|
|
SELAIN Hollywood, industri perfileman Bollywood mempunyai kuasa magnetik menarik perhatian peminat-peminat seni di seluruh dunia.
Ke mana sahaja bintang Bollywood pergi terutama yang ternama, pasti sambutan yang diberi amat menggalakkan dan dengan mudah mereka dapat mengumpul peminat tersendiri.
Bagi memastikan peminat-peminat di seluruh dunia berpeluang mendekati artis Bollywood secara dekat, Zee Entertainment Enterprises Limited yang bertanggungjawab memperkenalkan Anugerah Zee Cine sengaja mengadakan acara berkenaan di luar India.
Acara yang dimulakan sejak 1998 di Mumbai itu sudah melangkau ke persada antarabangsa apabila pada 2004, anugerah berkenaan diadakan di Dubai, dan seterusnya di London, Mauritius, Malaysia dan kembali semula ke London pada 2008.
Bagaimanapun acara berkenaan tidak diadakan pada 2009 dan 2010 kerana kegawatan ekonomi yang melanda dunia.
Kini acara yang mengumpul penggiat seni Bollywood itu kembali beraksi tahun ini di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands, Singapura pada 14 Januari lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Zee Entertainment Enterprises Limited, Puneet Goenka berkata, majlis yang mengumpulkan barisan artis ternama Bollywood itu boleh diadakan di mana sahaja asalkan mereka mendapat rakan kongsi yang memuaskan.
“Kami boleh mengadakan anugerah ini di mana-mana sahaja kerana kami tahu di luar sana ramai yang meminati artis Bollywood. Kalau penawarannya bagus, sudah pasti kami pergi ke situ.
“Sesiapa sahaja yang berminat untuk menjadi rakan kongsi penganjuran anugerah dengan kami dialu-alukan kerana kami mengamalkan dasar pintu terbuka,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan beberapa jam sebelum acara anugerah bermula.
Goenka berkata, Marina Bay Sands menjadi destinasi Anugerah Zee Cine 2011 kerana pihaknya mendapat kerjasama erat daripada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Las Vegas Sands Corporation, Michael A. Leven.
Beliau berharap kehadiran barisan bintang Bollywood seperti Datuk Shah Rukh Khan, Aishwarya Rai Bachchan, Hrithik Roshan, Arjun Rampal, Arbaaz Khan, Priyanka Chopra dan ramai lagi dapat mengubat rindu peminat-peminat.
Apabila diaju soalan kenapa pelakon Aamir Khan tidak turut serta, Goenka berkata, setiap tahun beliau mengundang pelakon 3 Idiots itu untuk memeriahkan majlis tapi sering ditolak.
“Saya tidak pernah lupa Aamir tapi dia sahaja yang sering menolak pelawaan saya. Apa pun saya tidak serik untuk memujuknya menyertai Anugerah Zee Cine setiap tahun,” katanya tersenyum.
Tanpa kehadiran Aamir Khan, beliau tidak perlu gusar kerana kedatangan Shah Rukh yang hadir pada sidang akhbar petang itu sudah memadai.
Boleh dikatakan pada acara yang berlangsung selama empat jam bermula pukul 9 malam yang dihoskan oleh Akshay Kumar dan Sajid Khan itu, Shah Rukh adalah raja.
Ini kerana pada akhir segmen persembahan pentas, Shah Rukh yang tidak ditemani isteri, Gauri diberi peluang menguasai pentas.
Selepas mengadakan persembahan, beliau yang dipilih sebagai Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem My Name Is Khan terus mengundang Hrithik ke pentas.
“Saya ingin mengajar Hrithik cara-cara untuk memikat dan menjaga hati isteri,” katanya.
Hrithik yang ditemani isteri, Suzanne, tanpa membantah terus ke pentas dan ternyata beliau ‘dibuli’ oleh Shah Rukh.
Segmen itu mungkin sengaja diselit kerana sebelum ini khabar angin mengatakan Hrithik intim dengan pasangan lakonnya, Barbara Mori ketika beraksi dalam filem Kites.
Sementara itu, Suzanne yang dipanggil naik ke pentas oleh Shah Rukh kelihatan sebak kerana tidak menyangka aktor itu amat mengambil berat tentang rumah tangganya.
Lantas bagi membuktikan yang rumahtangganya dengan Hrithik tetap kukuh, Suzanne turut melafazkan kata cintanya kepada suami.
Selain persembahan Shah Rukh yang menghiburkan, kemunculan Priyanka Chopra yang meniru beberapa gaya daripada filem yang dicalonkan amat menghiburkan.
Lain-lain persembahan adalah nyanyian (miming) dan tarian yang dipersembah berdasarkan pencalonan filem daripada Arjun Rampal, Deepika Padukone, Aishwarya dan lain-lain artis.
Penganjuran yang penuh dengan warna-warni itu pada dasarnya dilihat ingin memberi anugerah kepada semua artis yang hadir agar tidak pulang dengan tangan kosong.
Apa yang pasti hanya beberapa artis sahaja yang tidak berjaya merangkul anugerah dan kehadiran mereka mungkin untuk mencari tapak dalam industri perfileman.
Salah seorang daripadanya Ali Zafar dari Pakistan yang dicalon untuk kategori Pelakon Lelaki Harapan, menerusi Tera Bin Laden, filem Bollywood pertama lakonannya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: