BERJAYA...Firman (depan) bersama ayahnya (kiri) dan pasukan pengiringnya ketika melakukan renangan.
KEMAMPUAN seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun berenang menyusuri Sungai Dinding sejauh 15 kilometer tanpa henti selama 10 jam 20 minit pada 19 Disember lalu dianggap setanding dengan kemampuan anggota elit Pasukan Khas Laut (Paskal) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Usia yang dianggap kanak-kanak bukan penghalang kepada Firman Hassanie Shariati Abdul Halim untuk membuktikan semangat Malaysia Boleh mengatasi segala ranjau dan halangan untuk berjaya.
Mengimbau kembali kenangan empat tahun lalu ketika masih di pangkuan ibu, kanak-kanak bersemangat kental itu sekadar menyaksikan abang dan kakaknya mencipta rekod buat negara apabila berjaya menyeberangi Selat Dinding.
Dia kemudian memasang tekad untuk mengikut jejak kakak dan abangnya.Firman adalah adik kepada Salman Ali Shariati dan Zahra Masoumah, dua beradik yang mencipta rekod perenang termuda merentasi Selat Dinding sejauh 8.9 kilometer dengan catatan masa 3 jam 40 minit pada 2006.
Firman memulakan renangan pada jam 9.15 pagi berhampiran pintu masuk TLDM, Lumut dan tiba semula ke tempat permulaannya pada jam 7.35 malam.
Berdasarkan kepada jadual asalnya, Firman sepatutnya berenang sejauh 13 kilometer bermula dari River Front di Lumut dan berakhir di Telaga Nenas.
Namun akibat cuaca buruk serta keadaan air surut dan arus bertentangan yang terlalu kuat, Firman terpaksa membuat pusingan U di Jambatan Raja Permaisuri Bainun sebelum berpatah balik ke tempat permulaan.
Namun, keupayaan Firman berenang menyusuri Sungai Dinding memadamkan rekod mereka, sekali gus membuktikan seorang lagi anak pasangan Dr Abdul Halim Abdul Manaf dan Hanizah Mohamed mempunyai ketahanan diri yang luar biasa.
Kejayaan dilakar kanak-kanak itu bukan mudah kerana di sebalik kesungguhan untuk memecahkan rekod milik abang dan kakaknya, dia pernah disengat obor-obor ketika menjalani latihan di Teluk Batik sehingga terpaksa dimasukkan ke wad kecemasan Hospital Manjung.
Bersandarkan semangat kental dan keinginan tinggi, kanak-kanak itu tetap bertekad untuk menempuhi cabaran sukar bagi individu pada usia itu untuk ‘menakluk’ Selat Dinding.
“Saya gembira dapat menamatkan renangan serta memadam rekod abang dan kakak, sekali gus membuktikan keupayaan selepas sekian lama berlatih.
“Saya hampir gagal menamatkan renangan kira-kira 10 kilometer selepas bermula apabila berdepan arus deras dan pusaran air yang menyebab-kan banyak tenaga digunakan dan saya keletihan.
“Namun atas dorongan ayah serta abang, saya terus bersemangat untuk meneruskan renangan dan akhirnya berjaya ke garisan penamat walaupun lokasinya terpaksa diubah pada saat akhir.
“Saya ingin menghadiahkan kejayaan ini kepada ibu bapa saya kerana dengan dorongan serta semangat mereka saya berjaya mengharungi segala keperitan dan kepayahan,” kata perenang cilik itu.
Bapa Firman, Dr Abdul Halim berkata, keupayaan anaknya dapat dilihatnya pada Januari tahun lalu selepas dia berjaya berenang dari Pangkalan TLDM, Lumut ke Jeti Awam Pulau Pangkor sejauh empat kilometer dengan catatan masa lima jam.
Menurutnya, Firman juga menjalani latihan hampir sebulan berenang mengelilingi Pantai Teluk Batik dengan jarak dua kilometer setiap pusingan. Manakala latihan stamina pula membabitkan berlari dan berbasikal.
Katanya, dia kini merangka latihan untuk mengetengahkan ketiga-tiga anaknya dalam misi projek rentas ‘5 Benua’ pada masa akan datang.
“Berikutan kejayaan dilakar Firman, saya bercadang menggabungkan ketiga-tiga anak iaitu Firman, Salman dan Zahra dalam Projek Ekspedisi Renangan Samudera Ekstrem Lima Benua (5XOE),” katanya.
Jelasnya dengan penuh semangat, misi pertama 5XOE membabitkan Salman dan Zahrah berjaya dilaksanakan Mac tahun lalu yang membabitkan jarak renangan 60 kilometer dari Tanjung Medang, Pulau Rupat, Indonesia ke pantai Batu Empat, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Katanya, misi selanjutnya ialah Selat Cooks, New Zealand; Selat Gibraltar (Sepanyol-Maghribi); Selat Inggeris dan Lautan Trans-Atlantik (Benua Amerika-Eropah).
“Selain latihan ketat, saya menjaga makan minum mereka serta memastikan Firman, Salman dan Zahra tidak mengambil minuman berkarbonat, menikmati makanan berzat, karbohidrat dan vitamin, selain mengamalkan madu dalam minuman harian,” katanya.
Mengulas mengenai hala tuju dan harapannya untuk melihat sejauh mana potensi Firman, Salman dan Zahra, Abdul Halim berkata, dia sentiasa memberi dorongan kepada semua anaknya.
Menurutnya, dia secara peribadi tidak ‘memperjudikan’ nasib anak, sebaliknya mereka sendiri bersemangat untuk menjadi atlit berbakat, khususnya dalam acara triathlon.
“Seperti Salman yang bercita-cita mewakili negara dalam acara triathlon di Sukan Olimpik, begitu juga Zahra dengan cita-citanya dalam acara renang jarak jauh,” kata Abdul Halim penuh bangga.
Bagi Zahra pula, dia kagum dengan kejayaan adiknya kerana mampu lakukan renangan dalam usia semuda itu, malah jaraknya lebih jauh daripada apa dicatatnya.
Menurutnya, kejayaan dan kemampuan Firman membanggakannya sekali pun rekodnya dipecahkan kerana dia tahu betapa sukar menghabiskan renangan jarak jauh seperti dilakukan adiknya pada usia sebegitu muda.
“Rancangan ayah untuk menggabungkan saya dan dua lagi adik adalah usaha yang dinantikan, tetapi persiapan rapi perlu dilakukan kerana kami bertiga mempunyai kelajuan berbeza.
“Buat masa ini, perancangan saya adalah merentasi Selat Cooks di New Zealand tetapi masih dalam proses mencari dana bagi menjayakan projek ini.
“Bukan mudah untuk menjayakan sesebuah projek, lebih-lebih lagi membabitkan jumlah wang yang besar,” katanya yang pernah cuba merentasi Selat Inggeris secara solo pada Julai 2009.
PROFIL
NAMA: Salman Ali Shariati Abdul Halim
UMUR: 14 tahun
LAHIR: 30 Mei 1997
PENDIDIKAN: Tingkatan dua di Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat, Ipoh, Perak
HOBI: Berenang dan bersukan
PENCAPAIAN: Merentasi Selat Melaka dari Pulau Langkawi ke Kuala Perlis (2007) dan berenang sejauh 60 kilometer dari Tanjung Medang, Indonesia ke Pantai Batu Empat, Port Dickson, Negeri Sembilan (2010)
NAMA: Zahra Masoumah Abdul Halim
UMUR: 19 tahun
LAHIR: 13 Disember 1991
PENDIDIKAN: Diploma Sains Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor
HOBI: Bersukan dan melukis
PENCAPAIAN: Merentasi Selat Melaka dari Pulau Langkawi ke Kuala Perlis (2007) dan berenang sejauh 60 kilometer dari Tanjung Medang, Indonesia ke Pantai Batu Empat, Port Dickson, Negeri Sembilan (2010)
NAMA: Firman Hassanie Shariati Abdul Halim
UMUR: 8 tahun
LAHIR: 24 Disember 2003
PENDIDIKAN: Tahun dua di Sekolah Kebangsaan Seri Ampang, Ipoh, Perak
HOBI: Berenang dan sukan triathlon
PENCAPAIAN: Berenang menyusuri Sungai Dinding sejauh 15 kilometer tanpa henti selama 10 jam 20 minit
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: