutaan golongan muda di seluruh dunia Arab perlu diberi tumpuan dengan cara yang berbeza daripada dilakukan kerajaan Arab selama ini.
Ini adalah generasi yang hidup dalam abad ke-21 dan secara serius perlu membabitkan diri dalam membangunkan negara dan masa depan anak mereka.
Alasan kerana kemarahan ini agak rumit. Ia tidak boleh dirumuskan secara sewenang-wenangnya atau dijelaskan dengan sekadar memberi alasan pengangguran atau kemiskinan.
Pemuda Tunisia, Mohammad Bouazizi yang mencetuskan revolusi Tunisia adalah lepasan universiti yang bekerja dengan menjual buah dan sayur-sayuran dengan kereta tolak selama beberapa tahun sehingga beliau terasa dihina dan dimalukan oleh kuasa yang menindas.
Kekecewaannya menyebabkan dia membakar dirinya. Tindakannya membunuh diri menjadi tahap kesabaran penghabisan sehingga memusnahkan benteng ketakutan antara generasinya dengan kekuatan kerajaan.
Ini yang mencetuskan desakan untuk perubahan di seluruh dunia Arab.
Tidak hairan jika ia juga adalah laungan menuntut maruah bagi setiap warga Arab, maruah yang tercalar dengan melihat kaum mereka dikepung di Gaza dan melihat jutaan penduduk Palestin terkurung dalam sebuah penjara besar di negara sendiri, yang dijajah sejak 1948 dan di kem pelarian serta dibunuh setiap hari, tanpa mendapat pembelaan, semata-mata kerana ketidakmampuan bangsa Arab membela mereka.
Agak menarik juga untuk melihat reaksi Amerika terhadap tunjuk perasaan di Mesir menjangkau minat yang ditunjukkannya dengan apa yang berlaku di Tunisia, Jordan dan Yaman. Kebanyakan analisis dan reaksi di Amerika berkisar kepada kenaikan harga, pengangguran dan rasuah.
Tidak ada pegawai Amerika yang bercakap mengenai faktor perang yang memalukan yang berulang kali mencetuskan kemarahan orang ramai dan menghalang penduduk Mesir daripada menyuarakan sokongan dan membela saudara mereka di Gaza, Lubnan, Palestin dan Iraq.
Bukan sesuatu yang sukar untuk mengimbau semula saat kritikal yang mengumpulkan kemarahan di kalangan masyarakat Arab, khususnya perasaan dimalukan, dihina akibat sikap bacul kerajaan mereka dalam menghadapi tragedi yang menimpa Iraq dan Palestin.
Perasaan ini tidak diendahkan pemimpin Amerika dan Barat kerana mereka sebenarnya mensasarkan untuk memalukan masyarakat Arab yang di bawah pimpinan kuasa yang suka menindas, yang seolah-olah ditugaskan untuk mematahkan suara masyarakat Arab yang menggesa kepada perpaduan bangsa itu.
WikiLeaks menyumbang kepada faktor ini dengan mendedahkan pembabitan AS dan sekutunya yang melaga-lagakan masyarakat Islam dan merahsiakan apa yang berlaku daripada pengetahuan umum.
Faktor itu mendorong kepada desakan rakyat kerana sehingga kini mereka beranggapan kerajaan mereka mewakili kecenderungan dan hak mereka.
Hakikatnya, tingkah laku AS dan Barat bercanggah dengan apa yang mereka perjuangkan di depan umum. ‘Haqiqa Leaks’ dan ‘Transparency’ mengesahkan, mereka yang terbabit menentukan masa depan bangsa Arab sebenarnya ialah petualang yang mencetuskan permusuhan sesama masyarakat Islam.
Adakan kita sudah lupa bagaimana golongan muda Arab di kebanyakan bandar di negara Arab dihalang melakukan demonstrasi bagi menyokong rakyat Iraq dan Palestin? Dan bagaimana mereka yang cuba membawa makanan dan ubat-ubatan kepada saudara seIslam yang terkepung diperlakukan seperti penjenayah, sementara penjenayah perang dalam perang di Lebanon dan Gaza seperti Tzipi Livni, Ehud Barak dan Benjamin Netanyahu disanjung dan disambut dengan pelukan mesra? Itulah punca mengapa Amerika Syarikat begitu prihatin dan melakukan pemantauan terhadap apa yang berlaku kerana sebenarnya mereka adalah penyebab kepada semua peperangan yang berlaku, kemusnahan dan penindasan terhadap bangsa Arab.
Jika kemarahan ditujukan kepada kerajaan dan hasrat supaya pemerintah digantikan dan kaedah pemerintahan diubah, tidak dinafikan kedudukan pemerintah dengan persoalan di Palestin dan pembebasan bumi itu daripada penjajahan Israel menjadi faktor utama terhadap apa yang berlaku kini dan akan memberi implikasi dalam beberapa minggu dan bulan akan datang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: