KUALA LUMPUR: Penyampai SuriaFM Dj Lin mengakui pengalaman hidup banyak mengajarnya menyelami perasaan dan berkongsi masalah cinta pendengar-pendengar segmen Suria Cinta di Suria FM.
Jelas Lin, dengan pengalaman tersebut juga dia mampu meletakkan dirinya dalam permasalahan yang dihadapi oleh pendengar.
“Alhamdulliah, kemungkinan apa yang Allah tentukan kepada saya menjadikannya sebagai pengalaman yang boleh saya kongsikan dan bagaimana untuk memahami perasaan orang lain.
“Dari kegagalan rumah tangga empat tahun lalu juga menjadikan saya lebih kuat menghadapi segala rintangan,” ujar ibu kepada dua cahaya mata ini.
Menurut Lin, dia kini hanya memberikan perhatian sepenuhnya dalam perkembangan kerjaya dan dua anaknya, Nureen Arisya, 10, dan Nazren Asyran, 8.
“Saya menyerahkan jodoh kepada Allah s.w.t, sekarang ini saya hanya fokus kepada kerjaya dan keluarga.
“Lagi pula segmen Suria Cinta sudah semakin mendapat perhatian, ramai yang beri maklum balas yang sangat memberangsangkan,” ujarnya ketika ditemui di Majlis sambutan hari lahir ke-35 anjuran kelab peminat Suria Cinta.
Bercerita tentang Suria Cinta, Lin memberitahu kelab peminat Fan Dj Lin Suria Cinta yang ditubuhkannya pada November lalu kini secara rasmi telah mempunyai lebih 40 orang peminat dari seluruh negeri.
“Saya tak sangka sambutan segmen Suria Cinta semakin mengalakkan sehinggakan ada yang menawarkan untuk tubuhkan kelab peminat.
“Bermula pada Ramadan lalu, mereka buat kejutan mengundang saya ke sebuah majlis. Dan di situlah bermula kelab ini yang kini secara rasmi mempunyai 40 pengikut,” katanya.
Tambah Lin, kebanyakan dari ahli kelab tersebut juga merupakan pendengar setia Suria Cinta.
“Kebanyakan mereka adalah pendengar segmen saya dan sering beri SMS dan panggilan untuk berkongsi cerita.
“Dengan tertubuhnya kelab ini kami semakin akrab, selepas ini banyak aktiviti yang akan dianjurkan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Lin turut menceritakan pengalaman mengendalikan segmen cinta tersebut. Katanya dia terpaksa mematikan lamu sepanjang ke udara bagi menghayati setiap kiriman SMS yang dibacanya.
“Saya terpaksa padam lampu ketika membaca SMS pendengar, bila padam lampu baru boleh dapat suasana romantik,” katanya.
Bagaimanapun, dia mengakui tidak dapat lari daripada gangguan-gangguan pendengar yang tidak bertanggungjawab.
“Semamangnya tidak dapat lari dari gangguan sebegini. Setiap malam ada sahaja yang beri SMS menganggu dan ingin berkenalan. Ada juga yang buat panggilan telefon.
“Namun begitu saya tidak menolak mereka begitu sebab mereka juga pendengar. Kita ada cara untuk menepis gangguan ini dengan cara yang baik, ibarat bagaikan menarik benang di dalam tepung,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: