
COLGATE-Palmolive Marketing Sdn. Bhd. (Colgate), jenama penjagaan gigi terkemuka telah membuka lembaran tahun baru dengan mengadakan kempen sekolah Colgate Bright Smiles, Bright Futures 2011 dengan meraikan kanak-kanak kurang bernasib baik di pasar raya besar Giant Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Kempen tersebut merupakan satu inisiatif yang bersifat pendidikan dan dilaksanakan di lebih 40 buah negara. Misinya mudah, iaitu untuk mengajar kanak-kanak mengenai cara-cara memberus gigi dengan betul.
Program tersebut telah mengajar 23 juta orang kanak-kanak menggunakan lebih 30 bahasa setiap tahun.
"Tujuan utama program ini adalah untuk menyedarkan kanak-kanak mengenai kepentingan penjagaan kesihatan gigi.
"Buat masa ini, program Colgate's Bright Smiles, Bright Futures melibatkan semua sekolah rendah di seluruh Malaysia dan ini bermakna kami memberikan peluang kanak-kanak di sekolah membesar dengan gigi yang sihat demi masa depan yang cerah," kata Pengarah Urusan Colgate, Issam Bachaalani.
Di Malaysia, Colgate menyokong program penjagaan kesihatan gigi di sekolah-sekolah rendah sejak tahun 1960.
Malah, program tersebut telah memasuki lebih 7,500 buah sekolah setahun melibatkan 630,000 orang kanak-kanak sekolah seluruh Malaysia sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 1994.
Dalam program yang berlangsung di Kota Damansara itu, seramai 26 orang kanak-kanak yang sebahagiannya ditemani ibu bapa dijemput khas dari Projek Perumahan Awam Sri Pahang. Mereka dibawa oleh wakil daripada Pertubuhan Rumah Kuning Kuala Lumpur dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Kanak-kanak sangat teruja sebaik sahaja berpeluang berjumpa dengan maskot kesihatan gigi, Dr. Brushwell yang membawa kanak-kanak melawat pameran dan melakukan permainan yang berkonsepkan pembelajaran.
Selain itu, mereka dapat mempelajari mengenai kebaikan penjagaan kesihatan gigi bersama pakar, menonton video, melakukan demonstrasi memberus gigi dan aktiviti mewarna.
Menurut Presiden Pertubuhan Rumah Kuning Kuala Lumpur, Law Gin Kye, penglibatan kanak-kanak dan ibu bapa dalam program tersebut merupakan projek perintis oleh JKM bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyatukan keluarga-keluarga miskin di dalam komuniti rangkaian sosial.
"Bagi kanak-kanak ini, keluar bersiar-siar merupakan satu perkara yang menyeronokkan kerana tidak banyak organisasi mengadakan program di luar kawasan golongan sasaran.
"Program ini bagus kerana ia mendidik kanak-kanak pada awal usia dan ia penting kepada ibu tunggal yang kurang meluangkan masa bersama anak mereka," katanya.
Selepas menghabiskan masa mempelajari mengenai kesihatan penjagaan gigi, mereka kemudian dibawa membeli-belah di Giant dengan menggunakan baucar bernilai RM100 untuk membeli peralatan keperluan sekolah. Mereka juga menerima hadiah beg sumbangan Colgate dan kemudiannya dibawa menjamu selera di restoran makanan segera, Kentucky Fried Chicken.
Aktiviti Colgate Bright Smiles, Bright Futures yang turut dibuka kepada orang awam sepanjang hujung minggu, mengajar kanak-kanak dan ibu bapa mengenai kepentingan mengekalkan penjagaan kesihatan gigi untuk jangka masa panjang.

"Giant berbangga bekerjasama dengan Colgate-Palmolive dalam kempen ini untuk mendidik minda kanak-kanak tentang kebersihan gigi," kata Pengarah Pemasaran GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd., Ho Mun Hao.
Menurut doktor gigi, rejimen penjagaan gigi adalah penting kerana ia merupakan sebahagian daripada kesihatan kanak-kanak.
Oleh itu, ibu bapa perlu mendidik anak-anak mengenai garis panduan kebersihan seperti memberus dan flos gigi serta berjumpa dengan doktor gigi setiap enam bulan.
"Kami di Colgate sangat teruja apabila program ini berjaya merealisasikan komitmen kami untuk berkhidmat kepada masyarakat," kata Bachaalani.
Sepanjang bulan Januari ini, Colgate akan menawarkan pek promosi kembali ke sekolah sejajar dengan program Bright Smiles, Bright Futures bagi menggalakkan ibu bapa mendorong anak-anak mereka mempelajari tabiat memberus gigi yang betul.
Pek promosi tersebut mengandungi tiub 250 gram Colgate Perlindungan Kaviti Maksimum bersama pek 100 gram secara percuma.
Program Bright Smiles, Bright Futures yang akan datang bakal berlangsung di Tesco Extra Selayang pada 29 dan 30 Januari.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: