|
|
PADA awal Februari lalu, Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (Muslim Aid) dengan kerjasama d'Tandoor Food Industries Sdn. Bhd. dan Ramiza Synergy Sdn. Bhd. telah menjayakan misi bantuan banjir dengan menghantar bantuan makanan Qurban For Life dan juga Comfort Aid seperti tuala wanita, lampin bayi, pisau cukur dan sebagainya kepada mangsa-mangsa banjir di sekitar Pagoh, Johor.
Ketua misinya, Amir Effendi Abd. Rahim berkata, bantuan itu sememangnya amat diperlukan oleh mangsa-mangsa banjir terutama sumbangan berbentuk peralatan dan penjagaan kesihatan.
Ini memandangkan tidak ramai yang menyumbang barang-barang berkenaan kepada mangsa-mangsa banjir terbabit.
"Pihak kami turut memberikan Vitamin C kepada mangsa-mangsa banjir bagi menguatkan imunisasi mereka yang terdedah dengan penyakit-penyakit merbahaya dan mudah berjangkit seperti, taun dan banyak lagi.
"Kami juga meninjau kawasan yang ditenggelami air sedalam 1.51 meter di sekitar Pagoh dengan menggunakan bot.
"Lebih 5,000 orang mangsa banjir di sekitar pekan itu telah mendapat bantuan makanan tengahari dan malam daripada syarikat d'Tandoor.
"Penghantaran bantuan dijalankan dua hari sekali di setiap penempatan banjir dengan menggunakan bot dan lori askar.
"Bantuan yang dihantar ini juga diberi kepada semua mangsa-mangsa banjir tanpa mengira bangsa atau agama," katanya.
Misi bantuan itu juga katanya, turut dibantu beberapa sukarelawan Muslim Aid.
Tambah Amir, sebagai mewakili pihak Muslim Aid, beliau amat berterima kasih kepada para penderma yang begitu prihatin dan telah menyalurkan sumbangan kepada mangsa banjir di Johor walaupun program bantuan ke Pagoh ini dalam tempoh masa yang singkat iaitu sehari sebelum bantuan dihantar keluar menerusi laman web Muslim Aid.
Katanya lagi, ini membuktikan sikap keprihatinan masyarakat Malaysia terhadap keadaan sekeliling.
Sehubungan itu, pihaknya amat mengalu-alukan sebarang sumbangan daripada masyarakat luar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: