Thursday, January 13, 2011
Pelakon nyaris rentung
Pelakon baru, Raffi Husin, 24, yang juga kekasih aktres Emma Akma mengalami kecederaan parah apabila terbakar dari bahagian pinggang hingga ke muka ketika menjalani salah satu babak sewaktu penggambaran filem Barajiwa arahan Osman Ali.
Menurut Emma, Raffi yang dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) ditempatkan di wad dan sudah keluar dari Unit Rawatan Rapi, pagi semalam.
Walau bagaimanapun, doktor masih memantau rapi perkembangan Raffi kerana khuatir tentang keadaan kotak suaranya yang mungkin cedera akibat kebakaran itu.
“Saya tidak pasti bagaimana kemalangan ini boleh berlaku. Saya menerima panggilan telefon daripada pihak produksi kira-kira jam 10 malam memaklumkan Raffi mengalami kemalangan di set dan sudah dibawa ke PPUM.
“Saya kemudian bergegas ke PPUM dan dimaklumkan oleh pengarah, Osman Ali dan pelakon seperti Bront, Fizz dan Diana Danielle tentang keadaan Raffi. Tetapi saya sendiri tidak pasti dan kurang faham bagaimana kebakaran itu boleh berlaku.
“Sebagai pelakon saya faham, kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa ketika penggambaran. Saya cuma berharap dia segera sembuh dan saya akan sentiasa berada di sisinya memandangkan dia tiada sesiapa di Kuala Lumpur,” jelas Emma kepada Sinar Harian.
Namun Emma berkata, dia risau tentang masa depan Raffi dalam industri seni memandangkan asetnya sebagai seorang pelakon telah terjejas teruk.
“Aset seorang pelakon adalah wajah dan tubuh badannya. Tetapi kedua-duanya telah terjejas. Jadi saya risau peluangnya sebagai pelakon turut terjejas. Walau bagaimanapun saya masih berharap dia akan dapat pulih sepenuhnya dan masih menunggu perkembangan daripada doktor,” katanya.
Menyentuh tentang hubungannya dengan jejaka yang berasal dari Sabah itu, Emma berkata, perkenalan mereka berlaku pada tahun lalu di pusat boling sebuah pusat beli-belah.
Setelah beberapa bulan berkenalan, hubungan mereka semakin rapat dan Emma senang dengan karakter yang ditunjukkan Raffi.
“Sebelum mengenalinya secara rapat, saya ada mendengar dari rakan-rakan tentang pelakon baru bernama Raffi Husin tapi saya ingat mereka bercerita tentang pelakon lama, Raffi juga namanya.
“Namun tidak lama kemudian dia menghampiri dan menegur saya. Bermula dari itu kami rapat dan saya senang dengan sikapnya.
“Walau bagaimanapun, saya kesal apabila ada pihak yang melabelkan saya sebagai perempuan tidak sedar diri dan membela 'anak ikan'. Raffi juga kurang senang dengan perkara itu. Bagi kami, kami hanya manusia biasa yang punya perasaan.
“Buat masa ini kami masih belum merancang untuk berkahwin. Biarlah masa yang menentukan, lagipun kami masih baru lagi berkawan rapat,” jelas Emma.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: