BEIRUT - Lebanon sekali lagi berdepan krisis getir yang boleh mencetuskan huru-hara dalam negara selepas kumpulan Hezbollah menjadi punca pemerintahan sedia ada tumbang, kata beberapa penganalisis.
"Kita di ambang ketidakstabilan politik yang bakal berlarutan kerana masa hingga berbulan-bulan diperlukan bagi membentuk sebuah pentadbiran baru di Lebanon," kata seorang penganalisis politik Asia Barat, Paul Salem.
"Saya tidak fikir Hezbollah akan mengambil tindakan ketenteraan di Beirut, tetapi kita bakal berdepan dengan huru-hara jalanan yang berisiko menjadi tidak terkawal (akibat tindakan Hezbollah)," tambahnya.
Dalam satu tindakan bersama, seramai 11 menteri Hezbollah meletak jawatan daripada pentadbiran Perdana Menteri, Saad Hariri kelmarin sekali gus memenuhi syarat minimum untuk memaksa kabinet Lebanon dibubarkan secara automatik.
Tindakan itu susulan tentangan Hezbollah terhadap Tribunal Khas Bagi Lebanon (STL) yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Tribunal itu dilaporkan bersedia untuk mendakwa beberapa pegawai tinggi Hezbollah berhubung pembunuhan bekas Perdana Menteri Lebanon, Rafiq Hariri, pada 2005.
Hezbollah sebelum ini memberi amaran bahawa sebarang pendakwaan terhadap pegawai-pegawainya akan mendatangkan akibat buruk di Lebanon.
Kumpulan itu turut memberi tekanan ke atas pentadbiran Saad yang pro-Barat supaya membatalkan STL kerana ia didakwa sebagai komplot jahat Israel-Amerika Syarikat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: