Saturday, January 15, 2011

Ideologi kreatif Baharim

SESUATU...padanan blaus dan kain berlabuci dengan sentuhan layah pada bahagian kepala. Segar dan kreatif.
SESUATU...padanan blaus dan kain berlabuci dengan sentuhan layah pada bahagian kepala. Segar dan kreatif.

MENGAMBIL inspirasi daripada suasana matahari terbenam dengan juntaian cahaya waktu senja di pulau mistik Bali, Indonesia memberi ilham kepada pereka muda Syaiful Baharim mengetengahkan 16 persalinan terbaru yang turut digayakan di pentas peragaan ketika Minggu Fesyen Antarabangsa Malaysia (M-IFW) ke-10.

Syaiful menerusi penjenamaan Baharim melakarkan cetusan idea ketika bercuti di pulau indah itu menerusi lakaran pada gaun petang dan koktel yang sungguh indah dan glamor sifatnya.


Melihat kepada rekaannya yang mempunyai ideologi kreatif tersendiri, menurut Syaiful, identiti Baharim dapat dilihat pada jahitan yang digabungkan menerusi rekaan sederhana, cantik dan mempunyai nilai komersial.

Dia menggunakan potongan kemas dan bersih diadun bersama perincian manik mewah dan sulaman indah bagi mencetuskan keanggunan kepada si pemakai.

"Antara elemen segar yang saya gunakan ialah jahitan kedut pada bahagian tangan, ropol pada bahagian kain manakala perincian manik seperti kristal dan swarovski yang dijahit pada leher dan dada baju memberikan impak glamor kepada si pemakainya," katanya.

  • Foto

    ILUSI MEWAH...padanan gaun beropol pada bahagian kain memberi gambaran ideologi pereka yang inginkan kelainan dalam rekaan.

  • Foto

    GAYA BERANI...Syaiful berani mengetengahkan rekaan moden menerusi gaun beropol kembang bertingkat pada bahagian bawah.

  • Foto

    MENYERLAH...rekaan gaun merah ditambah perhiasan tali pinggang besar bukan saja memberikan impak anggun kepada si pemakai malah kelainan gaya.

Syaiful memilih warna matahari petang seperti kuning keemasan, jingga, merah jambu dan merah pada fabrik seperti sifon, renda, tafetta dan net yang dialun cantik menjadi sepersalinan pakaian yang indah.

"Sengaja saya memilih warna ini yang jarang sekali dipakai, menandakan keagungan ciptaan Tuhan pada alam yang tiada tandingannya.

"Selain anggun, warna yang ada kaitannya dengan sumber alam memberi sentuhan kemewahan kepada si pemakai. Saya percaya warna ini akan mencetuskan gaya baru menjelang 2011," katanya.

Selain pakaian glamor yang tidak keterlaluan, label Baharim di bawah Innai turut menyediakan pakaian menerusi label Nuur Innai.


Syaiful Baharim selaku Pengarah Kreatif mengakui dia tidak hanya mahu dikenali sebagai pereka fesyen pakaian pengantin sebaliknya mahu menghasilkan rekaan pelbagai termasuk rekaan kasual dan busana Muslimah seiring dengan permintaan ramai.

"Fesyen berkembang seiring dengan peredaran semasa justeru demi mengikut permintaan pelanggan saya menyediakan pakaian mengikut cita rasa mereka.

"Apa yang penting rekaan Baharim tidak keterlaluan dan praktikal untuk pelbagai acara," ujar anak muda berkelulusan Ijazah Seni Reka Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini.

Menurut Syaiful, rekaannya tidak mengikut trend semasa, sebaliknya gaya fesyen terkini digunakan sebagai garis panduan dalam menghasilkan rekaan.

Lakarannya berdasarkan cetusan idea sendiri serta mengambil pengaruh daripada idola pereka antarabangsa McQueen yang mempunyai idea unik menerusi fabrik serta teknik digunakan.

Pereka ini turut membuat rujukan daripada Barat kerana fesyen mereka lebih terkini, moden dan versatil namun bersesuaian dengan iklim masyarakat di Malaysia.

Menjelang 2011, Syaiful berharap dapat memperkenal serta memperkembangkan lagi label Baharim bukan setakat di Malaysia malah luar negara di samping memberi tumpuan kepada label Innai dan Nuur Innai daripada segi rekaan yang berkualiti serta memenuhi cita rasa ramai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: