Saturday, January 15, 2011

Wawa tampil anggun mewah

MANA SATU...Wawa meneliti sebahagian baju pengantin yang terdapat di Butik Cosry,  Bangsar.
MANA SATU...Wawa meneliti sebahagian baju pengantin yang terdapat di Butik Cosry, Bangsar.

SAAT indah diimpikan personaliti televisyen Azwaliza Azman atau Wawa, 30 untuk mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan hati Abdul Kadir Abdul Rashid, 32, semakin hampir. Pasangan yang bertunang pada November 2009 akan bernikah pada 22 Januari ini, jam 3 petang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Segala persiapan sudah dilaksanakan dan Rap dijemput menyaksikan bagaimana pasangan merpati dua sejoli ini meneliti kerja-kerja terakhir sebelum tiba hari bersejarah buat mereka.


Perbincangan dilakukan dengan Pengarah Kreatif Cosry Wise (M) Sdn Bhd, Putra Aziz membabitkan baju bakal digayakan pada majlis resepsi. Cantik dan tampak mewah di kala Wawa mengacu gaun yang bercirikan kebaya moden.

Selain majlis pernikahan dan resepsi di PWTC, pasangan itu merancang mengadakan majlis resepsi di rumah bagi membolehkan sahabat taulan meraikan mereka sementara Hotel Shangri-La buat tetamu khas. Untuk itu beberapa pasang baju sudah pun ditempah.

  • Foto

    CANTIK TAK...Wawa meminta pandangan bakal suami, Kadir mengenai potongan baju yang mahu digayakan.

  • Foto

    BAGAI PUTRI...Putra membantu Wawa mencuba kasut yang akan digayakan pada majlis resepsi.

  • Foto

"Di majlis itu nanti kebanyakan pakaian saya direka Freda, pereka fesyen yang turut bertanggungjawab menghasilkan baju untuk majlis merisik dan bertunang. Malah baju pernikahan nanti, dia juga yang hasilkan," katanya menceritakan perancangan dibuat.

Wawa sendiri berusaha memastikan segala perancangan berjalan lancar seperti apa yang dimahukan. Lebih penting bagi pembaca berita Buletin Utama dan pengacara majlis itu, dia mahu tetamu bakal meraikan mereka berasa selesa dan seronok.


Menceritakan lebih lanjut mengenai majlis bakal berlangsung, jelas Wawa memandangkan kedua-duanya sibuk dengan urusan kerja dan perniagaan, pada peringkat awal mereka merancang untuk mengadakan majlis secara sederhana dan ringkas.

Kadir sendiri sebelum ini menjadi pengurus kumpulan Ruffedge kini sibuk mengendalikan perniagaan dibina keluarga.


"Susah kalau majlis diadakan secara kecil-kecilan kerana saya mahupun Kadir mempunyai saudara-mara dan kenalan yang ramai. Contoh sewaktu kami mengadakan majlis pertunangan. Pada awalnya saya mahu mengadakan ia secara ringkas dan sederhana, namun sebaik rakan-rakan tahu mereka semua mahu datang dan meraikan saya."Kehadiran mereka secara tidak langsung menjadikan majlis itu nampak meriah dan besar," katanya.


Latar keluarga yang pelbagai juga menyebabkan Wawa dan Kadir mengadakan beberapa majlis resepsi khas.

Jelas Wawa ibunya, Jamilah Ahmad berdarah kacukan Cina, dan biasanya keluarga belah ibunya sangat tertarik dengan adat istiadat perkahwinan Melayu begitu juga dengan bapanya Azman Abdullah yang masih mempunyai ramai keluarga berketurunan India dan Cina.


Sementara Kadir pula Abdul Rashid yang keluarga berasal dari utara India sementara ibunya Ailleen Jamaluddin datang dari keluarga besar.

Waktu sama datuknya, V.K Abdul Majeed mempunyai perniagaan permaidani dan sudah tentu punya ramai kenalan dan rakan niaga.

"Saya pula anak bongsu dari tiga beradik sudah tentu dengan latar keluarga begitu susah untuk kami mengadakan majlis secara sederhana dan kecil.

"Kata ibu, ini adalah perkahwinan terakhir dalam keluarga kami jadi mahu atau tidak majlis harus dilakukan dalam suasana semeriah mungkin.

"Begitu juga dengan Kadir. Sebagai anak sulung daripada tiga berada ini adalah majlis pernikahan dan perkahwinan pertama dalam keluarganya.

"Secara peribadi bagi saya kecil atau tidak bukan persoalannya, apa yang lebih penting restu dari keluarga dan tetamu lebih kami harapkan. Doakanlah kebahagiaan rumah tangga bakal kami bina nanti," katanya.


Bercerita lanjut mengenai persiapan, jelas Azwa mengikut perancangan dia mahukan majlis resepsi bertemakan perkahwinan dalam taman. Namun ia agar sukar untuk dilaksanakan secara menyeluruh. Begitupun menurut selebriti berwajah manis itu, ia mungkin dapat direalisasikan dalam salah satu majlis resepsi bakal dilaksanakan.


"Saya tidak melantik mana-mana perunding perkahwinan kerana lebih gemar melakukan semuanya sendiri. Lagipun susah kalau mengharapkan orang. Bimbang kalau ia tidak berkenan di hati akan menimbulkan rasa kurang senang. Masa majlis pertunangan pun begitu juga segalanya saya buat. Namun mujur saya ada rakan-rakan di TV3 membantu terutama bahagian Komunikasi Korporat yang kebetulan memang rapat dengan saya.

"Mereka sudah biasa mengendalikan majlis besar jadi sudah tentu kemahiran mereka saya gunakan untuk membantu menguruskan majlis pernikahan dan persandingan nanti," katanya.


Menyorot kisah percintaan pasangan ini, kedua-duanya mula berkenalan di kedai menjual telefon bimbit. Pada peringkat awal Wawa menjelaskan dia agak berat untuk menerima Kadir. Namun atas usaha Kadir dan bantuan rakan sekerja Wawa, akhirnya mereka dipertemukan. Kedua-duanya mengakui pada permulaannya mereka memulakan hubungan sebagai kawan sehinggalah apabila berasa selesa mereka mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

"Mungkin benar kata orang, perasaan tidak suka boleh bertukar kepada sayang dan rindu. Itulah juga yang saya rasakan kini. Pada saya Kadir seorang lelaki budiman.

"Dia menyayangi saya sepenuh hati dan saya bertuah kerana dipertemukan Allah dengan lelaki sepertinya. Rasa tanggungjawab ditunjukkan kepada saya itu lebih penting.


"Bayangkan dulu sepanjang kami berkawan apabila saya habis kerja lewat, Kadir akan datang ke pejabat dan menghantar saya pulang dari pintu pagar Sri Pentas sampailah ke pintu pagar rumah.

"Apabila saya selamat masuk dalam rumah barulah dia beredar. Ia dilakukan saban hari dan pada saya susah untuk mencari lelaki baik seperti Kadir.


"Wang ringgit pada saya bukanlah keutamaan kerana ia boleh diperoleh selepas kita hidup bersama. Saya sendiri selama ini hidup berdikari dan membina kerjaya dari bawah, namun untuk mencari seorang suami saya melihat seorang lelaki itu perlu ada kepimpinan dalam merencana hidup.


"Kerana kalau perkara itu ada, bermakna dia boleh mengemudi keluarganya. Ciri-ciri itulah yang saya nampak ada pada Kadir," katanya.


Bagi Kadir yang turut bersama Wawa melihat persiapan dilakukan menjelaskan, kebijaksanaan dan dorongan diberikan penyampai berita Buletin Utama itu kepadanya agar berjaya dalam bidang perniagaan diceburi menyebabkan dia berasakan Wawa adalah wanita paling sesuai untuk dijadikan suri hidup.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: