![]() |
| NURUL (tudung merah) disebelah kanan Syahirah dan Amirah bersama sebahagian artis dan selebriti yang hadir pada majlis pembukaan butik Mimpi Kita di Bangsar, baru-baru ini. |
TIGA beradik Nurul, 29, Amirah, 27, dan Syahira Zulkifli, 24, berkongsi minat, impian dan cita-cita. Matlamat tersebut diterjemahkan dalam butik pakaian dan aksesori wanita yang diberi nama Mimpi Kita.
Ia umpama mimpi indah ketiga-tiga mereka memang berbakat dalam bidang fesyen.
Anak kedua, ketiga dan bongsu dari empat beradik itu berkata, minat bercambah sejak dari kecil dan bertukar menjadi satu agenda serius mereka apabila menerima galakan daripada ibu bapa tercinta.
"Ibu kami, Rabiah Sulaiman memang seorang yang berbakat dalam fesyen. Dia juga mempunyai butik pengantinnya sendiri yang diberi nama Bunga Citra.
"Kami tiga beradik perempuan memang rapat dengan ibu dan sering memerhatikan ibu mengusahakan butiknya. Ayah dan abang kami pula berkhidmat dalam bidang seni bina arkitek, lalu minat tersebut bercambah sejak kecil lagi.
"Kemahiran kami mereka fesyen pakaian membuatkan ibu dan ayah yakin akan kemampuan kami dalam bidang ini lalu wujudlah butik Mimpi Kita ini," jelas Amirah yang ditemui selepas pelancaran butik mereka baru-baru ini.
Butik yang terletak di Jalan Telawi 2, Bangsar itu menempatkan koleksi rekaan mereka yang telah dimulakan sejak Mei 2008. Ketika itu mereka berniaga hanya dalam talian.
"Semuanya berubah apabila kami mengambil langkah drastik pada 1 Disember tahun yang sama dengan membuka sebuah butik di Dataran Sunway.
"Dari situ kami mengumpul modal, mencipta jenama yang akhirnya mendapat tempat di hati peminat.
"Akhirnya kami memutuskan untuk membuka butik di Bangsar bermula 1 Januari lalu.
"Kami amat bersyukur perniagaan ini semakin berkembang dari hari ke hari," tambah Nurul yang bertindak selaku Pengarah Urusan Mimpi Kita.
Walaupun masing-masing mempunyai latar belakang pendidikan berbeza dari bidang fesyen ia tidak menghalang mereka meneruskan perniagaan dalam bidang berkenaan.
Nurul berkelulusan sarjana dalam bidang kejuruteraan elektrik dari Universiti Multimedia (MMU), manakala Amirah pula yang bertindak selaku pengurus akaun adalah pemegang ijazah dalam bidang perniagaan antarabangsa juga di MMU.
Manakala Syahirah pula mempunyai ijazah dalam bidang ekonomi antarabangsa juga dari universiti yang sama.
Masing-masing mempunyai kekuatan untuk membawa Mimpi Kita ke persada yang lebih tinggi.
Nurul tidak menafikan, sebelum ini pelanggan Mimpi Kita agak terhad kepada golongan tertentu sahaja.
Justeru, dengan pembukaan butik di Bangsar mereka berharap fesyen yang direka akan dapat sampai kepada
lebih ramai peringkat golongan dan usia.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: