Sunday, February 6, 2011

Berkongsi rahsia

pix_middle
HARAPAN.... beri semangat kepada anak yang ada kanser.
HARAPAN.... beri semangat kepada anak yang ada kanser.

KETIKA teman rapat penulis disahkan mempunyai tanda pra kanser payudara, rakan sejawatnya kecoh dan simpati sehingga ada yang menangis apabila bertemu dengannya.

Sudahnya, teman penulis pula menjadi ‘kaunselor’ menenangkan rakannya walaupun hatinya bergelora, tidak tahu bagaimana hendak memberitahu perkara itu kepada ibu dan ayah, apatah lagi selepas abang sulungnya meninggal akibat kanser usus.

Masih ramai beranggapan jika menghidap kanser menandakan seseorang itu sangat dekat dengan kematian. Anggapan ini perlu dibetulkan kerana tiada siapa tahu bila saat pemergian kita akan sampai kerana ajal maut itu Allah yang tentukan.

Ada banyak contoh orang yang kelihatan sihat ‘pergi’ dulu memintas jalan penghidap penyakit kronik yang dijangka hanya boleh bertahan beberapa bulan.Walaupun kesedaran masyarakat terhadap kanser semakin tinggi (hasil pendidikan, kempen kesedaran dan kemudahan mendapat maklumat melalui Internet), masih ada yang kurang tahu atau tidak tahu langsung mengenai penyakit ini.


Menghidap kanser bukan bermakna kita berdepan hukuman mati kerana kajian menunjukkan lebih 80 peratus kes kanser yang ditemui awal boleh disembuhkan.

Meskipun ia tidak dikategorikan sebagai penyakit gaya hidup, lebih separuh daripada semua jenis kanser boleh dicegah dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan pemakanan seimbang.

Antara faktor membuatkan ramai mengaitkan kanser dengan kematian ialah kebanyakan kes hanya dikesan apabila ia sudah teruk; yang bukan saja menyukarkan rawatan malah peluang untuk sembuh juga rendah.

Ada juga kes yang dikesan awal tetapi pesakit memilih untuk mendapatkan rawatan alternatif dan hanya datang balik ke hospital selepas mendapati penyakitnya semakin melarat. Jadi tidak hairan jika kematian tetap menjadi sebutan setiap kali penyakit yang menakutkan ini dibincangkan.

Setiap tahun dianggarkan dua hingga lima peratus (0.5 hingga 1.3 juta) penduduk Malaysia dikesan menghidap kanser dan penyakit berbahaya ini meragut nyawa kira-kira 40,000 pesakit.

Jumlah kematian yang tinggi ini meletakkan kanser sebagai pembunuh kedua utama selepas penyakit jantung.

Menurut Perunding Onkologi Klinikal Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr John Low, selain bayangan kematian, pesakit kanser juga sering berdepan masalah seperti:

  • Rasa kehilangan

  • Tidak tahu apa harus dilakukan

  • Tidak tahu kepada siapa hendak mengadu

  • Bimbang kanser akan menyebabkan mereka hilang kawalan pada kehidupan

  • Bimbang apa akan berlaku pada keluarga, terutama jika anak masih kecil atau bersekolah — siapa akan menjaga dan menguruskan mereka

  • Bimbang hilang pekerjaan

  • Bimbang menjadi beban pada keluarga (kerana rawatan kanser sangat mahal)

  • Takut pada kesan sampingan rawatan kemoterapi (keguguran rambut, muntah)

    Kebimbangan dan keresahan ini menyebabkan pesakit lebih cepat patah semangat; apatah lagi jika ahli keluarga tidak memberi sokongan atau mengendahkan mereka — sehingga ada yang sanggup mengharungi penderitaan dalam diam.

    “Stigma mengenai kanser perlu dikikis, ia penyakit yang boleh dirawat. Kanser tidak harus dianggap sebagai penamat kehidupan. Hakikatnya ia sama seperti penyakit kronik lain seperti sakit jantung, kencing manis, tekanan darah tinggi atau kegagalan buah pinggang.

    “Semuanya perlukan rawatan segera dan berpanjangan kerana kalau tidak mendapat rawatan, pesakit ini juga boleh meninggal dunia, malah penderitaan mereka akibat komplikasi mungkin lebih teruk daripada pesakit kanser.

    “Yang membezakan ialah masa — sama ada cepat atau lambat saja,” katanya sempena sambutan Hari Kanser Sedunia pada 4 Februari lalu.

    Beritahu atau rahsia?

    Perlukah memberitahu keluarga mengenai penyakit anda? Secara peribadi, Dr Low berpandangan perkara ini lebih baik diberitahu kepada keluarga kerana ketika ini, sebagai pesakit anda memerlukan sokongan mereka. Sokongan ini bukan saja daripada segi moral malah dalam bentuk fizikal, khususnya jika pesakit ada anak kecil atau yang masih bersekolah.

    Bagaimanapun, memang ada pesakit meminta doktor merahsiakan penyakit kerana mahu memaklumkan sendiri kepada keluarga apabila bersedia dan tiba masa yang difikirkan sesuai.

    Walaupun doktor menghormati permintaan pesakit, pada masa sama mereka tetap memantau perkembangan pesakit, sama ada daripada segi kesihatan fizikal atau mental.

    Pesakit kanak-kanak lebih mudah menerima berita mengenai penyakit berbanding pesakit dewasa. Kanak-kanak akan menganggapnya sebagai sebahagian daripada hidup mereka tetapi pada masa sama ibu bapa perlu sentiasa memberi perangsang dan kata-kata positif kepada anak yang sakit tanpa mengenepikan perasaan anak lain. Biasanya mereka juga akan memberi kerjasama baik kepada ibu bapa dan doktor dalam rawatan.

    Memang ada ibu bapa tidak mahu anak tahu mengenai penyakit mereka. Oleh kerana kebanyakan perbincangan tertumpu pada aspek penyakit dan rawatan, ramai terlupa bahawa kanser bukan sekadar penyakit, tetapi boleh dianggap isu keluarga kerana memberi kesan terhadap setiap anggota keluarga. Malah kerana terlalu menumpukan perhatian kepada penyakit, tidak ramai terfikir mengenai kesan dialami pasangan dan anak.

    Kanser meletakkan sesebuah keluarga dalam keadaan tegang. Kanak-kanak turut merasai tekanan ini dan kajian menunjukkan 35.5 peratus kanak-kanak yang mempunyai ibu atau bapa diserang kanser ada masalah dengan kawan sekolah (37.8 peratus) dan mengalami gangguan kesihatan akibat kesan psikologi (40 peratus).

    Kajian menunjukkan kanak-kanak menerima kesan psikologi paling teruk apabila ibu atau bapa sakit, sama ada mengalami keresahan atau tekanan psikologi. Malangnya tidak ramai mendapatkan bantuan atau bercerita mengenai masalah dihadapi.

    Memang ada ibu bapa tidak bersedia memberitahu penyakit mereka kepada anak, terutama di kalangan ibu tunggal. Sebenarnya anak dapat memahami keadaan ibu bapa jika diberitahu dengan baik.

    Antara perkara yang perlu dielakkan:

  • Berahsia dengan anak, ahli keluarga atau rakan rapat

  • Membiarkan keadaan atau peraturan rumah menjadi tunggang-langgang kerana anda sakit

  • Memerintah anak untuk melakukan sesuatu, sebaliknya minta mereka bekerjasama dengan memberi alasan munasabah

  • Memberitahu anak bahawa mereka perlu buat baik kepada anda hanya kerana anda sakit

  • Menjangkakan anak akan duduk di rumah sepanjang masa dengan alasan mahu meluangkan banyak masa bersama. Ini akan membuat anak berasa tertekan

  • Berfikir anda boleh melakukan semuanya

  • Cuba menyelesaikan semua perkara

  • Berpura-pura gembira atau seolah-olah tiada apa berlaku

    Bagaimana pula jika pesakit tua dan keluarga pula yang meminta perkara itu dirahsiakan? Keadaan ini juga ada, tetapi sebenarnya pesakit berhak mengetahui status kesihatan dan rawatan apa diberi kepada mereka.

    “Namun beberapa perkara perlu diambil kira seperti melihat keadaan emosi pesakit. Jika emosinya tidak stabil, lebih elok tunggu dulu sehingga pesakit nampak tenang sebelum memaklumkan keadaan sebenar. Ini kerana ada pesakit membunuh diri kerana tidak dapat menerima hakikat mereka menghidap kanser.

    “Namun apabila difikirkan balik, sebenarnya tiada apa hendak disorokkan. Memberitahu keluarga dan kawan rapat mengenai penyakit kita ada kebaikannya juga. Sekurang-kurangnya apabila kita di hospital, ada orang melawat dan mendoakan kesejahteraan kita. Kehadiran ahli keluarga dan rakan sedikit sebanyak boleh menguatkan semangat pesakit dan membuatkan mereka berasa gembira,” katanya.

    Ia juga memberi peluang kepada ahli keluarga dan rakan membuat amal dengan membantu menguruskan makan minum anak atau persekolahan mereka. Mengetahui anak terbela, pesakit biasanya berasa lebih tenang dan boleh memberi tumpuan kepada rawatan.

    Dr Low juga memberi beberapa panduan ketika menjalani rawatan iaitu:

  • Ketahui keadaan anda. Jangan takut atau bimbang. Lebih banyak yang anda tahu, lebih baik kerana ia memudahkan anda memahami penyakit dan rawatan. Cari maklumat mengenai penyakit anda atau dapatkan pandangan kedua daripada doktor lain

  • Dapatkan rawatan betul dan sewajarnya. Elak mencuba rawatan alternatif atau tradisional yang tiada bukti keberkesanannya. Ramai pesakit kanser datang balik ke hospital selepas mendapati rawatan alternatif tidak berkesan; malangnya keadaan mereka biasanya sudah teruk dan sukar dirawat

  • Rehat secukupnya

  • Makan secukupnya walaupun kurang berselera. Ketika ini pesakit sangat memerlukan diet yang baik untuk menguatkan badan dan melawan penyakit

  • Bersenam secara sederhana — ikut kemampuan masing-masing

  • Berasa selesa dan percaya dengan doktor yang merawat. Justeru, dapatkan rawatan di hospital yang mempunyai rekod baik jika mampu

  • Jangan mudah percaya cakap orang atau maklumat yang anda baca di Internet. Minta doktor perjelaskan maklumat yang anda dapat. Selain itu dalam tempoh lima tahun ini, segera berjumpa doktor jika berasa tidak sihat atau mengesan sesuatu yang tidak normal pada badan


    Harapan

    “Harapan untuk hidup sihat sentiasa ada. Bahkan jika kanser disahkan sampai ke peringkat ketiga atau keempat (teruk) pun, jangan berputus asa. Doktor yang merawat juga tidak boleh berkata ‘sudah tiada harapan’ kepada pesakit.

    “Jangan padamkan harapan mereka kerana dunia perubatan sentiasa berkembang dan ada saja ubat baru untuk merawat pesakit; atau setidak-tidaknya mengurangkan penderitaan pesakit.

    “Walaupun harapan untuk sembuh sangat tipis, doktor masih boleh memberi rawatan mengurangkan gejala penyakit seperti kesakitan, masalah pernafasan, kesukaran menelan makanan atau kesan sampingan rawatan. Sasaran rawatan kanser kini bukan saja menjurus kepada penyembuhan tetapi diperluaskan untuk meningkatkan kualiti hidup pesakit; selagi hayat mereka masih ada.

    “Siapa kita (doktor dan pengamal perubatan) untuk membunuh harapan pesakit dan keluarga. Semua ibu bapa pesakit kanak-kanak berharap berlaku keajaiban yang membolehkan anak mereka menjalani hidup sebaik mungkin walaupun tahu tiada peluang sembuh.

    “Dalam keadaan begini, doktor boleh membantu dengan berkongsi maklumat bagaimana ibu bapa ini boleh menghabiskan lebih banyak masa berkualiti bersama pesakit.

    “Sikap positif ini penting kerana ia membantu menguatkan semangat pesakit. Ia secara langsung membantu badan pesakit memberi tindak balas positif terhadap rawatan. Jika pesakit sendiri patah semangat, sentiasa berfikir akan mati, doktor terbaik di dunia pun tidak berpeluang membantu kerana pesakit seolah-olah menutup ruang untuk menjadi lebih baik. Banyak kes membuktikan pesakit yang putus asa lebih cepat meninggal dunia,” katanya.

    Menurut Perunding Onkologi Klinikal Pusat Perubatan Wijaya International, Datuk Dr Ibrahim Wahid, setiap jenis kanser mempunyai peluang sembuh berbeza walaupun dikesan pada peringkat sama.

    Kanser payudara peringkat pertama yang dirawat mempunyai peluang sembuh antara 90 hingga 95 peratus; menurun kepada 80 hingga 90 peratus (peringkat kedua), 40 hingga 50 peratus (peringkat ketiga) dan kurang daripada 10 hingga 20 peratus bagi peringkat keempat.

    Bagi kanser paru-paru pula, peluang sembuh lebih rendah iaitu kira-kira 50 hingga 60 peratus saja walaupun dikesan pada peringkat awal (peringkat satu dan dua) dan turun mendadak kepada hanya 20 peratus bagi peringkat keempat. Pada peringkat keempat, pesakit dijangka hanya boleh hidup dua tahun.

    Untuk kanser pankreas pula, peluang keterusan hidup lebih rendah berbanding kanser paru-paru kerana kadar keterusan hidup hanya 30 hingga 40 peratus bagi peringkat pertama.

    Malah, kadar terusan hidup pesakit yang dikesan menghidap kanser ini pada peringkat keempat dikatakan hampir tiada iaitu mereka dijangka meninggal dunia dalam tempoh lima tahun. Pesakit kanser buah pinggang peringkat keempat mempunyai peluang keterusan hidup sebanyak 10 hingga 20 peratus saja dalam tempoh sama.

    Bagaimanapun, kini ada banyak terapi bersasaran yang direka untuk kanser peringkat teruk. Malah kini muncul ubat dikhususkan untuk pesakit dengan keadaan kesihatan yang tidak mendapat manfaat daripada rawatan sedia ada.

    “Saya sering bertemu pesakit yang berputus asa apabila doktor mereka memberitahu ‘keadaan awak sangat teruk, tiada apa boleh dilakukan’. Kata-kata ini meragut harapan pesakit, sedangkan mereka sepatutnya boleh dirujuk kepada pakar onkologi.

    “Kini ada pelbagai jenis ubat; walaupun ia mungkin tidak dapat menyembuhkan kanser, ia mampu memanjangkan sedikit hayat pesakit dan meningkatkan kualiti hidup mereka,” katanya.

    Namun ramai maklum, ubat dan rawatan untuk kanser bukan murah. Satu sesi rawatan boleh mencecah puluhan ribu ringgit. Berbaloikah membelanjakan sebanyak itu hanya untuk memanjangkan hayat selama beberapa bulan?

    “Ini persoalan yang sukar dijawab. Bagi orang sihat, ia mungkin tidak berbaloi tetapi untuk pesakit kanser, setiap hari sangat bermakna pada mereka. Contohnya bagi ubat baru seperti temsirolus mampu memanjangkan jangka hayat sehingga hampir 11 bulan kepada pesakit kanser buah pinggang yang sebelum ini tidak boleh dirawat langsung.

    “Ini termasuk untuk pesakit lemah dan dikategorikan sebagai kumpulan yang kurang bertindak balas terhadap rawatan akibat pelbagai masalah kesihatan,” katanya pada pelancaran ubat kanser buah pinggang baru, Torisel.

    “Yang penting ialah pesakit mempunyai semangat untuk terus berjuang. Biarpun jangkaan hayat hanya beberapa bulan, biarlah hari-hari terakhir pesakit itu dihabiskan dalam keadaan baik, gembira dan bebas daripada kesakitan.

    “Doktor hanya menjangka tetapi panjang hayat seseorang itu, Allah yang tentukan,” katanya.





    Perkara perlu dielak

    > Berahsia dengan anak, ahli keluarga atau rakan rapat

    > Membiarkan keadaan atau peraturan rumah menjadi tunggang-langgang kerana anda sakit

    > Memerintah anak untuk melakukan sesuatu, sebaliknya minta mereka bekerjasama dengan memberi alasan munasabah

    > Memberitahu anak bahawa mereka perlu buat baik kepada anda hanya kerana anda sakit

    > Menjangkakan anak akan duduk di rumah sepanjang masa dengan alasan mahu meluangkan banyak masa bersama. Ini akan membuat anak berasa tertekan

    > Berfikir anda boleh melakukan semuanya

    > Cuba menyelesaikan semua perkara

    > Berpura-pura gembira atau seolah-olah tiada apa berlaku



    Panduan jalani rawatan

    > Ketahui keadaan anda. Jangan takut atau bimbang. Lebih banyak yang anda tahu, lebih baik kerana ia memudahkan anda memahami penyakit dan rawatan. Cari maklumat mengenai penyakit anda atau dapatkan pandangan kedua daripada doktor lain

    > Dapatkan rawatan betul dan sewajarnya

    > Rehat secukupnya

    > Makan secukupnya walaupun kurang berselera. Ketika ini pesakit sangat memerlukan diet yang baik untuk menguatkan badan dan melawan penyakit

    > Bersenam secara sederhana — ikut kemampuan masing-masing

    > Berasa selesa dan percaya dengan doktor yang merawat. Justeru, dapatkan rawatan di hospital yang mempunyai rekod baik jika mampu

    > Jangan mudah percaya cakap orang atau maklumat yang anda baca di Internet
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: