Saturday, February 12, 2011

Bawa rumput sendiri di Coober Pedy


Green tanpa rumput di Coober Pedy, Australia.


MAHU mencuba sesuatu yang benar-benar berbeza dalam permainan golf? Bagi yang rajin berjalan dan ada kemampuan boleh cuba ke Australia yang memang memiliki banyak lapangan golf menarik dan bertaraf dunia.

Tapi, semuanya mungkin kelihatan sama kecuali di Coober Pedy yang terletak di Australia Selatan.

Lapangan ini bukan sekadar menampilkan kelainan tetapi juga kejutan. Biasanya, apabila masuk ke lapangan golf, mata akan terpaku kepada kehijauan fairway dan green yang dijaga rapi.

Tetapi di Coober Pedy, orang biasa akan mengaitkannya dengan batu opal berwarna-warni yang dilombong di kawasan tandus dan gersang.

Ia tempat di mana siangnya panas dan malam pula sejuk. Tidak ada tarikan lain selain kawasan gurun gersang. Tempat ini tiada berumput dan air pula yang terlalu sedikit.

Dalam keadaan begitu sudah tentunya golf tidak akan hadir dalam pemikiran kita sebagai satu bentuk rekreasi penduduk di sana. Tetapi percayalah, mereka memiliki satu lapangan 18 lubang.

Tapi, ia bukannya lapangan yang fairway dan greennya menghijau. Tetapi lapangan ini langsung tidak berumput. Jadi macam mana mahu bermain golf?

Jawapannya, anda kena bawa rumput sendiri.

Setiap pemain akan membawa rumput tiruan sebesar 20 sentimeter persegi bersama-sama. Bagi pelawat, ia boleh didapati di rumah kelab. Di sini etika berpakaian tidak diambil kira.

Kelab ini memiliki keahlian 70 orang yang turut memiliki rumah kelab yang menghadap sembilan lubang pertama dan kawasan pekannya.

Dalam kepelikannya itu, ia menarik kehadiran 60,000 pelawat setiap tahun dan menjadi tuan rumah kepada kejohanan tahunan Coober Pedy Classic. Pada musim panas, cuacanya boleh tahan - suhu biasanya sekitar 47 darjah celsius dan sangat berangin - maknanya sangat berdebu.

Landskapnya yang berbatu turut dihiasi dengan semak-samun gurun yang berselerakan. Sembilan lubang pertama agak rata dan mudah, namun untuk sembilan yang kedua ada yang berbukit setinggi 30 meter.

Kalau di lapangan golf biasanya terdapat halangan berair, tetapi di sini ia penuh dengan debu, bukit dan batu.

Tetapi, apa yang menarik, Kelab Golf Coober Pedy merupakan kelab bersekutu dengan Royal and Ancient Golf Club of St. Andrews (R&A). Bermakna, ahli-ahlinya mempunyai hak bermain di St. Andrews.

Kalau kita melihat kepada rupa paras lapangan ini, tentu tidak akan percaya yang ia bersekutu dengan R&A.

Pada tahun 2002, rumah kelabnya musnah dalam satu kebakaran dan telah digantikan dengan yang baru.

Selepas rumah kelab baru itu dibina, presiden kelab itu menghantar gambar lapangan itu ke St. Andrew dan memberitahu bahawa sudah sampai masanya mereka memastikan lapangan mereka berada dalam keadaan baik dan bertanya sama ada St. Andrews berminat untuk menjadikan Coober Pedy kelab bersekutu.

Apa yang mengejutkan, St. Andrew menghantar sepucuk surut memberikan hak tersebut dengan syarat mereka memberikan St. Andrews satu lombong opal.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: