Sunday, January 23, 2011

Bagai kain buruk

- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

APALAH nasib seorang suami apabila isteri yang dikahwini atas dasar cinta bersikap ala samseng apabila sering mengungkapkan perkataan sumpah seranah seperti babi, bodoh, tolol, pergi jahanam dan pergi mampus terhadap suaminya. Bukan saja suami, keluarga suami turut menerima nasib sama.

Lebih 10 kali juga isterinya meminta cerai selepas memulakan pergaduhan dengan alasan si suami lambat mengangkat panggilan telefon dan membalas khidmat pesanan ringkas (SMS) dihantarnya.

Atas alasan lambat mengangkat telefon dan membalas SMS itu juga, barangan peribadi termasuk hak milik syarikat tempat si suami bekerja, dirosakkan si isteri.

Paling memilukan si suami, pernah satu ketika isterinya mengejutkannya daripada tidur menggunakan kaki. Ikuti luahan Razman, 30, mengenai kisah dukanya memperisterikan ‘wanita samseng’ sebagai pengajaran kepada masyarakat.Bagi membuktikan dakwaannya, Razman menghubungi beberapa ahli keluarga, rakan dan jiran supaya wartawan mengetahui sendiri kebenaran kisahnya.


“Mahligai perkahwinan kami dibina atas dasar suka sama suka. Lima tahun berkenalan membuatkan saya mengimpikan hidup bahagia dengannya. Sepanjang berkenalan hinggalah bertunang dalam tempoh itu, memang ada pergaduhan dan beberapa kali saya dimakinya, namun dia (isteri) meminta maaf dan berjanji untuk berubah.

Saya terima dia dengan hati terbuka dengan harapan dia berubah. Namun selepas bergelar suami isteri, dugaan demi dugaan menimpa saya. Hari bersanding dia sudah buat hal.

Saya dan keluarga tiba lewat sedikitpun dia menengking. Rakan saya datang dari jauh mahu mengambil gambar bersama pun dia naik angin sambil berlalu dengan jelingan benci. Malu saya dengan rakan yang hadir.

Selepas sebulan hidup bersama, saya lihat perangainya semakin menjadi-jadi. Jika saya lambat mengangkat telefon atau membalas SMS, dia mengamuk. Bukan mengamuk biasa, tetapi sampai minta cerai.

Walhal, saya bukan tidak menjawab panggilan atau SMS dihantarnya, tetapi lambat jawab kerana ketika itu bermesyuarat atau berbincang dengan majikan.

Dia tuduh saya lambat jawab telefon atau SMS sebab ada perempuan lain. Atas sebab itu dia minta cerai. Ikutkan hati saya nak ceraikan saja, tetapi saya masih waras dan sayangkannya.

Saya buat tak tahu saja dan keluar rumah seketika bagi meredakan keadaan. Apabila pulang, saya pujuk dan sejukkan hatinya, OK lah dia sikit. Namun, perangai samsengnya tak berubah.

Kalau marah, habis disumpah seranahnya saya. Perkataan seperti babi, bodoh, tolol, pergi jahanam dan pergi mampus sentiasa diungkapkan kepada saya. Tak puas sumpah seranah menerusi mulut, dia SMS kepada saya.

Bukan saja kepada saya, tetapi juga adik-beradik dan beberapa rakan saya. Malu saya dibuatnya. Antara SMS mengatakan saya jantan tak guna, menyesal kahwin dengan saya, jangan ingat anak dalam kandungan akan menjadi milik saya dan pergi jahanam.

Saya cuba mengambil pendekatan tegas dengan menegur perbuatannya. Apabila ditegur, dia sesuka hati keluar rumah. Pernah sekali dia hilang empat hari, katanya pergi kerja, tetapi rupa-rupanya balik kampung tanpa pengetahuan saya.

Risaunya saya ketika itu hanya Allah SWT yang tahu. Saya risau sebab dia mengandung. Selepas itu baru saya sedar, ibu dan ayahnya kerap masuk campur dengan hal rumah tangganya. Saya menemui SMS daripada ibu mentua di dalam telefon bimbit isteri.

Mentua ‘mengajar’nya supaya meletakkan ‘air penawar’ di dalam makanan atau minuman saya supaya saya tunduk dengan isteri.

Lebih menyedihkan saya, satu lagi SMS ditulis ibunya menuduh saya mencuri barangan isteri untuk dibuat ‘guna-guna’ supaya isteri tunduk kepada saya.

Isteri saya bukan saja memusuhi saya tetapi keluarga saya. Sepanjang bergelar isteri kepada saya, dia tidak pernah berkunjung ke rumah mentuanya. Pernah satu ketika ketika abang saya datang ke rumah saya, isteri memaki abang saya, antaranya dengan perkataan ‘kepala mak kau aku pijak’.

Saya tidak tahu kenapa isteri membenci keluarga saya, padahal keluarga saya tidak mencampuri urusan kami. Memang abang ada beri nasihat, tetapi sekadar nasihat dan isteri tak boleh terima.

Dalam tempoh hampir setahun perkahwinan, lebih 10 kali isteri meminta cerai dengan alasan remeh, tetapi saya bersabar. Saya pernah membawanya berjumpa kaunselor, tetapi selepas tamat sesi kaunseling, saya dijadikan tempat meluahkan kemarahan.

Habis ustaz yang memberi kaunselor itu dimakinya. Dia kata ustaz bodoh dan tak layak beri kaunseling. Saya pelawanya bertemu kaunselor sekali lagi, tetapi dia dengan tegas tidak mahu lagi mendapatkan kaunseling.

Sikap samseng isteri bertambah buruk apabila pernah satu ketika dia menggunakan kaki untuk mengejutkan saya daripada tidur. Dua kali dia tolak badan saya dengan kaki saya diam, masuk kali ketiga saya tepis kakinya dan memarahinya.

Pernah juga kerana saya lewat menjawab panggilan telefon dan SMSnya, komputer riba syarikat yang saya gunakan dihempas sampai hancur. Dia SMS kepada saya: “Hahaha... aku dah pecahkan notebook (komputer riba) kau.”

Paling mengecewakan saya, isteri pulang ke kampungnya untuk bersalin dan saya hanya diberitahu ketika isteri hampir bersalin. Kelam kabut jadinya apabila saya terpaksa tergesa-gesa pulang ke kampung isteri.

Saya datang bersama abang kerana saya minta pertolongannya untuk bergilir-gilir memandu. Apabila isteri melahirkan anak kami, saya mahu mengazankannya, tetapi mentua seperti tidak membenarkannya.

Namun saya buat juga kerana bayi itu anak saya. Sedih saya dibuatnya apabila ibu mentua sengaja menunjukkan arah kiblat yang salah ketika saya mahu mengazankan anak saya.

Seperti menidakkan zuriat saya kepada bayi itu, selepas saya mengazankan anak saya, dengan segera ayah mentua mengazankannya dengan kedudukan kiblat yang betul.

Dalam keadaan selepas bersalin, isteri sekali lagi buat hal apabila menghantar SMS memaki hamun saya kerana membawa bersama abang saya, walhal abang saya tunggu di luar saja. Saya dan keluarga saya dikatakannya sial... ibu bapa saya dikatakannya bodoh dan keluarga saya lebih teruk daripada kafir.

Saya terus diketepikan isteri dan keluarganya. Saya tidak dialu-alukan bersama isteri. Ketika mendapat tahu anak saya ditempatkan di wad kerana demam kuning selepas pihak hospital menghubungi saya, cubaan saya untuk menghubungi isteri tidak berjaya.

Telefon tidak diangkat, SMS tidak dibalas selepas beberapa hari. Satu ketika isteri membalas SMS, tetapi bukan memberitahu mengenai keadaan anak saya tetapi meminta memasukkan sejumlah wang ke dalam akaunnya.

Bercerita mengenai wang, isteri kini menuntut wang daripada saya yang dikatakan sebagai hutang perkahwinan satu ketika dulu.

Walhal, ketika memberi wang berkenaan, kami berjanji ia adalah wang bersama, tetapi atas rasa tanggungjawab saya cuba juga membayarnya semula sedikit demi sedikit.

Soal saya terpaksa menggunakan wangnya adalah atas kehendaknya. Saya merancang dan menyediakan untuk membuat kenduri kecil-kecilan di sebelah keluarga saya, tetapi dia mahu buat kenduri besar.

Saya tidak mahu kerana tidak cukup wang, tetapi dia memberi wangnya untuk merealisasikan kenduri yang diimpikannya. Saya akur, tetapi sekarang dia mula mengungkitnya semula.

Hampir setahun berumah tangga, saya sudah memikirkan sedalam-dalamnya untuk berpisah dengan isteri. Apa guna saya terus bersabar kerana isteri terus membuat dan melayan saya seperti ‘kain buruk’.


KERANA kecewa, Razman berkesempatan menghasilkan coretan khas buat isterinya:

Abang sayangkan sayang
Walaupun sayang SMS kat member-member ofis abang cakap yang abang ni berpenyakit...
Abang sayangkan sayang
Walaupun lebih 10 kali sayang minta cerai
Abang masih sayangkan sayang
Walaupun sayang hina adik-beradik abang
Abang sayangkan sayang
Walaupun sayang hina abang ada SPM saja
Abang sayangkan sayang
Walaupun sayang gunakan kaki sayang untuk gerakkan badan abang
Abang sayang lagi
Walaupun sayang keluar rumah tanpa izin abang

Abang harapkan SMS ucapan kerinduan dari sayang
Ucapan kasih sayang dari sayang
Ucapan puitis cinta dari sayang
Bukan caci dan maki daripada sayang...

Sekarang hati abang dah tawar
Tawar sangat
Sayang faham maksud abang?
Takkan pasal tak angkat telefon sayang nak hantar macam tu?
Dah tu sayang kenapa hantar SMS kat adik- beradik abang?
Malu abang, malu sangat
Tapi abang sayang lagi... tapi bukan kepada sayang
Abang sayang kat anak abang yang comel itu
Bagi abang sayang sudah tak wujud di dalam hati abang

Tapi sayang jangan risau...
Allah SWT maha mengasihani...
Hari-hari lepas solat abang berdoa...
Berdoa kepada yang Esa supaya cinta abang berputik semula...
Supaya kasih abang kepada sayang bertaut kembali...
Walaupun hakikatnya abang sudah benci sayang...

Yang dikasihi,
Suamimu yang tercinta.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: