BERGELUMANG hidup sebagai anak seni sememangnya memberi banyak cabaran. Bukan saja cerita karier diikuti peminat malah 'kisah dalam kain dan kelambu' kadangkala turut cuba diselongkar.
Akui pelakon jelita, Nur Fazura Sharifuddin, sepanjang sembilan tahun menjadi artis, pelbagai perangai dan situasi ditempuh. Ada ketika dia rimas dan tertekan dengan sikap segelintir individu membuat pelbagai spekulasi sesuka hati mengenai dirinya.
Katanya, dia terfikir betapa golongan ini terlalu obses terhadap dirinya dan hingga sanggup menjaja cerita tidak berasas kepada orang lain.
"Saya anggap ini adalah perkara biasa berlaku pada diri saya selama ini. Memang orang sebegini suka bercakap perkara tidak elok dan ia seolah-olah menjadi kebiasaan pada mereka terus bercakap.
"Apa yang saya belajar daripada situasi ini, kalau terlalu diberi perhatian kepada golongan berkenaan, perkara ini jadi bertambah kronik hingga saya pun boleh jadi macam mereka!
"Sebolehnya, jangan banyak berfikir apabila berdepan situasi ini, tetapi senyum dan sentiasa bersyukur pada Tuhan. Selalunya sebelum tidur, saya berdoa kerana bersyukur atas apa yang dimiliki dan minta dijauhkan perkara buruk termasuk fitnah," katanya.
Melalui pengalaman pahit dan manis, Fazura berkata ia banyak membantu dirinya bertambah yakin dan matang. Paling penting, dia berpesan kepada diri sendiri agar tidak lupa mengucap syukur kepada Tuhan, tidak takbur dan percaya Tuhan Maha Mengetahui.
"Soal jodoh memang ramai bertanya dan ia suatu yang subjektif untuk dijawab. Memang saya selalu berdoa mendapat jodoh yang baik. Soal masa bukan penting kerana Tuhan menentukan.
"Begitu juga, saya tidak menolak kalau jodoh sudah sampai dalam masa terdekat. Apa yang penting, saya berdoa agar mendapat lelaki daripada keluarga sederhana dan hidup penuh kasih sayang kerana saya mahu anak saya nanti mendapat kasih sayang secukupnya.
"Sifat merendah diri dan malu pada Tuhan sepatutnya ada pada setiap individu. Ada juga peminat memberi teguran soal jodoh dan saya sendiri bersedia berkahwin dan bekerja untuk kebaikan," katanya.Fazura, 28, berkata dia masih mencari calon sesuai dijadikan suami. Katanya, dia tidak kisah andai rakan artis menjadi jodohnya kerana percaya jodoh itu adalah terbaik setiap kali dia doakan yang terbaik.
Bercerita perkembangan baru, Fazura akan berangkat ke Tanah Suci Makkah pada 3 Mac nanti menjalani penggambaran dua drama bersama Erma Fatima, iaitu Tahajud Cinta dan Pahitnya Madu.
Katanya, hanya sebahagian penggambaran dilakukan di sana yang turut disertai pelakon seperti Eman Manan, Ziela Jalil dan Fouziah Gous.
"Sepatutnya saya ke sana pada 3 Mac nanti, tetapi ia mungkin ditangguh beberapa hari kerana masalah visa. Dalam drama Tahajud Cinta, saya membawa watak isteri didera manakala menjadi isteri kedua dalam Pahitnya Madu.
"Jika diikut usia, tahun ini saya mula diberi kepercayaan membawa karakter isteri, tetapi saya teringin mencuba pelbagai watak seperti seram dan antagonis.
"Sebelum ini saya banyak membawa watak baik dan naif membuatkan saya bosan. Selain drama, saya juga akan terbabit dengan dua filem baru bersama produser Red Communications, Lina Tan yang akan menjalani penggambaran pada pertengahan dan penghujung tahun ini.
"Sebenarnya dua produser ini sudah 'booking' saya sejak tahun lalu lagi. Bersama Erma, saya juga terbabit dengan satu lagi drama baru, Kitab Cinta, yang akan mengambil lokasi di Acheh.
"Apapun, saya bertuah dan bersyukur kerana dimurahkan rezeki. Selain tawaran berlakon, saya juga mendapat sambung kontrak bersama Avon dan Lux.
"Begitu juga, apabila ke Makkah nanti saya berhasrat mengerjakan umrah. Ini kali kedua saya melakukan ibadat itu selepas usia 12 tahun," katanya.
Bintang Harapan Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-17 (2004) menerusi filem Bicara Hati, pernah beberapa kali merancang mengerjakan umrah, tetapi tidak berkesempatan kerana kesibukan bekerja.
"Sebolehnya, saya mahu buat umrah setiap tahun. Mungkin jika ada rezeki saya juga mahu lakukan haji. Seperti berkahwin, saya bersedia bergelar hajah demi matlamat kebaikan.
"Jika boleh, saya tidak mahu terlalu mengheboh perkara ini kepada media. Ada juga wartawan minta gambar tapi saya tidak mahu cari publisiti murahan.
"Matlamat saya bukan saja pada dua filem baru tahun ini sebaliknya saya mahu memberi fokus pada kerja yang ada. Andai diberi peluang, saya berhasrat bekerja dengan pengarah berpengalaman seperti Mamat Khalid, Osman Ali mahupun Kabir Bhatia.
"Saya juga ingin bergandingan dengan pelakon lain seperti Shafie Naswip, Tiz Zaqyah, Bront Palarae dan Jasmin Hamid. Secara peribadi saya suka cerita komedi.
"Mungkin penonton tidak dapat bayangkan saya membawa karakter antagonis kerana saya selalu ditawar watak baik. Namun, saya ingin mencuba dan 'potong' watak stereotaip itu," katanya.
Kini menjadi duta bagi empat produk termasuk Nutox dan Hairdreams, Fazura akui jadual harian semakin sibuk. Untuk Lux, ia adalah pengalaman pertama kali yang dianggap memberi cabaran besar.
"Melihat bekas duta Lux lalu seperti Shiela Majid, Erra Fazira dan Amy Mastura, ia memberi cabaran besar untuk saya meneruskan legasi mereka.
"Selalu Lux mementingkan ciri glamor dan cantik pada duta mereka. Namun, saya tidak fikir saya glamor kerana ada ketika saya selesa tanpa solekan.
"Saya percaya wanita perlu lebih bergaya dan yakin pada diri. Bukan hanya bergantung pada solekan tapi kecantikan perlu datang dari dalaman.
"Apapun, saya berasakan tanggungjawab sebagai duta cukup besar dan perlu bijak mengurus masa. Soal perancangan masa depan, saya ingin membuka perniagaan sendiri sama ada restoran atau butik.
"Buat masa ini, saya masih dalam proses mendapatkan pinjaman dan kumpul duit. Mungkin impian ini bakal menjadi kenyataan pada tahun ini," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: