DI tepi jalan di Houston Street, Columbus, Ohio, Amerika Syarikat (AS), kelihatan seorang lelaki dalam persalinan jaket trenc berceloreng. Penampilannya tidak terurus. Rambutnya yang kerinting dan beruban dibiarkan tanpa disisir rapi. Sambil berdiri pengemis itu memegang cebisan kotak yang tertera ayat-ayat yang menyatakan dirinya adalah bekas juruhebah radio.
Malangnya, kehadiran lelaki itu kurang mendapat perhatian orang ramai yang lalu lalang di situ. Barangkali mereka berpendapat mana mungkin seorang bekas juruhebah sanggup tampil sedemikian rupa apatah lagi mengemis bantuan kewangan.
Tindakan seorang jurugambar akhbar Columbus Dispatch, merakam gelagat pengemis yang bernama Ted Williams, 54, bercakap menggunakan suara emasnya dan beraksi seperti deejay radio telah mencipta fenomena di AS, hari ini.
Buktinya, sebaik sahaja jurugambar memuat naik rakaman itu ke laman web YouTube ia telah menarik minat seramai 6,725,967 penonton. Rata-rata penonton yang menonton video tersebut mengakui Williams memiliki suara emas yang mengagumkan.
Secara tidak langsung telah mendorong salah seorang ejen pencari bakat, Shane Cormier, melahirkan keinginan membantu Williams kerana berpendapat lelaki itu berpeluang menjadi jutawan kerana keunikan suaranya.
“Memiliki suara seperti ini memberi banyak kelebihan kerana saya berpeluang menceburkan diri dalam bidang lakonan, nyanyian dan pengacaraan. Namun, malangnya saya mensia-siakan bakat yang dimiliki disebabkan dadah dan alkohol.
“Saya kesal dengan tindakan bodoh ini. Selain karier, saya juga kehilangan ahli keluarga dan tempat tinggal. Kehidupan menjadi tidak menentu dan terumbang-ambing,” luah Williams dalam satu temu bual mengenai kisah hitamnya yang telah memusnahkan kebahagiaan hidupnya.
Williams mula tinggal di jalanan pada tahun 1993 selepas kehidupannya musnah akibat penyalahgunaan dadah dan alkohol. Malah, pada detik pertemuan bersama jurugambar itu dia menjalani kehidupan di dalam sebuah khemah di tepi lebuh raya di Columbus.
Sebelum popular disebabkan klip video selama 90 saat di Twitter dan YouTube, Williams pernah ditahan di beberapa buah lokap di Ohio atas dakwaan jenayah seperti mencuri dan memiliki dadah.
Impian bergelar deejay
Selain itu menerusi wawancara bersama rancangan televisyen Today, Williams mendedahkan bahawa dia pernah terlibat dalam jenayah kerana ketagihan dadahnya.
Lebih menyedihkan, apabila Williams gagal bergelar sebagai juruhebah radio dalam tempoh yang lama kerana dibuang kerja disebabkan masalah tersebut.
“Sejak berumur 14 tahun, saya memasang impian untuk bergelar penyampai radio kerana melihat karier ini mempunyai daya tarikan dan keistimewaan tersendiri. Sebab itu saya tidak melepaskan peluang bertugas di stesen radio WVKO (AM) di Columbus, biarpun pada syif malam. Pada waktu itu, stesen berkenaan hanya memutarkan himpunan lagu-lagu berentak soul,” ujar bapa kepada sembilan cahaya mata itu.
Sehubungan itu, enggan membiarkan dirinya terus musnah, Williams nekad untuk berubah. Kini sudah dua tahun dia berjaya meninggalkan tabiat pengambilan dadah dan alkohol.
Kini Williams dapat tersenyum bangga. Jika sebelum ini dia mengemis untuk menagih simpati orang ramai, tetapi pada hari ini suara emasnya pula ditagih pelbagai pihak. Lembaran tahun 2011 memberi seribu makna buat Williams. Pada 7 Januari lalu secara rasmi dia menjadi suara latar untuk rangkaian MSNBC.
Terbaru, media antarabangsa melaporkan Williams sedang mempertimbangkan tawaran untuk menjadi penyumbang suara bagi program informasi perkembangan pasukan bola keranjang Cleveland Cavaliers dalam liga Bola Keranjang Nasional (NBA).
“Sukar dilafazkan dengan kata-kata. Bersyukur kerana Tuhan masih menyayangi saya. Kini kehidupan saya semakin baik dan saya akan menghargainya,” ujar Williams kepada AGEagensi berita AP.
Williams juga menjadi pilihan syarikat Kraft Macaroni & Cheese yang menggunakan suara emasnya untuk iklan-iklan produk syarikat tersebut.
Menurut Pengurus jenama Kraft Macaroni & Cheese, Noelle O’Mara, mereka dalam proses merangka pelbagai iklan mempromosi produk Kraft & Cheese menggunakan suara Williams yang unik itu.
“Suara Williams cukup istimewa dan dia bijak bermain dengan intonasi yang baik sepanjang pembikinan iklan. Kreativitinya memberi elemen segar pada iklan-iklan kami dan secara tidak langsung membersih dan menaikkan namanya semula.
“Individu yang berbakat seperti Williams harus diberi peluang untuknya membaiki diri. Lagipun semua orang mempunyai kisah tersendiri,” tambah Noelle O’Mara.
Tawaran berlakon filem
Anak kelahiran Bedford Stuyvesant, Brooklyn, New York, AS itu juga ditawarkan berlakon dalam filem terbitan pelakon dan pengarah terkenal, Jack Nicholson.
Williams turut teruja apabila banyak pihak memberi perhatian terhadapnya semasa dia muncul dalam program Today terbitan stesen televisyen NBC itu di New York.
“Ia merupakan satu fenomena dan saya tidak pernah membayangkan semua perkara ini akan berlaku. Saya rasa seperti Susan Boyle,” katanya yang dipetik daripada akhbar Columbus Dispatch.
Sama seperti Williams, Susan Boyle yang dicungkil bakatnya menerusi rancangan Britain's Got Talent antara individu yang menangkap perhatian ramai menerusi suara emasnya. Pertama kali berdiri di atas pentas kehadiran Boyle langsung tidak dipedulikan kerana memiliki tubuh yang gempal, berusia dan rambut tidak terurus.
Malah, segelintir blogger sanggup menyifatkan rupanya ketika itu seperti kodok. Namun sebaik saja dia membuka mulut mendendangkan lagu I Dreamed a Dream daripada muzikal Les Misérables, para penonton tergamam. Suaranya cukup merdu.
Pengkritik-pengkritik rancangan itu termasuk Simon Cowell yang terkenal dengan mulut celupar dalam kritikannya turut terkejut apabila mendengar suara Boyle.
Ramai yang tidak menyangka berbekalkan suara yang lunak telah membantu menaikkan taraf hidup Boyle daripada seorang penganggur dan sukarelawan amal kini menjadi selebriti popular di seluruh dunia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: