
ANDA mempunyai band dan mahu beraksi di luar negara tetapi tiada peluang berbuat demikian. Ini satu berita baik buat anda kerana Hard Rock International memberi laluan kepada band-band tempatan memenangi peluang untuk membuat persembahan di Hard Rock Calling 2011, Hyde Park, London.
Hard Rock Calling 2011 merupakan salah satu festival yang dinanti-nantikan di arena dunia muzik.
Antara artis yang pernah membuat persembahan di festival tersebut ialah Pearl Jam, Paul McCartney, The Who, The Police, Aerosmith, Eric Clapton, Bruce Springsteen, The Killers dan Peter Gabriel.
Hard Rock menganjurkan pertandingan Battle of The Bands secara global sempena sambutan ulang tahun Hard Rock yang ke-40 tahun ini.
Tahun ini juga adalah tahun ke-20 bagi Hard Rock Kuala Lumpur.
Hard Rock Cafe Kuala Lumpur memulakan pencarian bakat-bakat untuk tampil di pusingan pertama pertandingan tersebut. Setiap band akan bersaing dengan satu panel juri selebriti tempatan dan profesional yang akan menilai persembahan mereka.
Para juri diketuai Pengurus Besar Persatuan Industri Muzik Malaysia, Jennifer Thompson yang mempunyai pengalaman dalam arena industri muzik selama 26 tahun.
Pemenang Battle of The Bands di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur akan ditempatkan di salah satu dari empat wilayah dunia. Mereka akan diadili oleh satu panel ahli industri muzik antarabangsa yang terkemuka.
Untuk peringkat akhir band akan diketengahkan di laman web Hard Rock Cafe iaitu www.hardrock.com
Para peminat di seluruh dunia akan diberi pilihan untuk mengundi band kegemaran mereka bagi setiap kawasan.

Keempat-empat pemenang dari setiap kawasan akan diterbangkan khas ke London dengan layanan bak bintang rock. Mereka diberi peluang untuk beraksi di Hard Rock Calling 2011 di Hyde Park, London yang akan berlangsung dari 24 Jun sehingga 26 Jun 2011.
Bagi band yang menerima paling banyak undian mereka akan membuat persembahan di pentas utama, manakala ketiga-tiga band yang lain akan membuat persembahan di pentas kedua di festival Hard Rock Calling 2011.
Untuk memasuki pertandingan Battle of The Bands, mereka yang berminat dikehendaki memainkan muzik original, berusia 18 tahun ke atas dan setiap band harus mempunyai dua sehingga lima ahli.
Kepada mereka yang ingin memasuki pertandingan itu, sila hubungi Hard Rock Cafe Kuala Lumpur di talian 03-2715 5555 untuk pendaftaran.
Anda juga boleh melayari laman web www.hardrock.com/battleofbands
Sila serahkan borang pendaftaran rasmi yang disertakan dengan dua buah lagu original ciptaan dan nyanyian band anda dalam format cakera padat audio ataupun MP3 kepada Hard Rock Cafe Kuala Lumpur sebelum atau pada 6 Februari 2011.
Pertandingan itu tidak dikenakan sebarang bayaran penyertaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: