KAGUM dengan konsep 1Malaysia yang disemarakkan di negara ini, ia telah menjadi inspirasi bagi seorang jurugambar kelahiran Belgium, Walter Francois dalam melahirkan karya terbarunya bertajuk Malaysia, Walter’s Second Home.
Walter Francois, 63, yang berasal dari bandar Ghent, Belgium suka mengembara ke serata dunia terutama ke rantau Asia Tenggara. Bagaikan satu kewajipan, dalam setiap perjalanannya, pasti dia akan merakam gambar menggunakan kamera yang menjadi teman akrabnya.
Sejak tahun 1979, Walter telah mengunjungi negara ini sebanyak 59 kali. Cintanya terhadap Malaysia memuncak melalui penerbitan buku pertamanya iaitu Malaysia yang telah berjaya dipasarkan sebanyak 3,300 naskhah di seluruh dunia.
Berikutan kejayaan karya pertamanya, Walter terus berminat dengan warna-warni negara ini lantas meneruskan siri penghargaannya melalui buku keduanya bertajuk Langkawi, Island of Mysterious Legends dan buku ketiganya, Selangor.
Walter menyedari Malaysia tidak begitu di Barat lalu terdetik dihatinya untuk menghasilkan buku-buku yang memperkenalkan Malaysia bagi dilihat oleh teman-temannya sebagai salah satu catatan perjalanannya yang menyeronokkan.
“Kenapa sering datang ke Malaysia, adakah kamu sedang bercinta di sana?” ujar Walter di dalam pelat bahasa Melayu ketika berucap pada majlis pelancaran bukunya mengulangi soalan isterinya yang curiga dia sering kali berulang-alik ke Malaysia.
Tambahnya, dia menjawab kepada isterinya dengan jawapan ‘ya’
“Saya telah jatuh cinta kepada Malaysia dan sebab itulah saya selalu berkunjung ke sini. Saya telah menganggap Malaysia sebagai rumah kedua saya dan saya sangat sukakannya,” terang Walter dalam bahasa Melayu lantas menerima tepukan gemuruh daripada semua tetamu yang kagum dan tercuit hati semasa pelancaran buku Malaysia, Walter’s Second Home.
“Tema 1Malaysia menjadi pilihan saya kerana ia telah menjadi titik permulaan dalam perjalanan menghasilkan karya terbaru itu. Sememangnya semangat kerjasama yang erat menjadikan rakyat negara ini hidup dalam suasana aman dan harmoni,” katanya.
Lebih bermakna bagi Walter apabila mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sudi melancarkan dan menandatangani buku setebal 256 halaman tersebut.
Buku itu memaparkan sebanyak 224 keping foto menakjubkan yang merangkumi suasana dan panorama kehidupan di 13 buah negeri dan tiga Wilayah Persekutuan di Malaysia.
“Besar harapan kita untuk melihat negara ini menjadi terkenal dalam kalangan orang Eropah dan usaha yang dilakukan oleh seorang bangsa asing bagi mempromosikan negara ini adalah sangat-sangat dikagumi,” kata Mahathir dalam ucapannya.
Kata beliau lagi, walaupun buku bergambar itu mengandungi teks yang minimum, Walter berjaya menggabungkan kelapan-lapan nilai 1Malaysia iaitu ketabahan, penerimaan, pendidikan, integriti, meritokrasi, kerendahan hati, kesetiaan dan budaya kecemerlangan dengan sempurna.
Langkah itu, menurut Mahathir, boleh diperlihatkan dalam cubaannya untuk mengabungkan kepelbagaian dan keunikan Malaysia.
Mereka yang berminat boleh mendapatkan naskhah buku terbaru itu di pasaran pada harga RM190. Orang ramai juga boleh membeli secara dalam talian menerusi laman web www.walterfrancois.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: