![]() |
| Nor Haniza A. Ghafar dengan pelbagai hamper untuk Tahun Baru Cina. |
PEMBERIAN cenderahati di kalangan masyarakat hari ini bukanlah satu perkara baru malah ia telah diamalkan sejak dahulu.
Dahulunya, buah tangan ini diberi ketika mengunjungi saudara-mara atau sahabat handai tetapi kini ia seakan-akan menjadi trend di kalangan masyarakat untuk memberinya pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Hari Krismas.
Kiriman buah tangan atau cenderahati berbentuk hamper eksklusif semakin menjadi pilihan malah reka bentuk hamper dan kandungan yang dikirimkan itu turut berubah mengikut arus semasa.
Bagi pengusaha Kedah Hampers, Gifts N' Such, Nor Haniza A. Ghafar, 37, selain menghasilkan hamper yang kreatif dan menarik, pihaknya turut memberi tumpuan kepada isi di dalam hamper.
''Hamper yang disediakan di pasar-pasar raya memang banyak dan cantik-cantik tetapi jika dilihat daripada isinya mungkin kurang sesuai jika ia diberikan terutamanya kepada masyarakat Melayu.
''Oleh yang demikian, saya mengambil inisiatif untuk menghasilkan hamper Tahun Baru Cina di mana isinya merupakan produk-produk makanan yang halal.
''Saya juga membuat kajian terlebih dahulu sebelum hamper dihasilkan kerana masyarakat Cina seperti umum ketahui mereka mempunyai banyak pantang larang dan yang pasti mereka sukakan warna merah, melambangkan tuah,'' ujar anak kelahiran Muar, Johor itu.
Bagaimanapun jelas Nur Haniza, selain menjual hamper-hamper yang sedia ada seperti Fortune 1 (RM180), Fortune 2 (RM120), Fortune 3 (RM80) dan Fortune 5 (RM80), beliau turut menyediakan hamper berdasarkan bajet para pelanggannya.
Menghasilkan sendiri kesemua hamper yang dijual, Nur Haniza yang sememangnya meminati bidang kreatif ini bukan sahaja mengambil tempahan sekitar Kedah dan Perlis malah hingga kini pelanggannya meliputi seluruh Malaysia.
Bagi ibu kepada empat cahaya mata itu, perniagaan yang asalnya diusahakan melalui laman web akhirnya telah dikembangkan melalui kedai sendiri yang terletak di No. 2, Tingkat 2, Taman Bandar Baru Mergong, 05150, Alor Setar, Kedah.
Untuk mengekalkan kualiti hamper-hamper jualannya, Nur Haniza hanya membekalkan barangan makanan yang segar dan tahan lama seperti tat nanas, biskut oat coklat, kek buah, kacang, mangga dan jambu kering, kismis serta jus epal.
''Kesemua produk makanan saya memperolehnya di pasaran tempatan manakala bekasnya seperti bakul lazimnya ia diimport dari negara luar," katanya.
Nur Haniza mengalu-alukan sesiapa yang ingin menempah hamper Kedah Hampers, Gifts N' Such boleh menghubunginya di talian 019-3371514 atau melayari laman web kedahhampergiftnsuch.blogspot.com.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: