KUALA LUMPUR: Aktres Siti Saleha, 20, mengakui ramai peminat yang menggemari lakonannya sebagai wanita bertudung.
Justeru itu, dia sanggup menerima watak wanita bertudung untuk drama terbarunya, Ustaz Amirul di TV3 mulai 7 Januari ini, setiap Jumaat, pukul 9 malam.
Dia melakonkan watak Munirah, seorang gadis ayu yang bekerja untuk ayahnya. Dia dijodohkan dengan Ustaz Amirul yang lebih mencintai kekasihnya, Adawiya.
"Saya terima watak ini (bertudung) sebab respons yang bagus daripada peminat. Pada saya, bukan susah untuk memakai tudung kerana saya pernah bertudung semasa bersekolah dulu.
"Tetapi setelah berlakon watak ini, saya perlu bermain dengan perasaan," katanya yang turut melakonkan watak bertudung dalam drama Syurgamu Ramadan.
Pelakon yang telah menceburi bidang lakonan sejak dua tahun lalu ini akui sukar berlakon dalam drama Ustaz Amirul.
Bagaimanapun dia tetap menerima watak tersebut untuk lebih versatil dalam bidang lakonan.
Bercerita tentang perkembangan lain, Saleha bakal muncul dalam filem pertamanya Dendam Taming Sari.
Selain itu, pelakon drama 5 Jingga ini sedang melanjutkan pelajaran dalam Diploma Komunikasi Massa di Kolej Uniti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: